22 November 2008

HIMPUNAN GMI;POLIS BERI AMARAN-MALAYSIAKINI



Amaran demi amaran dikeluarkan oleh polis terhadap Program 'Pelancaran Kempen Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)' dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok. Pihak polis dijangka akan tindakan tegas dan keras terhadap program itu jika pihak penganjur meneruskannya.Setakat ini tidak ada tanda-tanda program itu akan ditunda atau dibatalkan.

Sehingga saat ini, polis terus memberi amaran agar perhimpunan tersebut dibatalkan kerana tidak mendapat permit. Polis 'menasihatkan' orang ramai agar tidak menghadiri atau menghampiri perhimpuan tersebut.

Majlis tersebut dijangkakan akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Dato; Seri Anwar Ibrahim dan dilancarkan pada 9 malam esok.Kempen anjuran GMI bersama parti-parti pembangkang itu adalah bagi mendesak kerajaan untuk memansuhkan ISA yang merupakan antara tinggalan zaman penjajahan British lalu.

Selain Anwar, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang dijangka hadir dalam majlis berkenaan beserta pimpinan pelbagai peringkat dalam parti pembangkang dan NGO-NGO

Berdasarkan tindakan dan perkembangan terkini dalam siri-siri himpunan aman baru-baru ini seperti Himpunan Mengingati Himpunan Bersih, pihak polis dilihat sengaja menimbulkan provokasi dengan membuat tangkapan sewenang-wenangnya peserta himpunan walaupun ketika itu sedang menyanyikan lagu Negaraku. Malah terdapat wartawan seperti dari Malaysiakini yang turut tidak terlepas daripada tindakan keras polis itu.

Tindakan pihak polis akhir-akhir ini seolah-olah didesak oleh pemimpin politik dalam kerajaan yang bertujuan untuk mengalih isu kegawatan politik dan ekonomi yang sedang melanda negara.

Dalam hal ini, kerajaan dan polis perlu rasional bahawa dalam sejarah siri himpunan aman yang diadakan belum pernah wujud keganasan yang berlaku seperti di negara lain. Himpunan diadakan bertujuan untuk menyuburkan demokrasi untuk memberi ruang dan hak rakyat untuk bersuara. Malah kecekapan pihak penganjur mengawal lalu lintas dengan kehadiran puluhan ribu peserta himpunan seperti yang dilakukan oleh unit Amal kerap mengundang pujian orang ramai. Hanya provokasi polis yang sengaja menangkap peserta himpunan serta 'hidangan' gas pemedih mata dan semburan air asid dari trak water canon menyebabkan peserta himpunan terpaksa bertempiaran menyelamatkan diri.

Alasan pihak polis bahawa himpunan yang bakal diadakan di tempat terbuka yang menganggu ketenteraman awam dan kesesakan lalulintas adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. Himpunan tersebut dibuat di stadium! Jika begitu semua perlawanan bola sepak yang diadakan dalam stadium di negara ini tidak boleh diadakan kerana dilangsungkan di tempat terbuka. Begitu juga konsert seperti Jom Heboh anjuran TV3 yang sering menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas.

Sikap yang bakal ditunjukkan oleh kerajaan melalui pihak polis pada program esok mencerminkan bahawa kerajaan Umno dan Barisan Nasional masih memerlukan akta zalim ISA ini untuk meneruskan survival dan kuasa politik mereka yang kian terhakis dan pupus. Apa yang lebih dibimbangi penangkapan yang mungkin akan dibuat kepada tokoh utama Pakatan Rakyat yang menghadiri progam esok adalah sesuatu yang sengaja dirancang untuk memberikan imej negatif serta mengalih isu rasuah dan krisis kepimpinan serta isu moral yang sedang melanda kerajaan khususnya dalam Umno.



No comments: