13 August 2008

DEMONTRASI ‘HALAL’


Melihat kepada ramainya pelajar UitM turun berdemontrasi kelmarin, terdetik di hati saya ' lain macam je' sambutannya. Apa yang lebih menarik pelajar boleh meninggalkan kampus, kuliah dan tutorial tanpa ada apa – apa tindakan dari pihak Universiti. Malah, Perdana Menteri menghamburkan pujian kepada Naib Cancelor UiTM, Dato seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah kerana 'kejayaan' demontrasi tersebut.

Puncanya, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar UiTM membuka kuota 10 % kepada bukan Bumiputera. Mereka berarak dari Dataran Shah Alam sehingga ke Bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor.

Mungkin ini adalah langkah positif seperti persetujuaan kerajaan untuk meminda Akta Kolej dan Universiti ( AUKU ) untuk memberi kebebasan kepada pelajar berpolitik.

Maklumat yang diterima, demontrasi 'halal' itu turut diiringi pegawai dari Unit Hal Ehwal Pelajar dan pensyarah UiTM. Hebatnya…bertuah sekali pelajar UiTM kerana mendapat pegawai Hal Ehwal Pelajar ( HEP )yang begitu ' baik hati' kerana dapat meluangkan masa mengiringi pelajar berdemontrasi .

Era 90-an semasa berada dalam kepimpinan pelajar, saya turut terlibat dalam beberapa siri demontrasi. Demontrasi pertama ialah bersama dengan pelajar dari IPTA awam yang lain membantah tindakan kerajaan negeri Melaka mengambil tanah penduduk di Kampung pantai Tanah Merah dan Pantai Kundor untuk membina Logi Penapisan Petronas sekarang.

Malangnya, ketika itu kami tidak mendapat layanan 'istimewa'dari pegawai HEP yang baik hati seperti di UiTM. Malah, bila berlakunya demontrasi ada sahaja pegawai HEP yang akan turut memantau untuk mengesan pelajar terlibat untuk diambil tindakan tatatertib. Di samping itu, mereka yang disyaki menganjur atau terlibat dengan mana – mana demontrasi akan dipanggil untuk disoal siasat mengikut Akta Kolej Dan Universiti ( AUKU ).

Natijahnya, jika ada bukti yang nyata, pelajar yang terlibat dengan demontrasi boleh digantung pengajian atau disingkirkan dari Universiti ! Justeru itu, mana – mana pelajar yang ingin terlibat dengan demontrasi akan berfikir 2 kali kerana risiko yang bakal ditanggung.

Di sini, saya ingin mengucapkan 'tahniah 'dan 'syabas' kepada pihak pentabiran UiTM kerana 'keterbukaan' mereka membenarkan pelajar berdemontrasi.

Harap – harap selepas ini mana – mana IPTA dan IPTS boleh mengikut langkah 'positif' yang dilakukan oleh pihak UiTM. Begitu juga kepada pihak kerajaan.Jika selepas ini, ada pelajar yang terlibat dengan demontrasi sama ada isu nasional seperti kenaikan harga minyak atau berkaitan dengan pelajar, pihak IPTA akan memberi kebenaran kepada pelajar berkenaan. Mungkin mereka akan diberikan 'pengecualian menghadiri kuliah dan tutorial' sekiranya demontrasi itu bertembung dengan sesi kuliah dan tutorial.

Di samping itu juga, pelajar yang terlibat dengan demontrasi akan diberi 'merit' untuk untuk tujuan pengijazahan kerana 'keberanian' dan 'kepekaan' mereka dalam meperjuangkan hak dan nasib mahasiwa dan kepentingan Negara.


 


 


 


 

1 comment:

Anonymous said...

hmmm...

demonstrasi membantah kemasukan 'non-bumis' Vs. demonstrasi protes kenaikan harga minyak....

dua-dua dikatakan demonstrasi aman..dua-dua event dianjurkan utk mencari kebaikan...tapi satu digalakkan (siap dpt pengecualian kuliah lagi)dan satu lagi x digalakkan...

kesian..pelajar UiTM jadi proksi kerajaan dan dipengaruhi supaya membesar2kan hal yang belum lagi dibesar2kan oleh pihak itu.