11 October 2008

MALUNYA JADI ANAK MELAKA….

Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia, terpampang di pintu gerbang di Ayer Keroh pintu masuk ke Melaka selepas plaza tol Ayer Keroh. Sepintas lalu menunjukkan kehebatan dan kemasyuran yang terdapat di Melaka. Hakikatnya indah khabar dari rupa. Lebih-lebih lagi bila dapat pemimpin yang menerajui negeri sekarang yang tidak cerdik. Tak habis-habis memalukan anak Melaka dengan tindakan dan ucapan yang kontraversi dan tak masuk akal.

Selepas ini orang akan mengingati Melaka bukan kerana tinggalan sejarahnya. Tetapi orang akan ingat Melaka kerana pemimpin kerajaannya yang diterajui oleh Datuk Seri Ali Rustam yang sepatutnya telah lama 'dimuziumkan' sebagai tinggalan dan pengajaran kepada generasi akan datang supaya mengambil ikhtibar tidak melakukan perkara yang sama.

Dalam kesibukan dunia menganugerahkan Hadiah Nobel kepada tokoh dunia yang berjasa, Melaka mengambil langkah pelik memberi gelaran 'Datuk' kepada Shah Rukh Khan. Artis Bollywood yang banyak membawa budaya negatif kepada masyarakat yang kini semakin dilupakan.

Semasa negeri lain khususnya diterajui Pakatan Rakyat menolak menganjurkan Program Jom Heboh yang melalaikan golongan muda-muda, Ali Rustam mencadangkan agar program Jom Heboh kalau boleh dibuat tiap-tiap minggu di Melaka semasa berucap merasmikan program Jom Heboh beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Ali Rustam mengkritik YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana tak pandai memerintah sebab tu selalu berlaku banjir di Kelantan. Hari ini, orang Kelantan tersenyum sinis apabila banjir di Melaka berlaku hampir setiap bulan tanpa mengikut musim akibat 'kepandaian' ketua menteri dan pemimpinnnya yang lain memerintah negeri.

Minggu ini Ali Rustam menawarkan diri untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan bakal Timbalan Perdana Menteri. Bercakap pada akhbar 'Melaka Hari Ini' kelmarin. Misinya jika menang ialah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Tetapi orang Melaka tahu…siapa yang menyebabkan golongan nelayan miskin di Limbungan dan Klebang yang hampir seratus peratusnya Melayu hilang mata pencarian ? Orang Melaka juga tahu siapa yang menghalau dan merobohkan gerai dan kedai milik peniaga –peniaga Melayu di tengah-tengah kepesatan Bandar Melaka ? Tak perlu tipu orang Melaka berapa ramai peniaga Melayu yang mendapat lesen dan premis perniagaan di Pasar Besar Melaka dan Melaka Sentral ?

Malah banyak lagi kisah dan peristiwa yang 'menconteng arang' ke muka anak Melaka dilakukan oleh pemimpinnya hari ini.Kepada Ali Rustam dan mereka yang sewaktu dengannya, cermin-cerminkanlah diri dulu, jangan hanya asyik memalukan orang Melaka aje…


 

1 comment:

kulatlapok said...

salam ANGKASANURI;

dalam aku intai2 blog kat MALAYSIA KIA, banyak cite tentang penganugehan 'ANAK IBLIS' tu.. pas tu yg menarik aku tengok tajuk ko ni . memang memalukan anak melaka aje. sila ke bolg aku, cite sama juga tapi alasan dari SU politiknya betul2 buat aku meluat khaakkk tuiiii bagi kat dia.....