11 April 2009
KE MANA PERGINYA NILAI KEMANUSIAAN?
Kejam dan zalim! Itulah perkataan yang dapat diungkapkan kepada mereka yang terlibat mendera Adi Anwar Mansur,23, semasa berada di dalam tahanan reman polis Klang.
Menurut ibunya Jiknah Harun, 49, mendakwa anaknya telah ditendang di bahagian belakang, dipukul di belakang kepala, dan dibelasan dengan getah air sehingga dia tidak mampu lagi menahan kesakitannya.
Malah lebih zalim lagi, mangsa dilaporkan telah dipaksa meminum bahan pelarut!
Kenyataan OCPD Klang,Mohamad Mat Yusof bahawa Adi Anwar mengalami kecederaan ketika bergelut sewaktu dia ditangkap tidak masuk akal berdasarkan kecederaan yang dialami seperti ingin melindungi pihak yang terlibat yang lebih kejam dan ganas daripada binatang!
Adi Anwar Mansur sekarang sedang bergelut dengan maut dan masih berada dalam keadaan koma dan kritikal serta masih dirawat dalam ICU.
Saya tidak mahu menyalahkan pihak polis, tetapi apabila perbuatan terkutuk itu berlaku semasa dalam tahanan reman, pihak polis perlu bertanggungjawab 100%. Semua pihak yang terlibat termasuk OCPD Klang perlu meletak jawatan serta merta dan dihadapankan ke sebuah suruhanjaya bebas untuk disiasat dan diadili.
Apakah pihak polis masih tidak puas hati untuk menjadikan orang awam sebagai mangsa seperti kes A. Kugan dan kes-kes sebelum ini? Polis Malaysia sudah cukup tercemar!Mereka yang terlibat sepatutnya merasa malu dengan uniform yang mereka pakai kerana setiap gaji dan elaun yang mereka terima adalah datang dari duit rakyat! Saya menunggu apakah reaksi Datuk Hishamudin Tun Hussin sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment