05 September 2008

DEBARAN MENUNGGU DETIK 16 SEPTEMBER


Pada hari ini sekali lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan ‘Peristiwa 16 September’ berlaku. Ini merupakan, amaran kedua selepas peringatan tegas semasa akhir pembentangan Belanjawan 2009 di parlimen minggu lepas.

Beliau juga memaklumkan taklimat perkembangan semasa telah dimaklumkan kepada DYMM Dipertuan Agong. Dalam taklimat tersebut, beliau memaklumkan kepada Tuanku bahawa kerajaan yang ada masih stabil dan kerajaan yang ada akan meneruskan agenda ekonomi dan pentadbiran yang telah dirancang.


Perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa Pak Lah secara tidak langsung meyakini bahawa tanggapan, desas desus serta berita yang sebelum ini dianggap ‘tidak masuk akal’ adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian.

Kebimbangan beliau ini jelas walaupun cuba disembunyikan seolah-olah ingin menunjukkan tidak ada apa –apa yang bakal berlaku pada 16 September nanti. Kalau tidak, tidak perlulah beliau sehingga perlu mengadap DYMM Agong dan mengeluarkan amaran demi amaran.

Apa yang tersurat dan tersirat daripada peringatan bernada tegas ini menunjukkan beliau akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kerajaan BN yang ada kekal berkuasa.

Beliau mempunyai beberapa opsyen yang boleh dilaksanakan sekiranya lebih 30 ahli parlimen BN ‘beralih angin’ ke Pakatan Rakyat. Antaranya, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya semula, mengistiharkan MAGERAN, menggunakan ISA atau apa sahaja institusi kerajaan yang ada seperti polis, BPR dan badan kehakiman untuk mengekalkan kuasa yang ada.

Namun, perkembangan muktahir menunjukkan apa yang berlaku semakin sukar dibendung. Terbaru, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini berkata Parti Gerakan akan mengkaji kedudukan parti itu dalam BN.

Malah tindakan BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen ) untuk mewajibkan semua ahli parlimen BN mengikuti Retreat ( Lawatan ) keluar Negara bermula 7 hingga 19 September merupakan suatu usaha menghalang pembentukan kerajaan baru berlaku pada 16 September.

Walau bagaimanapun, kita berdoa dan berharap apa –apa yang berlaku pada 16 September ini tidak membawa apa-apa peristiwa hitam kepada sejarah Negara.

No comments: