14 December 2008

APA ERTI HARGA MINYAK TURUN KALAU RAKYAT TERUS MENDERITA


Hari ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad membayangkan bahawa harga minyak akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.

Berita ini pasti bakal menggembirakan ramai pengguna kenderaan di negara ini. Walau bagaimanapun tidak semua yang merasa gembira dengan penurunan harga minyak yang bakal diumumkan.

Walaupun, ada yang berpendapat politik minyak tidak ke mana tetapi perlu diingat minyak merupakan asas keperluan negara. Malah 35% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung kepada sumber petroleum.Apa-apa berkaitan turun naik minyak atau silap percaturan menaikkan atau menurunkan harga minyak bakal membawa musibah kepada negara.

Dalam kegembiraan harga minyak bakal diturunkan, ramai yang tidak menyedari bahawa negara sedang berhadapan krisis ekonomi yang begitu kritikal.

Selepas solat Isyak tadi saya sempat bersembang dengan seorang jurutera Petronas yang bertugas di Loji Penapisan Petronas Tangga Batu yang merupakan seorang ahli jemaah surau. Katanya, dalam tempoh bulan lepas loji Petronas di Tangga Batu mengalami kerugian lebih RM 1 Bilion.Walau bagaimanapun operasi masih tetap diteruskan walaupun mengalami kerugian teruk.

Menurut beliau, terdapat 7 operasi Petronas seperti pemprosesan kimia di Kertih sudah mula ditutup operasi kerana tidak mampu menampung kerugian.

Secara logiknya, bila harga minyak turun maka hasil kerajaan berkurangan.Apabila hasil berkurangan maka perbelanjaan negara seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2009 Ogos lalu turut terjejas teruk.

Itu tentang minyak, bagaimana pula dengan nasib penoreh getah dan peneroka? Hari ini harga getah beku dan keping jatuh sehingga 90 sen sekilogram! Harga getah yang jatuh mendadak sekarang menyebabkan ramai pekebun kecil dan penoreh getah mengambil keputusan tidak lagi turun menoreh. Tak berbaloi kata mereka. Tapi macam mana pula mereka nak teruskan kehidupan. Anak di rumah perlu diberi makan, kelengkapan sekolah untuk anak-anak perlu disediakan.Semua ini menyebabkan mereka pening kepala. Ada di antaranya terpaksa bergolok bergadai. Lebih malang lagi mereka menjadi mangsa Ah Long disebabkan buntu dengan apa yang berlaku.

Begitu juga dengan harga sawit yang sekarang ini semakin menjunam harganya dan kini sekitar RM 150 - RM 180 setan. Lebih rendah dari harga yang direkodkan semasa kegawatan ekonomi negara pada tahun 1996 -1997 lalu. ketika itu harga sawit masih lagi di atas RM 200.

Seorang rakan yang juga aktivis Pas di Pahang baru-baru ini memberitahu saya, harga sawit yang rendah sekarang menyebabkan beliau tidak mampu lagi menampung kos operasi yang besar untuk ladang sawitnya yang berjumlah kira-kira 60 ekar. Bayangkan katanya, sudahlah harga sawit jatuh tetapi dalam masa yang sama kos baja, racun serta upah terus meningkat.

Di samping itu ramai di kalangan mereka yang bekerja di sektor industri merasa bimbang dan hanya menunggu masa untuk diberhentikan bila-bila masa. Semua ini gara-gara kelembapan ekonomi dunia yang menyebabkan pasaran dan permintaan barangan industri seperti elektronik berkurangan. Permintaan yang berkurangan bermakna, kos operasi perlu dikurangkan. Salah satunya ialah mengurangkan bilangan pekerja.

Dalam masa yang sama harga barang keperluan terus meningkat dan membebankan. Sebagai contoh harga ikan selar kuning saiz sederhana di Pasar Borong Batu Berendam yang saya beli awal pagi tadi RM 12 sekilogram!

Semua ini menggambarkan bahawa berita penurunan harga minyak tidak mampu untuk mengubat derita jutaan rakyat Malaysia yang terus tertekan dan terhimpit dengan krisi ekonomi yang melanda.

Sayangnya dalam tempoh yang sama, pemimpin negara terus hidup bermewah-mewah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini jelas seperti pendedahan baru-baru ini bahawa kos sewa dan penyelenggaraan kediaman PM dan TPM yang menjangkau 6.89 juta setahun!

Kita tunggulah apa yang bakal berlaku di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kecil nanti. Begitu juga menjelang pemilihan Umno Mac depan. Berapa puluh juta lagi duit bakal lebur kerana kerakusan mereka dalam berpolitik di negara ini? Mereka sanggup lakukan apa sahaja kerana sikap gila kuasa dan nama.Apa yang mereka lakukan ibarat beraja di mata bersultan di hati yang menjadi mangsa adalah rakyat jelata yang tidak berdosa yang terus hidup menderita.

3 comments:

Anonymous said...

Ada fakta yang saudara tulis di atas betul dan ada yang menjadi panas didengar disebabkan oleh 'perencah tambahan' yang saudara letakkan, maka cerita menjadi lebih panas dan sedap didengar. Tapi kita perlu ingat, jangan kerana hanya nak menghentam kerajaan, maka 'perencah tambahan' ditambah supaya rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Memang tidak dinafikan ada yang kerajaan buat tak betul tapi itu bukan bermakna kerajaan tak berusaha buat yang terbaik. Saya rasa sekarang kerajaan sedang berusaha untuk memajukan negara. Tapi oleh kerana wujudnya golongan orang macam saudara yang suka memburukkan lagi kerajaan, maka ia akan menjadi psiwar dalam dunia blog. Saya tak yakin jika Pakatan Rakyat memerintah negara, maka negara ini akan terlepas daripada krisis ekonomi dan masalah-masalah lain seperti kenaikan harga barang dan lain-lain yang melanda negara. Kita lihat saja Anwar bercakap berapi-api memburukkan kerajaan dan kononnya beliaulah yang hebat dan mampu mentadbir negara dengan lebih bijaksana tapi sebenarnya 'hampeh'... Dalam keadaan ekonomi tak menentu seperti ini bukanlah masa yang sesuai untuk tukar parti pemimpin...

Anonymous said...

man kanan hang tak dapat beza di antara perencah tambahan dengan hakikat sebenar. Pergi lawat web site Risda, Felda, Porim dan sebagainya carilah maklumat. Maklumat sekarang di hujung jari. anda saja nanmpaknya yang masih ketinggalan zaman disebabkan "keumnoan" anda yang sudah karat membiru. Insaflah man kanan. dari gaya anda anda seorang intelektek tetapi sayang anda tidak mendapat hidayah sebenar. Cerdik di dunia tapi buta soal akhirat.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.