31 August 2008

Kemerdekaan Yang Semakin Hilang Serinya…


Saya berada di Kuala Rompin Pahang sejak semalam di kampung isteri. Sepanjang perjalanan dari Melaka ke Rompin saya dapat melihat suasana muram dan 'lesu' Sambutan Kemerdekaan ke 51 yang diraikan hari ini.

Bangunan kerajaan dan premis persendirian yang memasang bendera sangat sedikit hanya ala kadar sahaja. Suasana di Bandar Tangkak, Segamat, Muadzam dan Kuala Rompin sendiri suasana kemerdekaan tidak seperti tahun –tahun sebelumnya. Malah papan tanda sambutan kemerdekaan di Bandar Kuala Rompin yang dipasang tahun lepas masih tidak digantikan dengan yang baru.

Lebih mengejutkan, tahun ini tidak ada upacara perbarisan kemerdekaan peringkat daerah Rompin seperti tahun – tahun sebelum ini. Untuk makluman sebelum berhijrah ke Melaka ( balik kampung ) kira –kira 5 tahun lalu saya telah tinggal lebih 7 tahun di Rompin. Suasana kemerdekaan ternyata berbeza.

Kenderaan yang memasang bendera Malaysia atau negeri , hanya boleh dikira dengan jari bermula di Lebuh Raya PLUS Ayer Keroh – Tangkak hinggalah sampai di Kuala Rompin.

Cuma, malam tadi ada 'sambutan kemerdekaan' oleh anak –anak muda golongan mat rempit sambil menunggang motor yang membingitkan telinga.

Jelas di sini, senario yang berlaku dalam Negara terutama kegawatan ekonomi dan 'teori' peralihan kuasa' menyebabkan suasana kemerdekaan ke 51 tahun ini begitu lesu dan suram.

Semoga pada 16 September rakyat Malaysia kembali ceria dengan sambutan 'Pembentukan Malaysia'.

No comments: