23 July 2008

‘PULAU’ VS ‘SEKETUL BATU’


Hampir semua akhbar utama memaparkan isu tuntutan terkini singapura terhadap Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ) di perairan Pulau Batu Putih yang telah menjadi milik Singapura seperti yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ).


 

Menteri kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan


 

Ramai yang melenting dan menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati kerana Singapura tidak berbincang terlebih dahulu dengan Malaysia sebelum mengutarakan tuntutan itu. Di antara pihak yang melahirkan kembimbangan ini ialah golongan nelayan tempatan yang sering mencari rezeki di perairan berhampiran Pulau Batu Putih.

Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang tidak bersetuju dengan tindakan Singapura untuk menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.

Pengerusinya Abu Bakar Mohamad menyifatkan hasrat republik itu sebagai langkah terdesak, seolah-olah mahu meluaskan kawasan sempadannya dan nelayan di Pengerang yang akan menerima kesannya.

"Jika dilihat, perairan (di situ) lebih kepada kita. Kalau terpesong sedikit, mereka (Singapura) akan masuk perairan kita.

"Kalau ia (Singapura) tuntut, ia tidak bimbang masuk perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 nelayan yang berdaftar di bawah persatuan nelayan kawasan tersebut.

Tuntutan tersebut, kata Abu Bakar, dilihat sebagai usaha untuk memonopoli kawasan itu dan berat sebelah.

"Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, cukup strategik kerana sumber perikanan banyak di kawasan itu," tambah Abu Bakar.

Di samping itu, terdapat juga pimpinan kerajaan yang melahirkan kebimbangan dan meluahkan rasa kurang senang serta melenting dengan tuntutan terbaru Singapura.

Persoalannya kenapa perlu marah – marah atau nak melenting dengan tuntutan terbaru Singapura ini ? Malah ada usaha untuk mengheret institusi beraja agar campur tangan dalam isu ini. Bukankah dulu seorang Menteri memberitahu bahawa keputusan ICJ adalah situasi 'menang – menang'. Singapura dapat sebuah pulau dan Malaysia dapat 'seketul batu'. Adil namanya. Adakah kita semua tidak sedar implikasi daripada keputusan ICJ tempoh hari ? Mana ada pulau atau Negara yang berada di lautan yang tidak memiliki hak Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ).

Kesimpulannya,pada pandangan saya, kehilangan sebuah pulau yang digantikan dengan 'seketul batu' akan meneruskan polemik dan perdebatan pada masa akan datang. Bukan soal pulau atau 'seketul batu'. Tetapi ia lebih kepada soal kedaulatan dan maruah. Melainkan kita rakyat yang tidak bermaruah dan tidak memiliki harga diri.Natijahnya, mungkin terpaksa ditanggung tujuh generasi berikutnya.



 

No comments: