Pendedahan akhbar Kosmo Online hari ini tentang betapa mudahnya kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar di LCCT ( Terminal Tambang Murah Antarabangsa) wajar diberi perhatian semua pihak agar tidak ada sesuatu yang buruk berlaku.
Bagaimana salah satu pintu masuk negara serta kawasan berisiko tinggi seperti itu diabaikan keselamatannya? Pengalaman beberapa kali menggunakan kemudahan terminal tersebut menjelaskan apa yang didedahkan ada kebenarannya. Apakah pihak keselamatan lupa bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika ada pihak ingin mengambil kesempatan? Adakah kerajaan hendak menunggu KLCC dirempuh pesawat seperti peristiwa 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia di New York baru hendak bertindak? Ketika itu penyesalan sudah terlambat dan tidak ada gunanya.
Kelemahan dan kerapuhan sistem keselamatan negara terutama keluar masuk di sempadan negara bukan isu baru. Buktinya ratusan ribu dan mungkin lebih jutaan pendatang asing yang ada di negara ini mendedahkan kepincangan yang berlaku.
Begitu juga dengan pendedahan sebelum ini bahawa banyak terdapat motorsikal di negara ini digunakan secara berluasa di negara jiran dengan masih menggunakan plat pendaftaran negara ( khususnya Melaka) di kawasan negara jiran seperti Dumai dan Pulau Rupat Indonesia mendedahkan bahawa betapa longgarnya isu keselamatan keluar masuk negara. Isu keluar masuk sempadan negara seolah-olah menjadi bahan lawak jenaka pendatang asing yang sering berulang alik ke negara ini.
Jika motorsikal negara ini begitu banyak boleh 'dieksport' ke negara jiran seperti Indonesia dengan menggunakan tongkang dan bot pancung, ada kemungkinan senjata api diseludup sama? Saya kira pembaca ada jawapannya.
Kerajaan perlu bertindak segera mencari jalan menangani isu ini sebelum keadaan bertambah parah dan kronik. Jangan perjudikan keselamatan negara ini. Peningkatan kadar jenayah yang melibatkan warga asing menggunakan senjata api canggih semakin berluasa akhir-akhir ini.Keadaan aman tidak boleh dijadikan sandaran untuk pihak keselamatan bersikap sambil lewa isu yang berlaku. Langkah segera serta merta merta perlu diambil. Jika perlu pihak keselamatan negara perlu ditingkatkan dari segi bilangan anggota dan aset yang canggih dan moden.Kelengkapan yang sudah layak disimpan di muzium seperti helikopter Nuri sepatutnya telah lama diganti. Malangnya isu ketelusan dan penyelewengan menyebabkan pembelian helikopter baru ditangguh. Bagi saya isu kegawatan ekonomi hanya alasan kerajaan untuk menutup kepincangan yang berlaku. Isu keselamatan tidak ada kompromi dan tidak perlu dipolitikkan serta disensasikan. Jangan biarkan rakyat di negara ini hidup dalam ketakutan.
2 comments:
benda-benda macam ni kerajaan tak boleh ambil mudah.jalan masuk kenegara melalui darat,udara dan lauat perlu senantiasa dipantau agar kita tak perlu menghadapi serangan pengganas seperti yang berlaku di Mumbai.
Betul tu, hal keselamatan negara macam ni perlu diambil perhatian.
Post a Comment