19 March 2009

PPSMI: NAK TUNGGU APA LAGI?

Pelbagai pandangan dan bantahan sudah dilakukan terhadap pelaksanaan PPSMI. Dari orang kampung sehinggalah ke pakar dan profesor bahasa, majoriti menentang pelaksanaan PPSMI.

Malah tanyalah guru-guru yang terlibat dalam PPSMI, walaupun mereka diberi elaun 5%-10% daripada gaji (banyak tu) majoriti di kalangan mereka tidak setuju dengan PPSMI.

Hanya arahan dan tugas serta kerana terpaksa menyebabkan mereka menggagahkan diri mengajar PPSMI.

Kajian terkini Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang melibatkan IPTA ternama iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara terhadap 5595 sampel di 56 sekolah terpilih mendapati hanya 4% sahaja pelajar menguasai PPSMI!

Apa yang lebih mengejutkan salah satu rumusan daripada hasil kajian ialah "PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Jadi apa lagi kerajaan melalui Kementerian hendak tunggu? Usahlah berdolak dalik dengan menggunakan hujah dan alasan yang mengelirukan. Malah sehingga hari ini cabaran untuk mengumumkan berapa markah lulus, kepujian dan cemerlang subjek matematik dan sains dalam peperiksaan yang lepas masih tidak berani diumumkan oleh kerajaan.

Saya mempunyai maklumat bahawa ada kemungkinan besar markah matematik dan sains dalam SPM baru-baru ini telah dimanipulasi untuk menghalalkan PPSMI. Pelajar yang tak pernah lulus boleh lulus dengan 'membanggakan'. Malah ada guru sains merasakankan keputusan subjek sains dan matematik di sekolah mereka adalah di luar jangkaan.Jika ini spekulasi saya, bagaimana dengan kajian ilmiah yang dijalankan di atas?

Justeru itu, kerajaan perlu membuat keputusan segera memansuhkan PPSMI. Jangan rosak dan binasakan bahasa dan minat generasi akan datang terhadap subjek sains dan matematik akibat dasar PPSMI yang terbukti merugikan ini dan tidak setimpal dengan kos berbilon ringgit yang telah dibelanjakan.

No comments: