Hari ini kita berada di penghujung bulan Shaaban, bulan yang sepatutnya telah digunakan sebagai persiapaan menjelangnya bulan Ramadan. Pada bulan Shaaban ini, sepatutnya seorang Muslim telah mencuba untuk berpuasa sunat, bagi mempersiapkan fizikal dan mental sebelum datangnya bulan Ramadan.
Ibadah puasa pada bulan Ramadan mestilah dilakukan di dalam keadaan kita faham akan maksud dan tujuannya. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa (Ramadan) itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.”
Di dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa, ibadah puasa pada bulan Ramadan itu adalah dengan matlamat untuk menghasilkan sifat Taqwa. Sifat taqwa ini adalah darjat ketinggian yang sempurna bagi seorang Muslim kerana ia bermaksud melaksanakan sepenuhnya perintah Allah dan meninggalkan sepenuhnya laranganNya.
Sifat taqwa itu menjadi syarat untuk kita hidup sebagai orang yang berjaya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5:
“Alif Laam Mim, Demikianlah (Al-Quran), Kitab yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang ghaib serta mendirikan solat dan menafkahkan apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka. Juga mereka yang beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah diturunkan sebelum engkau. Mereka itu juga yakin dengan Akhirat. Mereka itulah yang berada di atas petunjuk dari Tuhan mereka, dan golongan inilah merupakan golongan yang berjaya”
Sifat taqwa ini juga adalah sifat yang boleh menarik keberkatan Allah kepada kehidupan di sesebuah negeri. Firman Allah SWT:
“Dan sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukakan bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka itu sendiri yang mendustakan (Allah) dan kerana itulah Kami hukum mereka di atas apa yang mereka sendiri lakukan.”
Apabila penduduk suatu negeri itu beriman dan bertaqwa dalam erti kata yang sebenar, maka barulah Allah SWT memberkati kehidupan mereka di dunia. Barakah ini adalah suatu situasi yang hanya difahami oleh orang-orang yang beriman. Keberkatan pada rezeki, menjadikan hasil yang kita perolehi melalui pekerjaan itu cukup dan mendatangkan ketenangan hidup. Keberkatan pada umur menjadikan usia hidup dijadikan kesempatan untuk beribadah kepada Allah SWT sama ada ketika tubuh badan sihat, mahu pun ketika terlantar sakit di pembaringan. Dalam erti kata yang lain, jika kehidupan kita diberkati Allah, maka umat Islam dan manusia semuanya dapat hidup dalam suasana yang aman tenteram.
Akan tetapi, bilamana iman dan taqwa diketepikan, kehidupan kita akan menjadi porak peranda. Kita bekerja siang dan malam tetapi rezeki tidak pernah cukup sehingga terjebak kepada pencarian yang haram. Kita berkahwin untuk menyempurnakan agama, tetapi rumah tangga kita sentiasa didatangi masalah dan penceraian menjadi suatu kebiasaan. Kita menambah zuriat untuk meramaikan lagi hamba-hamba Allah yang taat, tetapi anak-anak kita menjadi beban dan dukacita yang tiada kerehatan. Akhirnya, individu tidak sejahtera, keluarga porak peranda, masyarakat dibelenggu jenayah dan maksiat dan negara menuju kehancuran. Semuanya ini adalah kerana tiada iman dan tiada taqwa.
Alangkah berhajatnya kita kepada taqwa. Taqwa sebagai menarik berkat dari Allah SWT, taqwa sebagai penemu jalan keluar kepada masalah yang membelenggu kita hari ini. Dan ibadah puasa yang bakal kita jalani ini, adalah salah satu wasilah kepada menghasilkan taqwa.
Ibadah puasa bukan sekadar hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata. Ibadah puasa itu adalah madrasah tempat kita melatih diri mengikis sifat-sifat yang keji. Sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa yang (ketika berpuasanya itu) tidak meninggalkan kata-kata dan perbuatan yang keji, maka tiadalah Allah memperdulikan usahanya berlapar dahaga meninggalkan makan dan minumnya itu” Riwayat al-Bukhari
Umat Islam juga mesti memahami prioriti ibadahnya. Amat jelek dan ganjil sekali apabila ramai umat Islam yang apabila menjelang Ramadan mereka berpuasa, tetapi mereka meninggalkan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga selama lebih separuh hari, tetapi tidak pula bersedia meluangkan masa beberapa minit untuk mengerjakan solat. Nabi SAW telah bersabda:
"Pemisah di antara kita dan mereka (orang kafir) adalah solat. Barangsiapa meninggalkannya maka sungguh dia telah kafir." (HR. Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah).
Sesungguhnya ini adalah ancaman yang amat besar dari Nabi SAW. Sifat lengah dan malas terhadap solat amat berbeza daripada sifat seperti itu terhadap ibadah yang lain. Solat adalah tali Allah, memutuskannya bererti memutuskan hubungan dengan Allah. Solat adalah tiang agama, meninggalkannya bererti meruntuhkan agama.
Manakala bagi mereka yang bersolat, perlulah pula memahami prioriti
perlaksanaannya. Suatu keganjilan yang berlaku di dalam masyarakat, umat Islam boleh datang ke masjid untuk solat Tarawih yang sunat, tetapi tidak boleh datang ke masjid untuk solat lima waktu yang wajib..
Ucaplah kalimah Syahadah, dirikanlah solat lima waktu sehari semalam, berpuasalah pada bulan Ramadan, keluarkanlah zakat sebagaimana yang disyara’kan, dan berusahalah kepada menunaikan ibadat haji, nescaya sempurnalah tiang-tiang yang membina agama kamu
1 comment:
Assalamualaikum wrt.wbt.
Tahniah diucapkan kerana blog saudara sentiasa diupdate walaupun mula dibina bulan Mei 2008 yang lalu.
Saya pun baru membina blog sendiri kira-kira dua minggu lepas atas cadangan saudara juga.
Saya akan cuba mengupdate blog sendiri setiap hari kalau diizinkan Allah SWT. Lawatilah blog saya dan berikan komen ke arah menambahbaikan lagi blog saya.
Selamat menjalani ibadat puasa. Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada puasa pada tahun lepas. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang berpuasa tetapi hanya penat menahan lapar dan dahaga sahaja sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Wal 'Iyadzubillahi min zalika.
Post a Comment