12 April 2010

PENGUNDI HULU SELANGOR DIMINTA AMBIL IKTIBAR JANJI PALSU UMNO-BN DI BAGAN PINANG

Setiap kali pilihanraya umum atau kecil, pemimpin Umno-BN akan menjadi makhluk yang paling pemurah, tawadhuk dan baik hati dalam dunia. Mana-mana yang perlukan bantuan sepantas kilat akan dibantu. Pada masa pilihanraya raya adalah ketika kita akan bertemu pemimpin Umno-BN berkain batik dan berkain pelikat mengayuh basikal memasuki setiap lorong dan ceruk kampung.

Dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang lalu, pelbagai bantuan dan janji ditabur. Keputusan diumumkan Umno-BN menang besar dengan majoriti lebih sekali ganda berbanding pilihanraya umum sebelumnya.

Antara janji Umno-BN ketika itu akan menyelesaikan masalah naik taraf jalaraya dari Telok Kemang ke Pasir Panjang. Apa yang berlaku? Sehingga hari ini walaupun pilihanraya kecil Bagan Pinang sudah lama berlalu, penduduk setempat terus bergelumang dengan masalah debu dan banjir akibat pembinaan jalan yang terbengkalai itu.

Penduduk kaum India di estet Bagan Pinang yang dijanjikan pembinaan kuaters baru di kawasan estet mereka terus melopong dan kempunan menunggu janji-janji pemimpin Umno-BN
yang dItabur dalam pilihanraya kecil lalu.

Kini, pilihanraya kecil Hulu Selangor pula , Umno-BN cukup mengharapkan undian dan sokongan pengundi India di situ. Apakah pengundi India di situ akan termakan umpan seperti di Bagan Pinang? Jika begitu keadaannya maka benarlah pengundi India hanyalah alat Umno-BN untuk memenangi pilihanraya dan bukannya untuk membela dan menjaga kebajikan mereka. Pengundi India perlu perlu berubah dan berani mengajar pemimpin Umno-BN agar mereka tidak dilabelkan sebagai rakyat kelas tiga di negara ini.

No comments: