30 May 2011

HIMPUNAN 'SEJUTA BELIA' BOLEH MENGAPA TIDAK DENGAN HIMPUNAN BERSIH?

Kelmarin berlangsung di Putrajaya, Perdana Menteri menjadi 'tekong' himpunan sejuta belia. Walaupun terpaksa mengerah belia khususnya pelajar kolej dan IPTA serta IPTS dari seluruh negara anggaran yang hadir tidak lebih dari 10 ribu orang. Seperti biasa kehadiran mereka kerana mendapat arahan daripada pihak atasan.

Pelbagai acara diadakan, daripada persembahan artis, pameran dan ucapan. Kemuncak acara ialah Perdana Menteri sekali lagi berhimpun dengan ' sejuta belia' menyaksikan pasukan kegemarannya Machester United dibelasah 1-3 oleh Barcelona. Sepanjang majlis itu pastinya ramai yang terpekik terlolong menyokong pasukan pilihan mereka. Maka riuh rendah suasana dinihari pagi di Putrajaya seperti orang kena sampuk hantu polong.

Apa yang menarik himpunan itu mendapat 'permit polis'. Tidak timbul pulak isu keselamatan, gangguan ketenteraman awam dan istilah menganggu lalu lintas. Walaupun saya difahamkan oleh rakan di Putrajaya, beberapa jalan utama ditutup untuk memberi laluan kepada himpunan tersebut.

Jika polis boleh membenarkan himpunan 'Sejuta Belia' mengapa tidak himpunan '100 ribu' Bersih pada bulan Julai nanti? Kalau tidak dibenarkan berhimpun di tengah Bandaraya Kuala Lumpur saya yakin penganjur Himpunan Bersih ke 2 sedia untuk menimbangkan alternatif jika diberi permit berhimpun di Putrajaya. Sehingga hari ini setiap himpunan anjuran pakatan Rakyat berlangsung dengan aman dan tertib, provokasi polis yang sering menjadikan keadaan huru hara.

Adalah sangat tidak adil kalau polis dan pihak keselamatan tidak membenarkan Himpunan Bersih. Ini kerana rakyat yang bakal berhimpun untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih juga adalah pembayar cukai serta turut menyumbang kepada ekonomi negara.

No comments: