13 August 2008

Apa Nak Jadi ?


Data terkini dari Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) bahawa seramai 199 wanita beragama Islam dikesan melahirkan anak luar nikah dalam tempoh tujuh bulan pertama ( Januari – Julai ) tahun ini merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Menurut sumber JAIM, jumlah mereka yang terlibat sebenarnya lebih ramai lagi. Ini disebabkan mereka yang terlibat dengan perbuatan terkutuk ini dapat menyembunyikan perbuatan mereka dengan melahirkan anak di klinik swasta, bidan kampung atau melarikan diri dari negeri lain supaya tindakan mereka tidak dapat dikesan.

Pendedahan ini menunjukkan betapa kroniknya masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku di negeri Melaka. Apa yang berlaku sepatutya membuka mata semua pihak khususnya pihak kerajaan negeri bagi membendung dan menangani masalah ini.

Pihak kerajaan negeri perlu bertindak segera dengan menghentikan dari menganjurkan program – program yang boleh mendedahkan golongan muda mudi kepada pergaulan bebas hingga menjerumus kepada perkara maksiat. Di antaranya termasuklah program Jom Heboh dan Sambutan Kemerdekaan yang akan diadakan tidak lama lagi.Seperti menjadi lumrah, setiap kali sambutan kemerdekaan ini diadakan ia pasti melibatkan konsert persembahan artis yang tidak senonoh dan melalaikan.

Program ini bukan sahaja menggalakkan pergaulan bebas muda mudi tetapi juga membazir wang rakyat. Sebaliknya digantikkan dengan program yang berbentuk kerohanian seperti forum atau wacana kemerdekaan, Majlis Puisi Kemerdekaan, Program sukan dan reakrasi untuk remaja , program Bacaan Yassin dan Solat Hajat, Ceramah Agama atau apa sahaja program sesuai yang dapat membimbing golongan muda mudi khususnya dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sementara itu, semua pihak perlu turut sama berganding bahu dengan memikir dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peranan dan kemampuan masing – masing. Sama ada di melibatkan sektor kerajaan atau swasta serta masyarakat di kampung atau di Bandar.

Apa yang lebih penting, tidak ada penyelesaian lain yang lebih baik selain kembali kepada Al Quran dan berpegang kepada Hadis Nabi SAW serta menjadikan ulama sebagai panduan dan ikutan dalam setiap aspek kehidupan. Semua pihak yang mengaku diri beriman perlu kembali dan menerima ajaran Islam sebenar secara menyeluruh sama ada di bidang sosial, ekonomi dan politik atau menjadikan Islam sebagai 'Way of Life'.


 


 


 

No comments: