13 October 2008

MASALAH KEKURANGAN WAD DAN PARKING SEMAKIN KRITIKAL DI HOSPITAL MELAKA


Dalam seminggu ini dua kali saya berurusan di Hospital Besar Melaka. Pertama disebabkan anak yang kecil demam sehingga terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selama dua hari dan hari ini emak pula dimasukkan ke hospital kerana masalah kekurangan gula kritikal dalam badan.

Sepanjang berada di Hospital Besar Melaka saya mendapati masalah kekurangan wad dan parking semakin kritikal. Jumlah katil dan wad yang tidak mencukupi menyebabkan ramai pesakit yang tidak mendapat rawatan yang sempurna.

Dalam kunjungan yang pertama kebetulan saya bertemu rakan saya, Hj. Salamat S/U Kawasan Pas Bukit Katil yang membawa emaknya ke hospital ini memberitahu saya dia dah dua hari terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak ada katil kosong di wad. Malah ada pesakit yang masih belum sembuh sepenuhnya telah diarahkan balik oleh pihak hospital bagi memberi laluan kepada pesakit yang baru tiba. Ramai lagi pesakit yang mengadapi masalah yang serupa.

Emak saya pula masih 'tersadai' di wad kecemasan dari pagi tadi kerana masalah yang sama. Saya dimaklumkan oleh doktor yang bertugas ada pesakit dah beberapa hari terpaksa menunggu di bahagian kecemasan kerana masalah wad yang kritikal. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain memberi rawatan yang terbaik sementara menunggu katil di wad kosong.

Di samping itu, perkarangan parking Hospital Melaka juga semakin sesak sehingga berlaku 'jammed' di dalam kawasan hospital terutamanya pada waktu melawat. Ada pengunjung terpaksa meletak kereta beberapa kilometer dari kawasan hospital disebabkan masalah parking ini. Tadi saya sempat melihat banyak kereta disaman oleh Polis Trafik kerana meletak kereta di bahu jalan dan garisan kuning.

Dalam hal ini, pemilik kenderaan tidak harus disalahkan 100%. Saya dapati mereka tidak ada pilihan akibat parking yang disediakan adalah sangat terhad. Justeru itu, tindakan menyaman adalah sesuatu yang kurang wajar. Lainlah, kalau parking dah disediakan masih meletak kenderaan secara sesuka hati.

Apa penyelesaian Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri? Jika di Hospital Tunku Jaafar Seremban, masalah parking selama ini diatasi dengan pembinaan sebuah parking bertingkat bernilai lebih 200 juta ringgit, di Hospital Melaka Kerajaan Melaka khususnya seolah-olah hanya melihat sebelah mata terhadap masalah yang berlaku.

Begitu juga dengan masalah kekurangan wad, apa tindakan kementerian kesihatan dan apa inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini ?

Alangkah baiknya,jika peruntukan projek-projek yang tidak berfaedah dan tidak perlu disegerakan seperti pembinaan Eye On Malaysia di Melaka, Aerospace dome dan skrin air terbesar dunia bernilai 43 juta ringgit, pembinaan muzium-muzium baru yang tidak perlu disegerakan digunakan dan disalurkan untuk projek pembangunan yang dapat meningkatkan dan membaiki kemudahan di Hospital Melaka atau ditempat -tempat lain.

Tapi itu pandangan saya, sebaliknya kerajaan Melaka lebih sibuk dengan projek-projek mega yang hanya membawa keuntungan dan manafaat kepada pihak tertentu seperti penambakan laut di pantai Klebang, Projek Pulau Melaka yang kini terbengkalai dan projek pengindahan sungai Melaka yang setiap satunya bernilai ratusan juta ringgit daripada melaksanakan projek dan pembangunan yang dapat dinikamati oleh semua rakyat Melaka.

2 comments:

Anonymous said...

Saya amat bersetuju dengan artikel di atas. Bagi saya pertukaran lokasi Eye on Malaysia dari KL ke Melaka amat membazir. Adalah lebih baik jika kos peruntukan itu digunakan untuk kemudahan infrastruktur hospital...

Hasbullah Pit said...

Eyes of Malaysia patutnya diletakkan di Hospital dan dijadikan tempat letak kereta,

Bayangkan kereta berpusing naik dan turun.