17 July 2010

TERIMA KASIH BN KERANAMU HARGA BARANG NAIK MELAMBUNG!

Perdana Menteri 1Malaysia arah kepada media pengampu, jangan guna 'Harga Minyak Naik", Harga Gula Naik, Harga Gas Naik! Tukar tajuk...turun subsidi, penyelarasan harga dan lain-lain supaya mak cik dan pak cik kat kampung terus kena kelentong dengan Umno BN.

Ada menteri bebal kata, minyak naik, gula naik, gas naik tetapi harga barang tak naik. Tak tahulah macam mana orang macam ni boleh jadi menteri. Tak faham ilmu ekonomi. Hanya sibuk kira berapa komisyen berapa untung masuk untuk kayakan kroni.

Hari ini saya baru balik beli susu anak. Biasa harga setin susu Pediasure 1.6 kilogram harga RM 107. Hari ini harga dah melambung RM 127! Kata tuan kedai semua susu naik harga. Pembekal jual mahal tak kan nak jual murah.

Dalam nada yang agak tinggi saya sebut 'undi lagi' kebetulan ada ramai dalam kedai tu. Sapa seorang pak cik, 'tuan boleh lah pangkat besar, gaji besar' saya ni toreh getah. Kalau hujan tak boleh keluar menoreh. "

Saya biasanya memperuntukkan tidak kurang RM 400 untuk susu anak sebulan untuk tiga orang. Lepas ni saya jangkakan akan meningkat ke RM 500.

Semua ini hanya kerana 5 sen kenaikan harga petrol dan diesel. 25 sen untuk gula dan 10 untuk sekilogram gas memasak. Apalah sangat dengan 5 sen, 10 sen dan 25 sen berbanding RM 77 juta untuk syarikat milik Yahudi APCO Worlwide untuk jual jenama 1Malaysia. Dengar cerita sambung kontrak setahun lagi.

Kalau tak ada atau tak cukup duit untuk beli susu anak, bagilah anak yang dalam buaian tu minum sirap limau atau teh o cap kapal api. Nescaya senyaplah budak tu!

Terima kasih BN, kerana mu harga barang naik melambung! Kepada pak cik dan mak cik di kampung, di Felda serta di merata ceruk undilah Umno lagi dulu kini dan selamanya!

15 July 2010

ISU PASIR UNTUK TUTUP KENAIKAN HARGA TERLAMPAU

Seperti diramal harga minyak naik lagi. Harga gula pun naik mendadak 25 sen sekilogram.Saya menjangkakan harga minyak dan barang keperluan asas akan naik lagi. Selewat-lewatnya selepas pilihanraya umum ke 13 jika rakyat terus memberi sokongan kepada Umno-BN.

Kerajaan 1Malaysia kini cukup sesak dan terdesak apabila dana dan rizab negara makin menyusut. Inflasi meningkat dan kegawatan ekonomi makin parah dirasai. Dana Felda makin susut, pendapatan Petronas menguncup. Apa lagi yang hendak disembunyikan oleh Umno-BN.

Maka kerajaan 1Malaysia tidak ada pilihan selain daripada menaikkan harga minyak dan barang keperluan asas untuk menampung ketidakmampuan menangani krisis ekonomi.

Kalau naik saja-saja macam tu, rakyat pasti akan naik minyak. Maka perhatian dan kemarahan rakyat perlu dipesongkan terlebih dahulu. Maka isu pasir dimainkan kononnya Pakatan Rakyat di Selangor tak pandai memerintah. Memusnahkan alam sekitar dan menjejaskan sistem ekologi alam. Maka kaki angguk dan kaki ampu disuruh berdemontrasi di bangunan SUK Selangor untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Tetapi kehadiran mereka berdemontrasi disambut oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Walhal isu pasir merupakan warisan daripada zaman Umno-BN memerintah Selangor sebelum ini yang membiarkan dan menutup sebelah mata apa yang berlaku. Maka sebab itulah bekas Menteri Besar yang suka beri penyapu hanya membisu di sidang DUN hari ini walaupun setelah setahun 'berehat'. Sendiri mau ingatlah, nak cari penyakit!

Kenaikan harga minyak dan beberapa barang keperluan asas hari ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa Umno-BN sengaja mengali kuburnya sendiri untuk ditalkinkan selepas pilihanraya umum ke 13 nanti.

14 July 2010

SETIAP KALI TERSEPIT DAN TERDESAK UMNO AKAN AJAK PAS BERUNDING DAN BERDAMAI

Selepas pilihanraya umum ke 12 seingat saya sudah acap kali benar Umno mengajak Pas untuk berunding duduk semeja kononnya atas nama perpaduan Melayu. Walhal sebelum ini, Umno begitu angkuh dan sombong apabila mendapat kemenangan dan majoriti besar dalam pilihanraya.

Sebelum ini tidak terpacul pun idea perpaduan atas nama semangat Melayu daripada mulut pemimpin-pemimpin Umno.

Terkini Timbalan Presiden Umno cuba mengumpan Pas sekali lagi untuk berunding atas nama muafakat dan perpaduan Melayu. Cuma nak beritahu pada pemimpin Umno, kalau hendak memancing gunalah umpan segar, jangan guna umpan yang telah basi dan membusuk.

Bagi saya cukuplah sebelum ini isu Kerajaan Perpaduan menimbulkan 'ribut dalam cawan' seketika dalam Pas. Isu itu satu cubaan untuk memerangkap Pas agar terjebak dengan mainan politik kotor Umno.

Pemimpin Pas pastinya tidak akan lupa layanan 'baik' Umno apabila Pas sebelum ini menunjukkan sikap terbuka untuk berunding dan membuat kerjasama dengan Umno. Sekarang bukan waktu dan ketikanya untuk berunding tentang isu muafakat Pas dan Umno. Taktik ini sebenarnya satu perang saraf untuk menggugat perpaduan dan kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat. Semua ini hanya strategi politik Umno untuk mendapat undi Melayu kerana menyedari Umno semakin sukar untuk memulihkan sokongan pengundi Cina dan India kepada mereka. Malah sokongan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak juga kini semakin tergugat dan terancam.

Jika Umno hendak berunding dengan Pas tunggulah selepas pilihanraya umum ke 13 nanti. Ini menunjukkan Pas tidak menutup terus pintu dengan Umno. Syaratnya mudah seperti menurut kata Mursyidul Am Pas Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Umno kena ubah dasar dahulu. Dari sekular kepada Islam. Hentikan segala skandal, pembaziran, salah guna kuasa,penyelewengan serta penindasan kepada rakyat.

Syaratnya cukup mudah, Pas tidak pernah meminta jambatan emas dari Pejabat Pas Pusat ke PWTC. Pas juga tidak pernah meminta hati atau darah pemimpin Umno seperti riwaayat Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Maka jika syarat yang mudah ini dapat dipenuhi maka pintu rundingan sentiasa terbuka sesuai dengan dasar perjuangan Pas yang meletakkan Islam sebagai panduan dan rujukan tertinggi dalam pelembagaan parti.

12 July 2010

PIALA DUNIA : BN 0 PR 1!

Akhirnya kejohanan Piala Dunia melabuhkan tirainya. Sepanyol antara pasukan pilihan menepati status pasukan pilihan menjadi juara dengan menewaskan Belanda 1-0. Ada yang bersorak gembira dan ada yang berdukacita. Ibu kota Sepanyol, Madrid dan bandaraya lain di negara itu pastinya akan berpesta sakan dengan kemenangan itu.

Penyokong fanantik England, Jerman, Brazil dan Argentina misalnya sehingga hari ini tidak dapat menelan kepahitan pasukan mereka kecundang dalam keegoan dimalukan oleh pasukan bukan pilihan.

Penyokong 'sotong' juga pastinya bergembira terutamanya 'tahi-tahi' judi yang mendapat 'azimat' baru untuk menjadi jutawan judi bola.

Pastinya yang tersenyum lebar ialah bokie dan tokey judi yang untung besar sepanjang kejohanan ini berlangsung. Yang terlingkup dan terlungkup ialah kaki judi yang bercita-cita menjadi juatawan segera.

Di Malaysia, penyokong judi bola juga menerima kekalahan yang mengaibkan. Umno -BN yang selama ini menjadi juara judi di negara ini menerima kekalahan dan terpaksa mengakui kuasa rakyat yang menolak dan benci pada judi.

Selama ini mereka akan membuat apa sahaja kerana keangkuhan kuasa dan sokongan rakyat sebelum ini yang terus menyokong mereka walaupun melakukan kezaliman dan meluluskan benda-benda haram. Umno-BN masih bermimpi bahawa mereka masih kuat dan boleh mengula-gulakan rakyat dengan pelbagai propaganda mereka.

Ternyata Umno-BN silap besar dan terpaksa menerima kemaluan yang amat sangat apabila majoriti rakyat bangun menentang dan menolak judi bola. Kesimpulannya keputusan piala dunia BN 0 - PR 1. Tahniah rakyat Malaysia!

