29 April 2009

DUN PENANTI: INGATAN BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN DI PULAU PINANG



Pas Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhasrat untuk meletakkan calon Pas di Penanti.Dalam Pas, segala pandangan dan cadangan adalah amat dialu-alukan dalam konsep musyawarah. Tetapi sebagai ahli dan pimpinan di peringkat kawasan dan negeri apa-apa keputusan dan cadangan wajar dirujuk kepada pimpinan tertinggi di peringkat pusat.

Tidak salah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi setiap pandangan itu perlu disampaikan melalui saluran yang betul. Tidak disalurkan melalui media yang bukan menjadi lidah rasmi parti. Sekaligus memberi peluang kepada musuh untuk melaga-lagakan kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat selama ini.

Ini bukan bermakna Pas menyekat ahli untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Tetapi adab-adab berjemaah serta akhlak Islam perlu dijaga. Hubungan yang terjalin selama ini dalam Pakatan Rakyat adalah hasil pandangan dan keputusan daripada akar umbi di dalam jemaah Pas yang kemudiannya diputuskan perbincangan panjang lebar dalam Majlis Syura Pas..Bukan keputusan Mursyidul Am dan Presiden Pas secara bersendirian. Apa juga kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah dibincangkan secara mendalam dalam Majlis Syura Pas. Justeru itu apa juga perjanjian perlu ditaati dan disepakati.

Justeru itu pada pandangan saya, tindakan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh adalah kurang manis kerana boleh mengundang perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. Soalan saya kepada Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh mampukah Pas bersendirian dalam menguasai senario politik di negara ini? Boleh memenangi kerusi Parlimen dan Dun di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak yang majoriti pengundi Melayu sekitar 50-60%? Begitu juga kemenangan yang membawa menguasai negeri Kedah dan meningkatkan kemenangan Pas di kelantan?

Jika kita memilih untuk kekal menjadi pembangkang, dalam situasi sekarang saya yakin Pas tidak memerlukan rakan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Tetapi untuk tujuan mengembangkan syiar Islam dalam menyampaikan mesej daawah kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah sangat penting.

Lihatlah betapa hari ini orang Cina dan India boleh turut sama menyumbang tenaga dan membantu Pas dalam pilihanraya yang dilihat janggal dan mustahil satu ketika dahulu.Ini ditunjukkan dengan jelas dalam PRU yang lalu dan juga PRK di Kuala Terangganu dan Bukit Gantang yang ditandingi oleh Pas. Ini semua lahir dari kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Kepada sahabat-sahabatku dalam Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh apa juga keputusan pimpinan wajar ditaati selagi tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan kerosakan. Ingatlah konsep wala' yang selalu kita sebut dan bincang dalam usrah dan tamrin...Kami dengar...Kami taat...

No comments: