10 November 2008

PERALIHAN KUASA OBAMA-BUSH VS PAK LAH-NAJIB-MALAYSIAKINI


4 November lalu seluruh dunia menyaksikan kemenagan besar Barrack Obama sebagai presiden Amerika dari parti Demokrat. Susulan daripada kemenangan besar itu satu mesyuarat di antara Obama dan Bush akan diadakan minggu ini untuk membincangkan proses peralihan dan penyerahan kuasa.

Proses peralihan kuasa di antara Obama dan Bush berlangsung dalam suasana yang harmonis tanpa berlaku sebarang masalah besar walaupun Bush daripada parti Republikan. Tidak ada isu berangkit. Tidak timbul istilah rumah siap pahat masih berbunyi. Jauh sekali wujud situasi baling batu sembunyi tangan atau tikam dari belakang.Serba serbinya nampak elok dan berjalan lancar.

Berbeza dengan proses peralihan kuasa yang dicanang di antara Pak Lah-Najib. Walaupun Pak Lah menyifatkan Najib sebagai teman setia di waktu susah dan senang tetapi seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena tentang proses peralihan kuasa ini. Sepatutnya apabila kedua-duanya daripada parti politik yang sama berbeza dengan Obama dan Bush proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib sepatutnya lebih lancar lagi.

Inilah padahnya apabila berlaku proses peralihan kuasa 'setuju dalam paksa'. Umum mengetahui Pak Lah pada awalnya memutuskan untuk berundur pada tahun 2010 kerana merasakan banyak tugasnya untuk parti dan negara masih belum selesai. Tetapi disebabkan desakan hebat yang dipercayai didalangi oleh Najib, Pak Lah dengan 'senyuman dalam tangisan' bersetuju mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib pada Mac tahun depan.

Bush mengundur diri sebagai presiden Amerika kerana tempoh jawatannya telah tamat. Tetapi Pak Lah terpaksa mengundur diri walaupun merasakan tugasnya masih belum selesai. Kesannya, apa yang kita saksikan pada hari ini. Sehingga wujud pelbagai istilah dan masalah proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib. Serba serbinya macam tak kena.

Walaupun proses peralihan kuasa ditakdirkan benar-benar berlaku pada Mac depan di antara Pak Lah-Najib, pergolakan dalam Umno dijangka akan terus berpanjangan di antara kem Najib dan Pak Lah tanpa diketahui kesudahan jalan ceritanya. Apa yang pasti yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia walaupun mereka bukan ahli Umno!

2 comments:

Anonymous said...

Apa yang berlaku di luar negara tak sama macam dalam negara.. Peralihan kuasa Bush-Obama dilihat sebagai peralihan kuasa yang harmonis kerana mungkin kemenangan Obama memang dijangkakan. Peralihan kuasa Pak Lah-Najib dilihat sebagai 'setuju dalam paksa' disebabkan oleh sikap rakyat yang mendesak Pak Lah letak jawatan secepat mungkin tanpa memberi peluang kepada Pak Lah untuk menyelesaikan tugas-tugas beliau yang belum selesai...Desakan daripada Najib dan pemimpin UMNO lain juga memberi tekanan kepada Pak Lah. Satu sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang agak kurang sopan terhadap Pak Lah...

Anonymous said...

mana nak sama polisi US dan Malaysia.di US calon presiden mengambil masa selama 2 tahun untuk mengadakan kempen dan berbillion dollar mereka boleh dapat kutipan dalam proses kempen tersebut.

lagi satu di US,Obama dipilih melaui proses undian.majoriti memilih Obama jadi Obamalah presiden bermula pada tahun hadapan.

diMalaysia Pak Lah dipaksa untuk berundur.maka diadakan peralihan kuasa.itupun terpaksa diawalkan oleh Abdullah.