18 August 2008

Bicara Petang…PLKN, Apa Dah Jadi ?


Pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Ng Yen Yen untuk memperkenalkan modul Pendidikan Seks di Kem Pusat Latuhan Khidmat Negara (PLKN ) adalah sesuatu yang mengejutkan.

Modul pendidikan seks selama 10 jam itu akan mula dilaksanakan pada sesi Januari 2009 di semua kem PLKN seluruh Malaysia.

Skop pengajaran modul itu yang dikenali 'Self Preservation, Self Protection and Self Determination' merangkumi nilai individu dan keluarga, pemahaman perubahan struktur badan secara fizikal (mengikut gender) dan emosi.

"Kita harus memberi pengajaran dan pengenalan tentang aspek-aspek ini supaya mereka lebih mengenali diri sendiri dan memahami masalah yang dihadapi," Dr Ng dipetik sebagai berkata selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2008 hari ini.

Persoalaan di sini, adakah pandangan daripada pelbagai pihak yang terdiri dari tokoh agama, ahli akademik dan politik diambil sebelum rancangan ini dilaksanakan ? Adakah satu kajian terperinci dilaksanakan sehingga pihak kerajaan seperti terdesak untuk melaksanakan modul ini ?

Di samping itu, adakah masalah salah laku seks remaja yang menular hari ini seperti jenayah rogol, zina, cabul, ketagih menonton video atau klip lucah dalam telefon bimbit disebabkan remaja mendapat maklumat yang salah tentang seks seperti yang didakwa menteri berkenaan ?

Tidak cukupkah dengan pelbagai isu melibatkan perlakuan sumbang dan negatif yang melibatkan gejala tidak sihat peserta lelaki dan perempuan serta jurulatih di Kem PLKN ? Malah, terdapat beberapa kes yang sekarang masih tidak selesai yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Di antaranya kes rogol yang melibatkan seorang jurulatih PLKN di sebuah kem di Pantai Timur. Saya mengikuti perkembangan kes ini kerana kebetulan ia dikendalikan oleh rakan baik saya , saudara Fadly Ramli sebagai peguam kepada mangsa.

Pendikan seks merupakan sesuatu yang bukan boleh dibincang secara terbuka. Ia sesuatu yang tidak sesuai sama ada dari sudut budaya masyarakat Timur lebih – lebih lagi ajaran agama Islam. Dalam isu yang berkaitan dengan isu dan masalah seks remaja dan muda – mudi lebih sesuai dibincang dan diajar dalam kuliah atau kelas agama sama ada di sekolah, univesiti, surau dan masjid oleh mereka yang benar – benar layak dan berpengalaman.

Pendidikan seks perlu dididik dan diasuh kepada anak –anak dengan penuh teliti dan hikmah bersandarkan pada ajaran agama Islam. Ia merupakan sesuatu yang sensisitif dan perlu diterapkan dengan berhati –hati berpandukan ajaran Al Quran, hadis dan mengambil kira pandangan alim ulama tersohor.

Apa perlu kita meniru dan mengambil modul dari Barat ? Bukankah masyarakat Barat telah rosak dengan gejala seks bebas yang menyebabkan lahir ramainya anak yang tidak diketahui ibu dan bapanya ?

Tidak cukupkah dengan pelbagai isu salah laku seks yang melibatkan remaja dan muda – mudi berlaku di negara kita yang begitu membimbangkan ? Malah lebih menggerunkan masalah,ini turut melanda kanak –kanak di peringkat sekolah rendah lagi.

Dalam hal ini, sistem pendidikan sedia ada perlu diperhalusi untuk diperbaiki dengan memfokuskan pendidikan yang sesuai berdasarkan peringkat umur kanak – kanak sehingga remajasebelum menempuh alam dewasa. Termasuk dalam skop ini, bagaimana persediaan kanak –kanak menempuh awal remaja dan dunia dewasa. Hal ini penting supaya pendidikan yang diberi akan dapat mengelakkan mereka daripada menyimpang dalam soal pergaulan dan memahami tentang diri berteraskan prinsip akhlak dan agama.

Namun, apa yang berlaku pendidikan di negara kita terlalu 'exam oriented' sehingga pendidikan berkaitan dengan pendidikan agama, penerapan nilai akhlak dan moral serta isu remaja kurang diberi perhatian. Jika adapun umpama seperti 'Touch N Go' sahaja.

Apabila JQAF ( Jawi, Al Quran, Arab dan Fardhu Ain ) diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran, barulah kelihatan sedikit penekanan dan perhatian diberikan dalam soal pembinaan adab dan akhlak. Namun, pada pandangan saya ia masih tidak memadai. Dalam konteks ini, pendidikan sedia ada perlu diperkasakan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sesuai seperti yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Negara.


 

No comments: