15 November 2008

UPSR 2008: JURANG PENDIDIKAN MAKIN KETARA DI ANTARA MURID BANDAR DAN LUAR BANDAR-MALAYSIAKINI

Di sebalik kenyataan Datuk Hishamuddin bahawa keputusan UPSR meningkat dari segi bilangan yang mendapat A dan mendabik dada PPSMI (Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ) telah berjaya kita disembunyikan dengan data yang mengejutkan bahawa daripada 518,616 calon menduduki UPSR seramai 30,049 murid yang mendapat gred D dan E untuk semua mata pelajaran.

Jumlah sebesar itu boleh memuatkan 25 buah sekolah jika sebuah sekolah menampung 1,200 murid.

Lebih memeranjatkan, angka 30,049 itu adalah peningkatan “tidak sihat” sebanyak 44 peratus berbanding UPSR tahun lalu yang mencatatkan seramai 20,856 calon tidak menguasai tahap minimum untuk semua subjek.

Jika diperincikan lagi, jumlah “murid kurang upaya” bagi tahun 2007 itu pula meningkat 4.5 peratus daripada tahun 2006.

Ini bermakna bermula dari tahun 2006 sehingga tahun ini jumlah mereka yang gagal meningkat secara mendadak. Apa makna semuanya ini?

Selama enam tahun di bangku sekolah sebahagian daripada mereka masih gagal menguasai aspek literasi yang berkait rapat dengan kemahiran kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik.

Ini juga bermakna kerajaan sanggup berhabisan lebih RM 5 bilion untuk PPSMI tetapi kerajaan melalui Kementerian Pelajaran seolah melupakan program asas dan teras membasmi golongan buta huruf.

Walaupun ada program membasmi buta huruf seperti Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M),Program sekolah Kurang Murid(SKM) dan Proram Pensiangan Salinantan untuk sekolah pedalaman dan terpencil untuk golongan susah dan miskin, program seumpama ini hanya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Buat untuk sekadar ada sahaja. Program ini tidak 'glamour' seperti program PPSMI yang mendapat pelbagai kemudahan dan peruntukan dari kerajaan.

Daripada jumlah sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan.Manakala murid yang tinggal di kampung dan pedalaman terus ketinggalan dan terpinggir yang tidak mampu menyaingi murid yang tinggal di kota.

Saya sempat bertanya dan bersembang dengan beberapa orang guru besar dan guru di Melaka tentang keputusan UPSR yang baru diumumkan. Antara yang diperkatakan di antara faktor pelajar tidak mendapat 5 A, bermakna bilangan yang mendapat 4A dan 3A yang ramai adalah berpunca pelajar hanya mendapat B dan C bagi mata pelajaran matematik dan sains. Buatlah kajian dan siasatan, pada tahun ini bilangan pelajar yang mendapat 4A dan 3A adalah meningkat begitu ketara sekali jika tidak disebabkan faktor subjek matematik dan sains.

Akhirnya apa yang berlaku, PPSMI akan mewujudkan jurang yang lebih besar antara murid bandar dan kampung serta perbezaan antara golongan kaya dan miskin. Ini menyebabkan murid di kampung sukar untuk bersaing dengan murid di bandar yang memiliki kemudahan dan kemampuan untuk menghadiri kelas tiusyen dan sebagainya bagi meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Apa yangs sepatutnya dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialaj melalui memantapkan prasarana dan latihan guru yang mengajar bahasa Inggeris dan bukannya 'mencemari' subjek matematik dan 'sains' dengan diajar dalam bahasa Inggeris.

No comments: