01 September 2008

Apabila Manusia Menolak Agama…


Saya tertarik dengan kenyataan seorang pegawai polis iaitu Pegawai Hal Ehwal Awam, Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Chif Inspektor Chong Kean Heng, bila seseorang mengerjakan perbuatan terbaik dalam agamanya lazimnya orang itu tidak akan terdedah dengan berbagai gejala yang merugikan masa depan bangsa dan agamanya.

"Gejala jenayah hanya boleh diatasi dengan cara mengerjakan sembahyang mengikut budaya agama masing-masing, Tanpa tunduk pada tuhan seseorang itu boleh berkelakuan 'kurang ajar' atau lebih membimbangkan wujudnya Gengsterism di kalangan remaja sekolah, " tambahnya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendekatan agama merupakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah jenayah yang semakin membimbangkan akhir –akhir ini. Dalam konteks ini, Islam merupakan agama terbaik untuk penganutnya untuk meneliti dan menghayati serta mentaati setiap ajarannya.

Masalah yang berlaku dalam negara, sama ada peningkatan kadar jenayah, salah laku remaja, kecelaruan politik, kemelesetan ekonomi malah kadar kemalangan di jalan raya di negara adalah berpunca dari sikap manusia atau mereka yang berkuasa tidak melihat agama Islam sebagai alternatif dalam mencari punca dan mengatasi semua masalah.

Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam negara. Dalam kekalutan masalah salah laku dan sosial di kalangan muda –mudi , pihak Kabinet masih meluluskan konsert artis rock dari Barat, Avril Lavigne yang boleh merosakkan golangan remaja kepada budaya tidak sihat.

Begitu juga dengan sambutan Kemerdekaan malam semalam, persembahan artis-artis tidak senonoh yang berpakaian tidak sopan dengan persembahan yang memualkan masih lagi menjadi 'menu' utama dalam sambutan ambang kemerdekaan di banyak tempat dalam negara.

Semua ini menunjukkan bahawa pihak tertentu yang berkuasa tidak peka kepada tuntutan agama Islam. Dalam hal ini saya memuji tindakan mufti Perlis yang agak konsisten dan vokal dalam menyentuh isu yang sensitif kepada umat Islam. Terbaru, beliau menyelar pihak yang membenarkan dan menganjurkan Konsert Avril Lavigne di Stadium Merdeka kelmarin

Bagaimana dengan mufti – mufti yang lain ? Di mana pula suara 'lantang' tokoh akademik seperti Naib Cancelor UUM dan UiTM ? Kenapa senyap seribu bahasa ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan maruah, moral dan agama ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan isu hak Melayu yang kononnya mereka perjuangkan.

Semoga dengan kenyataan Chif Inspektor Chong Kean Heng, akan membuka mata pihak –pihak lain. Adalah amat memalukan, seorang pegawai polis yang bukan beragama Islam melihat pendekatan agama adalah cara terbaik dalam menangani masalah jenayah. Namun, tokoh –tokoh agama dalam kerajaan hanya melihat 'sebelah mata' atau 'pejam mata' dengan masalah yang berlaku.


 

No comments: