09 December 2008

MALANG BERTIMPA BUAT PENDUDUK MELAKA....


Setelah taufan SRK ( Shah Rukh Khan ) melanda Melaka, kini penduduk Melaka sekali lagi menerima nasib malang dengan kejadian banjir terbaru.

Masalah banjir kerap kali dibangkitkan oleh media termasuk di dalam blog ini. Walau bagaimanapun tidak nampak jalan penyelesaian konkrit.

Bagi penduduk di Taman Angkasa Nuri,Taman Merdeka,Taman Tamby Chik,Taman Rambai Utama,Taman Awan Biru dan Taman Seri Bayu serta banyak tempat lain lagi di Melaka hujan lebat sering menimbulkan igauan buruk kepada mereka.

Di Taman Awan Biru dan Seri Bayu, hujan beberapa jam sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan kawasan berkenaan. Seorang rakan yang tinggal di Seri Bayu yang juga pensyarah di sebuah IPTA di Melaka memberitahu dalam tahun ini sahaja telah tiga kali kena banjir kilat. Semua ini berpunca daripada sistem pengaliran air yang terhalang akibat pembinaan jalan di depan rumahnya.

Di Taman Awan Biru lebih teruk lagi. Ada penduduk yang berseloroh dengan memberitahu, nama je duduk di awan biru tapi selalu tenggelam dalam banjir.

Apa tindakan dan langkah kerajaan Melaka? Ali Rustam lebih dilihat sibuk-sibuk meninjau mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa tetapi lupa pada derita rakyat sendiri. Semalam segala persiapan hari raya Aidil Adha musnah. Orang lain sibuk ke masjid solat raya dan melakukan ibadah korban tetapi ribuan penduduk di Melaka semalam 'bekorban' membersihkan rumah yang disaluti lumpur.

Ali Rustam sanggup habiskan ratusan ribu ringgit duit rakyat untuk majlis anugerah Datuk pada Shah Rukh Khan tempoh hari berapa pula nilai bantuan untuk mangsa banjir di Melaka?

Sementara itu, ratusan juta ringgit lagi dileburkan untuk program naik taraf dan menyediakan prasarana pelancongan baru di Melaka tetapi apa pula inisiatif kerajaan Melaka untuk mengatasi banjir?

Kejadian hujan lebat kelmrin dan semalam mendedahkan bahawa program tebatan banjir yang sedang dibina di Sungai Melaka bakal menemui kegagalan.Sudahlah projek yang dibuat tidak siap ikut jadual tetapi tidak berkesan untuk hadapi banjir.

Apa guna program tebatan banjir, kalau air dari sungai Melaka terhalang dan lambat mengalir ke laut akibat program tambak laut yang sedang rancak di Pantai Kelebang? Kerajaan negeri sering memberi alasan hujan lebat dan air pasang sebagai punca banjir.

Mereka fikir semua orang Melaka sebodoh mereka, dulu tidak pernah berlaku hujan lebat dan air pasang?

Kerajaan negeri juga sanggup mendesak pihak kontraktor yang sedang menaik taraf lapangan terbang Batu Berendam agar menyegerakan projek dari jadual asal. Desakan kerajaan negeri menyebabkan kerja-kerja dilakukan siang malam, 24 jam!Tetapi untuk projek dan masalah yang melibatkan rakyat kerajaan seperti bersikap sambil lewa sahaja.

Inilah yang dikatakan malang bertimpa untuk rakyat Melaka, sudahlah ditimpa musibah banjir, kerajaan negeri pula tidak peka dengan masalah yang berlaku. Hanya sibuk mencari publisiti dan 'glamour' je...

No comments: