08 November 2009

SEMINAR BUKTI PAS LEBIH TERBUKA DARI UMNO@BN

Seminar Memperkasakan Pas telah membawa satu dimensi baru kepada dunia baru Pas. Walaupun masih ada kedengaran cakap-cakap belakang selepas berakhirnya seminar ini semalam.

Apa yang pasti Pas hari ini berjaya membuktikan keterbukaan dan ketelusan Pas untuk membina kekuatan dan imej baru merentasi persepsi negatif yang sering dilontarkan oleh media dan pemimpin parti lawan.

Pas bersedia dan berani menjemput tokoh profesional yang tidak berkaitan dengan Pas untuk 'membedah' bagi mencari sebarang punca atau wabak penyakit yang mungkin berlaku. Pas memberi peluang sebebas-bebasnya tanpa syarat kepada dua tokoh akademik iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah untuk memberi pandangan kritikal mereka tentang hala tuju dan perjuangan Pas masa kini.

Dalam masa yang sama Pas membenarkan semua media tanpa mengira latar belakang politik untuk membuat liputan tanpa halangan atau syarat. Media yang sering memberi laporan senget sebelah dibenarkan membuat liputan tanpa had dan batasan.

Apa yang dibuktikan dalam seminar yang dianjurkan oleh Pas semalam membuktikan Pas adalah sebuah parti yang terbuka dan bersedia mendengar pandangan dan kritikan berbeza dengan persepsi negatif sebelum ini bahawa Pas sebuah parti yang tertutup dan jumud.

Sebaliknya ia sebagai tempelakan kepada Umno yang sebenarnya tertutup dan jumud yang tidak sanggup serta gentar berhadapan dengan media selain dengan media pro mereka. Buktinya dalam Persidangan Agong Umno yang terbaru bukan sahaja media yang tidak sehaluan seperti Harakah dan Siasah tidak dibenarkan membuat liputan tetapi media berkecuali seperti Malaysiakini, Malaysia Insider dilarang sama sekali memasuki dewan untuk membuat liputan.

Semoga segala resolusi seminar akan segera diterjemahkan untuk memastikan Pas terus mewarnai arus perdana politik negara untuk menamatkan riwayat politik Umno@BN.

KELANTAN TEWAS...PAS PUN BOLEH TEWAS JIKA...

Malam tadi setelah sekian lama tidak menyaksikan aksi sukan boleh sepak tempatan saya menonton siaran langsung Pelawanan Akhir Kelantan-Negeri Sembilan. Atas kertas segala-galanya memihak kepada Kelantan. Semangat pemain dan jumlah penyokong yang saya kira lebih tiga kali ganda mengatasi Negeri Sembilan di stadium Bukit Jalil.

Saya bukan penyokong Kelantan atau Negeri Sembilan malah tidak menyokong mana-mana pasukan bola sepak tempatan. Atas pagar le tu...Tetapi berdasarkan perkembangan dan publisiti Kelantan pastinya pasukan pilihan. Tetapi apa kesudahannya Kelantan tewas 3-1 dalam perlawanan yang saya sifatkan berat sebelah.

Jika Kelantan pasukan pilihan untuk menang boleh tersungkur menelan kepahitan ditewaskan oleh Negeri Sembilan adakah Pas tidak boleh mengalami nasib yang sama?

Pas kini semakin mendapat tempat di mata masyarakat. Dulu Pas dikenali parti golongan 'pak lebai' kini Pas telah melepasi batas dan tembok itu. Malah orang cina dan India sudah tidak segan-segan dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pas. Wakil rakyat Pas ada di semua negeri di Semenanjung kecuali Melaka. Program Pas di mana-mana mendapat sambutan hebat dan menggalakkan. Dari tukang kebun sehinggalah saintis dan koporat terkenal ada di dalam Pas. Ringkas kata dalam Pas...Semua ada...

Tetapi sikap tak apa, mengabaikan program parti terutama pembinaan diri dan tarbiyyah serta sikap terlalu yakin boleh memakan diri. Pilihanraya umum boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang. Apakah dengan isu yang berlaku dan imej Pas hari ini mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat kepada Pas?

Bagi ahli dan penyokong teras Pas, sokongan kepada Pas pastinya tidak berbelah bahagi walaupun apa jua yang melanda tetapi cabaran Pas ialah mengekalkan sokongan rakyat tidak berparti khususnya sokongan bukan Islam.

Justeru itu semua pihak dalam Pas perlu melipat gandakan usaha dan meningkatkan sokongan dan momentum kepada Pas dalam usaha menjadikan Pas sebagai alternatif dan pilihan terbaik.