Setiap hari ada sahaja dadah yang berjaya diseludup ke negara ini. Jika kelmarin Polis Pahang berjaya merampas 900 kiligram dadah jenis syabu yang dimuatkan dalam kontena di Jalan Segamat Kuantan. Hari ini pula dilaporkan polis berjaya merampas 27 kilogram ganja dari seorang petani di Kedah.
Dalam bab ini saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis Malaysia kerana berjaya merampas dadah berkenaan dalam kuantiti yang besar. Jika dadah itu dipasarkan dalam negara ini tidak dapat dibayangkan berapa ramai generasi kita yang rosak binasa.
Tetapi dalam satu hal lain saya tertanya-tanya bagaimana dadah dalam kuantiti yang begitu banyak dapat membolosi sempadan negara? Mungkin jumlah yang dirampas adalah lebih kecil berbanding dadah yang berjaya dipasarkan di negara ini.
Semua ini mendedahkan betapa longgar, pincang serta lemahnya sistem keselamatan negara yang begitu mudah dibolosi. Kita tidak tahu berapa banyak lagi bahan terlarang dan merbahaya seperti senjata api selain dadah yang telah berlegar-legar di kalangan mereka yang tamak dan haloba yang inginkan kekayaan segera. Jika ini berlaku, rakyat di negara ini sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman pelbagai pelakuan jenayah dan ancaman lain.
Misalnya menurut sumber polis, mereka yang mengambil dadah jenis syabu akan bertindak di luar batasan kemanusiaan dan sukar diduga. Mereka ini dikateogori sebagai golongan yang 'berani mati'. Jika mereka terlibat dengan jenayah ragut dan rompak mereka tidak teragak-agak untuk membunuh dan bertindak ganas. Manakala jika mereka menjadi 'mat rempit' golongan ini merupakan senjata pembunuh kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.
Justeru sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan oleh pihak kerajaan terutamanya bagi menangani masalah yang semakin serius melanda negara pada hari ini supaya tidak membawa musibah yang lebih besar kepada negara ini.
05 May 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment