08 June 2009

UMNO UMPAMA PESAKIT H1N1?

Seluruh dunia gempar dengan wabak H1N1 (demam selsema babi) yang melibatkan ratusan kematian setakat ini.Di Malaysia sahaja tujuh kes telah direkodkan dan disahkan positif. Semasa di airport baru-baru ni anak saya yang berumur 5 tahun bila melihat ramai yang memakai penutup mulut berkata 'ramai kena penyakit babi ye bah?' Saya dan isteri hanya tersenyum sendiri.

Sehingga hari ini belum ada vaksin atau penawar untuk penyakit ini walaupun semalam saintis dari Jepun mendakwa telah menemui penawar H1N1. Sejauh mana keberkesanannya tidak benar-benar teruji sehingga hari ini.

Apabila seseorang itu mengidap H1N1, pesakit berkenaan perlu dikurantin dan diasingkan dari berinteraksi dengan orang lain. Malah jika ada sesiapa yang pernah bercampur atau duduk dekat dengan orang berkenaan dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor, bimbang takut dijangkiti.

Dalam hal ini sama lah seperti penyakit yang sedang melanda dalam Umno. Umno umpama seorang yang berpenyakit kronik yang menurut doktor hanya menunggu masa untuk menemui ajalnya. Tak salah untuk bercakap atau melawat orang yang sedang uzur dan sakit tenat. Dalam Islam pun menggalakkan menziarahi mereka yang sakit dan sedang nazak. Tetapi cakap orang yang sedang sakit ni, dengar boleh boleh tapi nak percaya faham-faham sendirilah. Maklumlah orang tengah sakit sedang nazak, biasanya cakap pun merapu je.

Hari ini kita perhatikan pemimpin-pemimpin Umno terus merapu dengan isu kerajaan perpaduan. Dari Memanda Menteri sehinggalah menteri berempat, menteri berlapan dan juak-juak yang bawah-bawah. Tak salah nak bercakap dan berunding....Tetapi sesiapapun yang ingin melawat, bercakap atau berunding dengan pesakit ini dinasihatkan agar memakai penutup mulut bimbang penyakit yang berbahaya ini berjangkit.

No comments: