14 June 2009

KPLI DILANJUTKAN KE 18 BULAN

Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pendidikan Guru dalam proses akhir untuk memuktamadkan Kursus Perguruan lepasan Ijazah (KPLI) dilanjutkan dari setahun ke 18 bulan.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Datuk Misrah Ibrahim dalam satu kenyataannya semalam. Beliau berkata pelaksanaan itu akan dimulakan bermula pengambilan Januari 2010.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini mengajar dan memberi latihan di beberapa buah IPTA, IPTS dan sekolah berkaitan dengan bidang perguruan langkah memanjang tempoh kursus untuk KPLI adalah wajar untuk meningkatkan kualiti guru yang dihasilkan agar memiliki ilmu, kemahiran dan nilai yang mantap serta sesuai sebagai bakal guru.

Tempoh setahun yang dilalui sebelum ini dilihat sudah tidak sesuai lagi pada masa ini dalam memenuhi keperluan latihan kepada bakal guru. Malah sebenarnya guru KPLI hanya mengikuti teori kurang daripada 6 bulan di Institut Perguruan kerana selepas itu terlibat dengan pelbagai aktiviti dan Latihan Mengajar bermula semester satu dan semester dua pengajian.

Ini juga penting untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berminat sahaja dipilih untuk menyertai KPLI ini. Memandangkan ramai yang sebelum ini melihat KPLI sebagai pilihan kedua atau jalan pintas setelah gagal dalam bidang pekerjaan lain. Hanya mereka yang memiliki ketahanan sahaja yang sanggup untuk melalui dan menempuhi pelbagai aktiviti dan latihan sebagai persediaan untuk melahirkan guru yang berkualiti.

No comments: