03 July 2008

PELAJAR IPT TERLIBAT AKTIVITI TAK BERMORAL...

Seramai 93 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kesemuanya warga tempatan terlibat dalam kes khalwat sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seramai 64 orang pelajar terlibat pada tahun 2006 tetapi ia berkurang kepada 29 orang pada 2007.

"Kes salah laku pelajar IPT yang melibatkan perundangan hanyalah membabitkan kes khalwat. Yang lain, kes hanyalah berkaitan dengan pelanggaran peraturan kampus dan tatatertib," katanya menjawab soalan Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR-Hulu Selangor) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Jelas Khaled, kesalahan yang tidak melibatkan perundangan itu turut merangkumi kesalahan penyelewengan akademik seperti meniru, membawa nota semasa peperiksaan dan memplagiat serta kesalahan lalu lintas.

"Pada tahun 2006, seramai 861 orang pelajar dikenakan tindakan tatatertib di keseluruhan IPTA manakala jumlahnya menurun kepada 522 orang pada 2007," ujarnya.

Sebagai langkah pencegahan, Khaled berkata, pelbagai usaha telah dijalankan merangkumi penganjuran aktiviti bersifat kenegaraan, kemasyarakatan, badan beruniform, dialog akademik, ceramah kesedaran dan motivasi serta ceramah agama.

"Pihak kementerian percaya dalam menangani masalah ini, penglibatan semua pihak adalah penting dalam membentuk golongan pelajar yang bukan saja terpelajar, tapi juga menghormati tuntutan agama dan budaya," katanya.

No comments: