10 August 2008

Bicara Malam….


Sudah lebih 2 bulan kita mengalami kesan kenaikan harga minyak. Walaupun kini minyak di pasaran dunia menunjukkan penurunan harga,harga minyak di Malaysia masih tidak nampak tanda – tanda berlaku penurunan dalam masa terdekat.


 

Apa yang saya nak kongsikan pada kali ini ialah nasib yang dialami oleh kakitangan kerajaan, terutamanya golongan pekerja pertengahan dan bawahan yang mengalami masalah ekoran kenaikan harga minyak.


 

Ini berkaitan dengan TNT (tuntutan elaun perjalanan) yang masih di takuk lama walaupun minyak dah beberapa kali naik. Untuk makluman,TNT untuk gred DG 41 hingga DG 48 ialah seperti kadar berikut :


 

  1. 500 KM pertama = RM 0.70
  2. 501-1000 KM = RM 0.60
  3. 1001 dan seterusnya RM 0.50


 

Sebagai contoh jarak dan kadar tuntutan yang dibuat oleh saya untuk menyelia guru pelatih yang sedang praktikal ( PRAKTIKUM ) di daerah Jasin .


 

  • Dari IPPM ke SK Air Barok Jasin ( pergi balik 70 KM X RM 0.70 = RM 49.00 )
  • Kos per KM = Rm 0.30 X 70 = RM 21.00
  • Baki RM 28.00
  • Tolak kos servis, tayar dan lain lain ?


 

Bila dikira kos tersembunyi yang tidak boleh dituntut sebenarnya apa yang tinggal sekadar balik modal je. Dalam keadaan macam ini pun kadang – kadang ada pihak yang kurang senag dengan tuntutan yang dibuat. Seolah – olah menganggap 'tugas luar' sebagai 'core bussines' atau ' side income' selain tugas rasmi.


 

Ada yang mungkin beranggapan, saya berkira dengan kerja, sedangkan sudah menjadi tanggungjawab dalam kerja. Apa yang saya pinta, cukup apa yang dilakukan difahami dan dihormati. Apa yang diperolehi pada hari ini tanpa TNT , Allahamdulillah cukup untuk menampung segala urusan di samping dapat diasingkan untuk simpanan masa depan.


 

Namun, bagaimana nasib kakitangan kerajaan yang lain? Saya pernah menemui kakitangan kerajaan yang pendapatan bulanan tidak cukup pun untuk membeli susu anak. Ada juga, pendapatanya yang baki gajinya yang negatif. Bukan sedikit, agak ramai yang saya temui. Malah ada di kalangan mereka sekadar cukup untuk membayar bil dan hutang piutang.


 

Ada yang menganggap ini berpunca dari gaya hidup bermewah –mewah. Tetapi adilkah kita berpandangan begitu ? Bagaimana dengan kenaikan kos hidup dan kadar inflasi ? Peningkatan kos perkhidmatan dan pengangkutan ?


 

Inilah salah satu bebanan kepada kakitangan awam yang mungkin kurang diberi pembelaan. Sebaliknya, mereka yang sudah berpendapatan tinggi terus diberi pelbagai keistimewaan dan pelbagai insentif. Sebagai contoh, pada bulan Julai baru-baru ini pihak JPA telah meluluskan kenaikan elaun imbuhan tetap dan keraian bagi perjawatan gred khas A,B dan C. Bagi gred khas A: RM6,500.00;Gred khas B: RM 4,550.00 dan gred khas C: RM3,500.00.

Mereka terus senang dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan. Manakala golongan bawahan terus terhimpit dan kurang mendapat pembelaan. Justeru itu, pihak berkenaan mesti membuka mata dan mempertimbangkan langkah – langkah khusus untuk membantu golongan ini.


 

Saya tidak menafikan langkah – langkah yang diambil oleh kerajaan menangani masalah ini tetapi pada pandangan saya masih tidak memadai dan perlu diambil langkah – langkah segera dengan lebih serius bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki oleh kerajaan.


 

Peningkatan kadar jenayah dan salah guna kuasa yang semakin menjadi –jadi akhir –akhir ini mungkin sebagai petunjuk kesan daripada desakan hidup yang dialami. Manusia sanggup buat apa sahaja dengan mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang bila sudah terdesak.


 

Dalam masa yang sama , Islam sentiasa mengajar umatnya agar terus berusaha untuk mencari rezeki yang halal dengan bersungguh – sungguh. Gunakan segala peluang dan ruang yang ada. Ketepikan rasa malas berusaha, iri hati dan dengki. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di samping itu, panjatkan doa dengan penuh kudus dan tulus kepada-Nya. Setiap kesusahan ada kesenangan. Setiap Kesulitan ada kemudahan. Meyakini, apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

1 comment:

mek chabang4 said...

yang kakitangan kerajaan yang berpangkat tinggi atau rendah ada juga claim tu alaun ni dan bermacam macam lagi, yang kedudukan macam mek ini bukan kerja kerajaan,kerja ta menentu anak bersekolah,rumah sewa, api, air, makan, bagaimana pula.