13 November 2009

JAMBATAN BENGKOK MELAKA KE DUMAI ?


Apabila bercerita tentang jambatan di antara negara teringatlah cerita tentang jambatan bengkok di Tambak Johor menghubungkan Malaysia dan Singapura. Cadangan itu senyap seketika tetapi tidak bermakna tidak akan dilaksanakan. Dalam erti kata lain ditangguhkan kerana wujudnya bantahan dan beberapa persoalan berkaitan dengan undang-undang.

Kini muncul pula cerita jambatan Melaka - Dumai yang mungkin dulu hanya mitos dan ilusi. Pembinaannya semakin hampir untuk dilaksanakan apabila bank dari China, Exxim Bank bersetuju membiayai ( bukan bagi percuma pastinya dalam bentuk pinjaman yang ada kadar bunga dan faedahnya) 85% dari kos RM 44 bilion projek berkenaan. Jika dengan kos itu ia mampu untuk bina jambatan bengkok dari pelbagai arah menghala ke tengah Tambak Johor di perairan atau sempadan milik Singapura.

Cita-cita Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Muhd. Ali Rustam ini jika terlaksana pastinya nama beliau akan dikenang sepanjang zaman seperti zaman Tun Dr. Mahathir dengan pelbagai projek meganya.

Beliau juga akan dikenang kerana lebih mengutamakan dan tergila-gilakan Jambatan Melaka-Dumai dari menyelesaikan masalah berkaitan rakyat. Di Ayer Molek sebuah jambatan dan bertahun-tahun terbengkalai yang mengakibatkan saluran air tersumbat dan banjir kilat. Kalau jambatan yang tak sampai sejuta pun tak boleh nak siap kini bermimpi pula dengan jambatan seperti mitos jambatan dalam cerita permintaan Puteri Gunung Ledang bina jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.

Saya tidak menafikan jambatan Melaka Dumai boleh memangkin ekonomi dan merancakkan pembangunan di Melaka. Tetapi jika betul rakyat didahulu dan diutamakan selesaikan dahulu isu banjir kilat yang gagal diselesaikan hingga hari ini. Begitu juga masalah kekurangan wad dan parking di Hospital Melaka yang kini berhadapan masalah yang sangat kritikal. Selesaikan juga masalah kesesakan yang semakin teruk melanda Melaka terutama pada waktu hujung minggu seperti di sekitar Bandar Hilir dan Bandaraya Melaka. Bayangkan dengan duit RM 44 bilion saya cukup yakin ia lebih daripada cukup untuk menyelesaikan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Melaka. Jika semua isu dan masalah rakyat sudah diselesaikan nak bina Jambatan ke Jakarta pun saya setuju!

No comments: