05 December 2008

SHAH RUKH KHAN DIRAI, KEMULIAAN BULAN ISLAM DICEMARI..


Satu majlis secara gilang-gemilang akan diadakan esok di Melaka sempena meraikan majlis penganugerahan pingat Datuk kepada Shah Rukh Khan ( SRK ).Khabarnya majlis anugerah tersebut akan dipancarkan secara langsung yang dibiayai oleh kerajaan Melaka.

Sehari suntuk SRK diraikan oleh kerajaan Melaka termasuk sesi fotografi dan bersama peminat. Poster dan banner dinaikkan di tempat strategik di Melaka untuk mempromosi dan mengingatkan orang ramai tentang sambutan besar-besaran yang akan diadakan esok.

Dalam kemeriahan dan promosi besar-besaran itu saya tercari-cari bannner atau poster yang mempromosi atau berkaitan program mengingati peristiwa wukuf dan juga sambutan Aidil Adha yang disambut pada 8 Disember ini.

Dua kali juga saya pusing bandaraya Melaka sehingga ke Banda Hilir hari ini termasuk beberapa kali lalu di hadapan Masjid Al Adzim ( masjid negeri) tapi masih tak berjumpa dengan poster yang dicari.

Bila membaca tulisan LanH dalam Harakah Daily hari ini lidah saya jadi kelu, malu rasanya menjadi anak Melaka.

10 hari pertama bulan Zulhijah adalah saat terbaik untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Ketika ini lebih dua juta jemaah sedang berhimpun di Tanah Suci. Pada tanggal 8 Zulhijah (6 Disember), jemaah termasuk lebih 26,000 orang dari Malaysia termasuk orang Melaka akan bertolak ke Arafah.

Pada tanggal 9 Zulhijah (7 Disember), jemaah haji akan wukuf di Arafah. Wukuf adalah rukun haji. Tiada wukuf tiadalah haji. Wukuf atau Hari Arafah adalah sebaik-baik hari untuk seorang Muslim mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Saiyidatina 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda mafhumnya: "Tidak ada hari yang lebih banyak Allah Taala memerdekaan hamba-Nya daripada api neraka selain daripada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka."

Bagi saya tindakan kerajaan negeri Melaka adalah keterlaluan dan boleh saya katakan biadab kerana tidak langsung menghormati bulan yang cukup dimuliakan terutama 10 hari terakhir bulan zulhijjah ini.

Kalau kemaruk sangat nak beri Datuk pada shah Rukh Khan pilihlah hari lain. Adakah tergamak kerajaan negeri mencemari bulan mulia ini hanya semata-mata untuk memenuhi masa dan menjaga hati Shah Rukh Khan? Hormatilah sensitiviti umat Islam di negara ini serta menghargai kaum kerabat kita yang menyahut seruan Ilahi di Tanah Suci. Mereka bersusah payah di sana sebaliknya terdapat kita di sini yang asyik bersuka ria.Sepatutnya juga bulan ini dihiasai dengan program untuk menghayati pahit getir perjuangan dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS.

Inilah akibatnya apabila Islam dipinggirkan dengan melantik mereka yang jahil tentang Islam memimpin negara. Ada mufti dan pegawai agama hanya jadi pak angguk, takut untuk menyatakan kebenaran. Saya yakin esok ada mufti atau pegawai agama negeri akan membaca doa di majlis istiadat penganugerahan datuk kepada Shah Rukh Khan. Dunia semakin menuju akhir zaman...Islam dipermainkan dan dipersendakan.

1 comment:

Anonymous said...

Sepatutnya hari-hari kemuliaan dalam ISLAM diisi dengan perkara-perkara yang lebih mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, bukannya dengan Shah Rukh Khan... Apalah nak jadi ni? Tak serik-serik dengan bala yang ALLAH TAALA timpakan sejak kebelakangan ini ke?...