Berita Utama TV 9 malam ini menyiarkan bahawa bangsa Melayu merupakan peratus paling tinggi di Penjara, sekolah Pemulihan Akhlak, Pusat Tahanan, Pusat Serenti dan sekolah Henry Gurney.
Sekiranya tidak disiarkan pun, orang ramai dah sedia maklum bahawa dulu,kini dan selamanya orang Melayu memegang 'rekod' penghuni teramai di tempat – tempat berkenaan.
Dalam slot berita itu, seolah – olah menyalahkan pemimpin politik Melayu yang asyik bertelagah dan berebut kuasa menyebabkan nasib orang Melayu terabai.
Saya tidak menafikan wujudnya hakikat ini pada segelintir pemimpin Melayu yang gila kuasa, menyalah gunakan amanah dan mempunyai kepentingan politik sempit yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini.
Misalnya, Dato' Seri Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri merangkap ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi sendiri membayangkan bahawa pemilihan Bahagian UMNO kali ini merupakan yang paling kotor dipalit dengan rasuah dan paling teruk dalam sejarah kewujudan UMNO.
Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ? Amat jelik dan memalukan !pemimpin dan media seluruh dunia terarah di sini dengan senario politik yang berlaku. Golongan tertentu sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengira batas dosa dan pahala gara – gara fobia, takut kehilangan kuasa.
Namun, pihak TV 9 yang juga anak syarikat TV 3 kadang –kadang terlupa bahawa mereka juga antara penyumbang terbesar menyebabkan orang Melayu kekal menjadi 'juara' penghuni teramai di Penjara dan tempat – tempat yang sewaktu dengannya.
Mungkin mereka terlupa siapa yang banyak menyiarkan dan menganjurkan program yang melalaikan orang Melayu.
Misalnya siapa yang menganjurkan JOM Heboh ? satu ketika dulu dikenali SURE HEBOH. Namun, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan program ini ditukar nama untuk 'dihalalkan' kepada nama JOM HEBOH.
Selain itu contoh lain ialah program Akademi Fantasia yang menyebabkan orang Melayu hanyut dan terpaku depan TV yang disulami dengan drama linangan air mata apabila terdapat artis yang tersingkir.
Malah banyak lagi seperti rancangan BOLYWOOD, Telenovela dan terkini orang Melayu jadi 'ketagih' dengan drama – drama dari Seberang.
Rancangan yang memberi input, pengetahuan dan bermanafaat hanya boleh dikira dengan jari.
Terbaru, kerajaan meluluskan konsert artis rock wanita Avril Lavigne
di Stadium Merdeka pada 28 Ogos ini. Agak – agak siapa penonton teramai ? sudah pasti Melayu….
Sebelum ini, Kerajaan membenarkan Konsert Ratu Dangdut Indonesia, Inul. Namun, disebabkan wujudnya bantahan konsert tersebut dibatalkan dari dianjurkan di Stadium Pasir Gudang dan Stadium Merdeka. Hanya diadakan di kedutaan Indonesia sempena Hari Kemerdekaan republik itu. Sekiranya diteruskan, tak tahulah apa yang akan berlaku.
Tak lama lagi sambutan Kemerdekaan, sudah menjadi satu tradisi yang tidak sihat pada malam kemerdekaan akan disajikan konsert sehingga ke dinihari. Siapa lagi yang paling ramai kalau bukan muda – mudi Melayu. Termasuklah di sini anak – anak Melayu yang masih hingusan yang terkinja – kinja sampai ke pagi.
Semua ini boleh turut menyumbang berlakunya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat .Justeru itu tak hairanlah kes – kes seperti juvana, jenayah, masalah rumah tangga dan penagihan dadah khususnya di kalangan orang Melayu terus meningkat saban tahun.
Justeru itu tidak hairanlah orang Melayu akan terus mendominasi 'carta ' dan 'rekod ' teramai di penjara, pusat tahanan, pusat serenti dan sekolah Henry Gurney selagi sikap tunding menunding terus diamalkan oleh pemimpin yang ada sekarang dan pihak media.
Dalam konteks ini semua pihak terutamanya kerajaan yang ada perlu berubah dengan dasar yang lebih memfokuskan pembinaan sahsiah dan melahirkan warganegara yang berakhlak mulia. Sekiranya tidak, mereka perlu sedia berhadapan dengan kemungkinan untuk diubah.
Begitu juga peranan semua pihak seperti ibu bapa, guru dan masyarakat serta media perlu sentiasa berkerjasama dalam menangani dan mencari penyelesaian masalah yang berlaku. Hentikan sikap saling menyalahkan dan tuduh menuduh. Setiap orang ada peranan dan tanggungjawabnya. Sesuai dengan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment