30 November 2008

SIAPA YANG BAKAL DIHUKUM DI KUALA TERANGGANU?

Pilihanraya kecil parlimen Kuala Teranggaunu bakal diadakan dalam tempoh terdekat berikutan kematian Datuk Razali Ismail sebagai ahli parlimennya sebelum ini. Ini merupakan pilihanraya kecil kedua selepas parlimen Permatang Pauh sejak pilihanraya umum ke 12 lalu.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu telah terbukti memberi impak yang sangat besar kepada Pakatan Rakyat(PR) khususnya kepada Parti Keadilan Rakyat yang meletakkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya. Permatang Pauh dan Kuala Terangganu membawa pengertian yang begitu berbeza. Di Permatang Pauh, momentum sokongan rakyat kepada PR sangat besar dan begitu menggalakkan. Ini semua kerana para pengundi melihat Permatang Pauh bakal membawa titik tolak perubahan politik di Malaysia secara total. Anwar mendapat sokongan padu kerana dia telah awal-awal lagi dinobatkan sebagai bakal perdana menteri yang bakal mengambil alih kerajaan dari Barisan Nasional ( BN ) pada 16 September.Hasilnya Anwar mendapat 31,195 undi mengalahkan Datuk Arif Shah Omar (15,524 undi) iaitu majoriti 15,671 undi.

Namun begitu, senario Permatang Pauh dan Kuala Terangganu adalah berbeza. Selepas Permatang Pauh, pelbagai peristiwa dan perkembangan politik dan ekonomi melanda Negara. Permatang Pauh, rakyat rakyat khususnya di parlimen berkenaan mengundi untuk memilih ‘bakal Perdana Menteri’. Mengundi Anwar bermakna memilih harapan baru dan membebaskan Negara dari belenggu kezaliman dan penindasan yang dilakukan BN selama ini. Di samping memberi pengajaran kepada BN yang sengaja menaikkan darah rakyat dengan menaikkan harga minyak secara terlampau.

Esok, bakal memasuki bulan Disember. Harga minyak telah diturunkan ke paras RM 2 untuk petrol dan RM 1.90 untuk diesel.Harga yang sedikit melegakan rakyat walaupun harga barang masih mahal dan naik melambung. Anwar masih tidak menjadi perdana menteri. Kerajaan baru juga masih belum terbentuk. Mungkinkah, rakyat Kuala Terangganu bakal memberi pengajaran kepada PR walaupun calon dari PAS yang akan bertanding?

Manakala di pihak BN khususnya Umno mereka bakal berhadapan dengan pilihanraya ini dengan 1001 macam masalah. Kegagalan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terangganu dan permainan politik Ahmad Said yang akhirnya dinobatkan sebagai menteri besar mungkin akan digunakan oleh pengikut dan penyokong Idris Jusoh untuk mengajar Ahmad Said. Keadaan bertambah runcing apabila wujud kemelut politik yang berpanjangan rentetan daripada pemilihan Umno di peringkat bahagian. Kegawatan dalam Umno turut ‘diserikan’ lagi dengan isu peralihan kuasa di antara Najib dan Pak Lah. Malah tidak mustahil akan berlaku ‘boikot’ dari pihak umno sendiri yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam umno sekarang daripada peringkat pusat, negeri, pemuda dan wanita.

Kenaikan harga barang yang menjejaskan golongan petani dan nelayan serta isu tanah rakyat dan perobohan masjid Kg Bujal oleh kerajaan BN di Terangganu serta isu polis melepaskan peluru hidup di Batu Buruk dijangka akan kembali dijadikan isu yang sukar ditangkis oleh BN dalam pilihanraya ini. Semua ini seolah-olah memberi petanda calon PR akan menang selesa di pilihanraya kecil Kuala Terangganu.

Dalam keadaan Umno yang semakin nazak dengan konflik dalaman adalah sukar bagi mereka untuk mengerakkan jentera mereka secara optimum dan menyeluruh. Berbeza dengan PR yang dilihat kerjasama semakin erat walaupun ada sedikit ‘masalah’ tetapi dapat diselesaikan dan ditutup secara baik. Walaupun hari ini wujud suara dalam Kongres PKR yang menggesa Pas bertolerasi dengan memberi laluan kepada PKR bertanding di Kuala Terangganu. Namun begitu, ini isu biasa yang tidak memberi masalah dan menjejaskan kempen dan jentera PR menghadapi pilihanraya kecil ini.
Apa yang pasti pilihanraya kecil Kuala Terangganu bakal memberi isyarat tentang hala tuju dan juga masa depan serta survival politik BN dan PR. Peluang kedua-dua pihak sebenarnya agak seimbang bergantung sejauh mana isu yang dinyatakan di atas dapat ditangani dan diolah dengan baik oleh kedua-dua pihak.

Pilihanraya ini juga bakal menguji sejauh mana kepimpinan pengerusi dan Setiausaha SPR baru,Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang semakin terhakis semasa rejim Tan Sri Rashid Abd. Rahman yang diselubungi dengan pelbagai isu yang kontroversi.

Semua pihak akan menanti apa yang akan dilakukan oleh 80325 pengundi di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kali ini. Dijangka isu tempatan lebih dominan berbanding dengan isu di peringkat nasional. Pada firasat saya, anak tempatan akan dipilih untuk bertanding mewakili sama ada PR atau BN. Siapa yang bakal dihukum dan terhukum juga bakal ditentukan dalam pilihanraya ini nanti. Sama-sama kita nantikan

2 comments:

suka_aman said...

untuk di Kuala Terengganu nanti peluang 50-50 untuk PR dan juga BN.boleh jadi BN yang menang atau PR yang menang.tak tentu.tapi kelebihan kepada BN sekiranya penduduk Kuala Terengganu berpuas hati dengan khidmat yang diberikan oleh BN kepada mereka setakat ini.

jeremy adnan said...

dulu Terengganu pernah jatuh ditangan PAS.namun BN telah belajar dari kesilapan mereka dan seterusnya merampas semula Terengganu.
sejak dari PRU yang lepas,boleh dikatakan jika ada pilihanraya kecil yang diadakan di Kuala Terengganu memberi peluang kepada kita semua dan BN khususnya jika mereka lagi relevan dan dipercayai oleh penduduk Terengganu dan penduduk Kuala Terengganu khususnya.