11 July 2010

UMNO MAKIN KARAM KETIKA CUBA HANYUTKAN PAKATAN RAKYAT


Ketika komponen Pakatan Rakyat ditunjangi PAS, PKR dan DAP semakin menunjukkan kesepakatan lain pula ceritanya yang berlaku dalam Umno-BN. Mereka kini bercakaran dan bergaduh sesama sendiri.

BN yang dikepalai oleh Umno turut pening lalat dengan pelbagai desakan daripada komponennya. MCA, MIC dan Gerakan kini sentiasa memberi tekanan kepada Perdana Menteri 1Malaysia agar memenuhi permintaan untuk kepentingan parti mereka atas nama survival BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Sudah wujud versi Perkasa dalam MCA, Gerakan dan MIC. Atas nama menjaga komposisi kaum dalam komponen BN.Walhal sebenarnya semua itu cuma retorik untuk menjaga periuk nasi masing-masing.

Umno-BN dengan bantuan akhbar murahan yang dikuasai mereka cuba melancarkan pelbagai serangan kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dan PKR. Manakala ruang untuk menyerang PAS dan DAP dilihat sukar berdasarkan kestabilan dan kemantapan kedua-dua parti berkenaan menangani hal dalaman parti dan menyerap setiap propaganda yang dilancarkan.

Sebaliknya apa yang berlaku, dalam BN khususnya Umno terus satu persatu terdedah pelbagai kepincangan dan pergolakan. Umno di Kelantan masih bercakaran sesama sendiri sehingga tidak pasti siapa yang lebih berkuasa dan berpengaruh dalam Umno di negeri cik Siti Wan Kembang itu.

Terkini di Sungai Petani, mesyuarat Bahagian Umno tersebut hari ini secara terbuka ahli di peringkat bahagian melancarkan protes secara terbuka kepada ketua Bahagian, Ali Yahya. Di Bahagian Petaling Jaya Selatan juga tidak kurang 'meriahnya' perpecahan yang berlaku akibat perasaan tak puas hati di peringkat akar umbi.

Malah di banyak tempat di bahagian-bahagian Umno di seluruh negara diibaratkan seperti api dalam sekam yang hanya menunggu masa sahaja untuk membara dan terbakar.

Oleh itu Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum kemenangan serta perpaduan yang wujud terutama dalam saat pilihanraya umum ke 13 yang dijangka bakal berlaku pada tahun ini. Ini penting supaya tidak membuka ruang kepada Umno-BN menyerang Pakatan Rakyat untuk mengalih isu dalaman Umno-BN yang sedang melanda serta memesong pemikiran rakyat daripada tekanan hidup akibat kegawatan ekonomi, sosial dan politik yang begitu meruncing dalam negara sekarang dibawah kepimpinan Umno-BN sekarang.

07 July 2010

SEKAT MEDIA PAKATAN, UMNO-BN BAKAL TUMBANG DALAM PRU KE 13

Perkembangan terkini dalam negara menunjukkan bahawa pilihanraya Umum ke 13 semakin hampir. Dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu, antara petanda yang cukup jelas detik pilihanraya umum ialah media milik Pakatan Rakyat disekat untuk menutup minda rakyat negara ini daripada mendapat pandangan kedua selain daripada media milik atau kroni Umno-BN.

Penggantungan tak bertali permit Suara Keadilan oleh KDN dan amaran kepada Harakah dan Roket menunjukkan Umno-BN hilang punca untuk mengendurkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Bagi saya sekatan kepada mana-mana media milik Pakatan Rakyat akan menjadi senjata makan tuan kepada Umno-BN. Saya yakin sekatan ini akan menyebabkan simpati dan sokongan kepada Pakatan Rakyat akan meningkat. Kehadiran dalam ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat akan kembali melimpah dengan kebanjiran orang ramai yang dahagakan maklumat.

Saya juga yakin pemilik blog dan portal yang menyokong Pakatan Rakyat akan menggiatkan usaha untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Secara tidak langsung penyebaran maklumat akan lebih cepat, tersusun dan meluas.

Bagi saya rakyat hari ini sudah semakin bijak untuk memilih siapa wakil rakyat mereka. Buatlah apa cara sekali pun, semua ini tidak akan mengubah sokongan kepada Pakatan Rakyat. Rakyat hanya menunggu hari pengundian untuk mengajar kesombongan dan kebiadapan Umno-BN yang berterusan melakukan penyelewengan, skandal dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan situasi politik dan ekonomi negara berada dalam keadaan yang sangat tenat. Hanya ada satu cara untuk membetulkan kepincangan yang ada iaitu dengan memastikan Umno-BN menjadi pembangkang selepas PRU ke 13.

04 July 2010

MENGAPA PENEROKA JE YANG MEMPERTAHANKAN FELDA?

Sehari dua ni Umno-BN dapat modal baru untuk menyerang Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam isu Felda bangkrap. Selama ini seluruh dunia tahu, peneroka Felda umpama 'Fixed deposit' atau tali hayat kepada Umno-BN.

Sejarah pilihanraya di negara ini dan pengalaman saya sendiri terlibat dalam mengendalikan jentera pilihanraya dalam dua siri pilihanraya umum di peringkat DUN, kawasan Felda diakui masih lagi 'karat biru' dengan pengaruh Umno-BN. Walaupun Generasi kedua dan ketiga Felda sudah mula menunjukkan peningkatan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Antara faktor peneroka generasi pertama khususnya takut menyokong Pakatan Rakyat kerana bimbang tidak mendapat hak milik tanah, disekat pelbagai bantuan atau diugut disingkirkan dari rancangan Felda. Ini merupakan modal Umno-BN setiap kali pilihanraya. Semua ini menyebabkan peneroka Felda diumpamakan seperti dicucuk hidung terpaksa mengikut sahaja arahan pihak pengurusan Felda untuk menjayakan agenda politik Umno.

Maka tidak hairanlah peneroka Felda mudah dikerah dan diarah untuk hadir ke program Umno atau apa sahaja program tajaan Umno. Misalnya dalam isu didedahkan oleh Suara Keadilan tentang Felda bangkarap, maka sekali lagi peneroka di merata ceruk diperalatkan untuk menyatakan sokongan kepada Umno dan memprotes PKR.

Apa yang peliknya, saya tidak pula melihat pihak pengurusan tertinggi Felda mempertikaikan kenyataan Suara Keadilan bahawa Felda bangkrap. Adakah ini semua menunjukkan bahawa pihak pengurusan Felda sendiri mengakui dana Felda digunakan sesuka hati untuk menjayakan agenda politik Umno-BN? Atau semua ini menunjukkan bahawa pihak pengurusan tertinggi Felda sudah cukup meluat dengan kerakusan Umno mengikis duit Felda?

Saya difahamkan maklumat penyalahgunaan dana Felda dimaklumkan oleh pihak atasan Felda sendiri. Jika benar Felda tidak bangkrap mengapa tidak ada seorang pun pemimpin Umno yang berani menyahut cabaran Exco Pemuda Pas, Saudara Mazlan Aliman yang juga pengerusi ANAK untuk berdebat secara terbuka? Semua ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa penyalagunaan dan penyelewengan dana Felda memang benar-benar berlaku.

02 July 2010

DAKWAT DALAM BORANG UMNO BELUM KERING SUDAH MENIPU?

Sudah beberapa kali saya mengulas isu 40 'ulama' muda yang didakwa menyertai Umno. Belum apa-apa lagi sudah banyak kontroversi yang wujud. Dari segi bilangan 40 yang didakwa datang pun sudah tak betul. Ada yang kata 40 dan ada yang kata tak sampai 40. Ada yang yang kata dijemput dan ada pula yang kata mereka tak ada dalam senarai untuk jadi 'ulama Umno'.

Jurucakap kumpulan 40 ulama itu, Fadlan Mohd Othman dan Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid kini saling nafi menafi serta saling tuduh menuduh di antara satu sama lain tentang cerita '40 ulama masuk Umno'. Saya tak pasti siapa yang betul, tetapi yang saya cukup pasti di antara keduanya ada yang jadi ulama penipu! Sehingga hari ini Mohd Hosni yang juga pensyarah Maahad Tahfiz Integrasi Sains Teknologi Selangor tampil di pentas terbuka menafikan bahawa beliau mengisi borang Umno. Katanya 'saya memang tiada niat untuk masuk Umno... belajar agama tinggi nak masuk Umno buat apa?”.

“Saya hadir ke program ini kerana diberitahu oleh seorang tokoh agama Umno bahawa Perdana Menteri mahu menemui pelajar-pelajar yang pernah belajar di Timur Tengah.

“Jadi apabila diberitahu begitu saya tanpa syak wasangka bersetuju untuk mengikut tokoh agama menghadiri program itu.


Manakala Fadlan pula melalui media terus menafikan bahawa empat orang yang mempertahankan dijemput ke majlis berkenaan termasuk dalam senarai masuk Umno.

Pening juga dibuatnya, mungkin inilah hasil tarbiyyah pertama bila menjadi ahli Umno. Kalau ya pun tunggulah dakwat dalam borang Umno tu kering dulu....

30 June 2010

TAKUT DITIMPA BALA, PERTEMUAN SPRM-BALA BATAL


Saya awal-awal lagi tidak meyakini bahawa SPRM akan bertemu dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam di Kota London berkaitan isu pembunuhan Altantuya.Sejak kes ini tercetus SPRM seperti bersandiwara seolah-olah ada sesuatu yang menghalang badan berkenaan melaksanakan tugas dan melakukan siasatan secara telus dan bebas.

Maka hari ini tak semena-mena tanpa ada hujan dan ribut SPRM membatalkan pertemuan untuk merakamkan kenyataan Balasubramsniam tentang kes pembunuhuhan berkenaan.

Alasan yang diberi oleh SPRM berkaitan implikasi undang-undang menimbulkan tanda tanya dan kemusykilan. Sebelum ini SPRM begitu beria-ia akan mengadakan pertemuan tersebut pada minggu depan. Saya yakin segala urusan seperti tempahan tiket kapal terbang dan penginapan telah diuruskan di Kota London. Mengapa secara tiba-tiba pertemuan yang dicadang dibatalkan secara tiba-tiba.

Adakah sebelum ini pihak SPRM begitu naif tentang segala kemungkinan atau implikasi undang-undang seperti yang didakwa? Semua ini menguatkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang berlaku di sebalik tragedi pembunuhan ini. Walaupun dua tertuduh telah didakwa dan dijatuhkan hukuman itu semua belum cukup untuk menyakinkan rakyat di negara ini tidak ada tangan-tangan ghaib yang terlibat.

Mungkinkah ada pihak tertentu yang mula terasa bahang dan menghidu bala yang menimpa jika pertemuan Balasubramniam dan SPRM menjadi kenyataan? Maka jika telahan ini benar maka buat seketika pihak yang terbabit boleh menarik nafas lega buat seketika tetapi tidak bermakna akan selamat daripada bala buat selama-lamanya.Apa yang pasti kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan lenyap dan hancur binasa.

27 June 2010

PAS ADA BERPULUH RIBU ULAMA

Tak habis-habis lagi Umno menjaja cerita tentang penyertaan 40 'ulama' muda yang masuk ke parti itu. Sebenarnya tak sampai 40 pun, ada yang datang kerana tertipu dengan helah Dato Shahidan Kassim kononnya untuk membersihkan nama mereka dari senarai golongan militan. Digelar pun 'ulama muda',masih mentah dengan sepak terajang politik.

Ada pemimpin Umno kata, Umno kini terbukti perjuangkan Islam. Ada yang kata dasar Umno betul. Paling tak masuk akal ada yang kata penyertaan itu satu tamparan kepada Pas. Pas tergugat ke? Untuk makluman pemimpin Umno, dalam Pas penyertaan Ulama muda atau ulama tua tidak pernah surut. Bukan hanya di peringkat kawasan, malah di peringkat cawangan tidak pernah ketandusan Ulama. Di cawangan tertentu seperti di Kedah, Kelantan dan Terangganu ada cawangan memiliki limpahan ulama yang silih berganti. Tak bising-bising pun!

Kalau nak dikira jumlah mereka yang bertaraf 'ulama' sama ada dari aliran pendidikan pondok, para huffaz, graduan IPTA dan IPTS aliran agama dari dalam atau luar negara saya jangka bukan berpuluh tetapi berpuluh ribu. Mereka memainkan peranan tertentu sama ada secara tidak langsung dengan menjawat jawatan penting di masjid dan surau atau secara langsung bergiat aktif dalam Pas.

Penyertaan ulama dalam Pas menyebabkan tertubuhnya sayap parti yang memainkan peranan penting iaitu Dewan Ulama Pas. Mampukah Umno menubuhkan Dewan Ulama Umno? Masalah yang timbul siapa pulak akan jadi Mursyidul am Dewan Ulama Umno? Dato Hamid Othman atau Dato Yusof Noor? Mungkin juga ustaz yang tendang tong sampah dalam pilihanraya umum di Permatang Pauh dulu boleh dipertimbangkan.Mungkin Dato Jamil Khir yang senyap membisu dalam isu lesen judi bola boleh jadi timbalannya.

Jika era Pak Lah yang dianggap keturunan ulama Umno dikatakan mendapat sokongan 'ulama' mampukah zaman 1Malaysia yang diselubungi pelbagai isu dan skandal untuk membawa imej kepimpinan Islam?