02 December 2009

MAKKAL SAKTI: BARU TUBUH 2 BULAN DAH BERPECAH


Masih ingat lagi majlis perasmian penubuhan Parti Makkal Sakti yang disempurnakan oleh Dato Seri Najib Tun Razak. Semua tahu Makkal Sakti adalah kumpulan yang wujud dari Hindraf. Tidak dinafikan pengaruh Hindraf turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan yang ramai pengundi kaum India dalam pilihanraya umum lalu.

Apabila Makkal Sakti dirasmikan oleh Najib, maka ramai yang beranggapan bahawa ini merupakan peluang terbaik Umno@BN untuk kembali mendapat sokongan pengundi India setelah pergolakan dalam MIC. Kemenangan Umno di pilihanraya kecil Bagan Pinang dikatakan turut dipengaruhi sentimen pengundi India setelah wujud Makkal Sakti yang dikatakan menyokong Umno@BN.

Rupa-rupanya disangka panas sampai ke petang rupa-rupanya ribut petir disertakan hujan lebat di tengahari. Hari ini berlaku pergolakan besar dalam Makkal Sakti apabila wujud desakan supaya presiden yang ada R S Thanenthiran meletak jawatan.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Nampak gayanya semua parti yang menyertai BN kini sudah kena badi dan dimakan sumpah. MCA sedang bercelaru, MIC dah lama haru biru, Gerakan dah lama dah tak sebulu kini Makkal Sakti pula masuk regu.


1 comment:

budak kampung online said...

Hilanglah kesaktian Najib dan grombolan.