27 July 2009

BANJIR LAGI!

Air telah mulai surut tetapi hujan kini kembali berterusan

Hujan lebat kira-kira tiga jam menenggelamkan beberapa tempat di Melaka. Antara tempat yang dinaiki air ialah beberapa tempat di Merlimau,Kampung Sungai Putat Taman Chempaka, Kampung Durian Daun dan Kampung Musai. Manakala di Taman Merdeka dan Taman Angkasanuri penduduk di tempat berkenaan panik seketika apabila air naik secara tiba-tiba walaupun hujan turun dalam masa yang singkat.

Ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk yang bergegas menyelamatkan kenderaan dan barang berharga. Walau bagaimanapun air mulai surut beberapa jam kemudian. Ini membuktikan bahawa projek Tebatan Banjir di Sungai Melaka berhampiran Taman Merdeka yang menelan kos jutaan ringgit gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan berhampiran.

"Kalau hujan lebat dalam tiga jam dah nak tenggelam, agaknya macam mana kalau hujan tiga hari tak berhenti macam banjir dulu" Menurut seorang penduduk Taman Angkasanuri merujuk banjir besar yang melanda pada penghujung tahun 2006.

Rayuan saya kepada kerajaan Melaka yang dipimpin oleh Datuk Seri Muhamad Ali Rustam, beri keutamaan kepada projek mengatasi banjir dahulu dan bukannya projek pelancongan atau pembangunan lain yang kurang penting di Melaka.Apa guna kerajaan berbangga dengan projek Tambak laut dan pelbagai produk pelancongan baru kalau rakyat sendiri hidup menderita dan sentiasa kebimbangan.

Menurut seorang penduduk lagi, pembinaan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam juga dikatakan menjadi penyebab mengapa air naik dengan tiba-tiba apabila pembinaan lapangan terbang berkenaan telah menghalang laluan air dari longkang utama.

"Mungkin hujan lebat yang luar biasa ni nak 'menyamak' wabak H1N1 yang semakin menjadi-jadi di Melaka sekarang ni" menurut seorang penduduk yang enggan dikenali namanya.

Sehingga kini hujan telah kembali turun tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

air sungai Melaka yang telah melimpah dari tebatan yang dibina

26 July 2009

GILIRAN CHUA SOI LEK KELUAR DARI MCA?


Perpecahan yang berlaku dalam MCA dilihat semakin kronik apabila Datuk Ong Tee Keat berpatah arang dengan timbalannya Datuk Chua Soi Lek. Isu ini bermula dari pemilihan MCA lalu dan terus berlarutan apabila Ong Tee Keat menggunakan kuasanya sebagai presiden dengan membuka kembali kes 'VCD Terlampau" Chua Soi Lek di peringkat jawatankuasa disiplin parti.

Sehingga hari ini masing-masing saling tuduh menuduh dengan dakwaan cuba menjatuhkan di antara satu sama lain. Saya yakin Chua Soi Lek tidak mampu bertahan lama dalam MCA dan tidak mustahil beliau kemungkinan akan mengumumkan keluar dari parti. Tetapi parti mana yang sanggup terima Chua Soi Lek? Sekiranya Chua Soi Lek ingin menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat saya harap jangan sekadar fikir dua tiga kali tetapi kena fikir 1001 kali! Biarlah Chua Soi Lek menubuhkan parti baru atau pun menjadi parti bebas.

25 July 2009

LAGI PUKULAN TKO UNTUK UMNO@BN

Umno@BN menerima pukulan TKO seterusnya hanya kira-kira seminggu selepas bekas Naib Presiden MCA Dr Chua Jui Meng menyertai PKR minggu lalu. Hari ini Datuk SS Subramaniam bekas ahli Parlimen Segambut, 20 tahun menjadi Naib Presiden MIC secara rasmi mengumumkan menyertai PKR dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Medan peatang tadi. Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Politik Malaysia dijangka akan terus digegarkan lagi dengan berita bahawa dalam tempoh terdekat seorang lagi pemimpin kanan Umno bakal menyertai PKR. Sekiranya berita ini menjadi kenyataan Umno@BN bukan sekadar menerima pukulan TKO tetapi KO!

H1N1: KINI SUDAH 10 DI MELAKA DITUTUP!


Wabak H1N1 terus menimbulkan misteri dan suasana membimbangkan apabila hanya 'berminat' dengan institusi pendidikan di Melaka. Semalam, ILP Bukit Katil, Pusat Latihan Kemas Bukit Katil dan SMK Teknik Bukit Katil memasuki senarai ke 10 institusi pendidikan di Melaka yang diarahkan tutup akibat wabak Demam Selsema Babi(H1N1).

Secara kebetulan, lapan dari sepuluh institusi pendidikan yang ditutup terletak dalam kawasan Parlimen Bukit Katil yang Ketua Bahagian Umno dan juga Ketua Menteri ialah Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Tetapi sehingga hari ini saya belum lagi mendengar atau melihat sebarang kenyataan atau tindakan Ali Rustam berkaitan dengan wabak berkenaan. Ke mana menghilang dan menyepi Ali Rustam ketika wabak ini melanda?

Dalam hal ini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan dan agensi dibawahnya seperti Hospital Besar Melaka , Poliklinik dan Klinik yang bertungkus lumus siang dan malam bagi menangani wabak ini yang sehingga kini telah mencatat 70 kes di Melaka.

24 July 2009

AWASI PROVOKASI DAN SABOTAJ KUMPULAN PRO ISA


I Ogos ini akan mencatat sejarah kerana jika tidak ada aral melintang dua pihak yang berbeza dalam isu yang satu akan berdemontrasi. Tetapi dengan haluan yang berbeza, prinsip yang bertentangan umpama langit dengan bumi.Dua kumpulan ini melibatkan dua kumpulan anti ISA dan penyokong ISA.

Kumpulan anti ISA diterajui oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang mendapat sokongan padu dari semua komponen dalam Pakatan Pakyat serta 83 NGO seluruh negara. Dikhabarkan Gerakan akan turut sama dalam demontrasi membantah ISA.Pemimpin tertinggi pakatan Rakyat awal-awal lagi mengesahkan akan turut serta.

Manakala penyokong ISA terdiri daripada beberapa NGO yang menamakan diri mereka PEWARIS, PERKASA yang pastinya penyokong UMNO@BN.

Namun begitu saya melihat seperti ada sesuatu yang bakal berlaku pada perhimpunan 1 Ogos nanti. Kenyataan-kenyataan daripada penyokong ISA seperti pakar lompat Datuk Ibrahim Ali membayangkan bahawa akan berlaku huru-hura pada himpunan 1 Ogos nanti. Adakah ini tujuan mereka? Pakatan Rakyat yang selama ini sering terlibat pelbagai demontrasi yang kadang-kadang mencecah ratusan ribu penyokong tidak pernah pun sekali membayangkan akan berlaku huru-hara dalam demontrasi yang dianjurkan. Sebaliknya pihak polis dan FRU yang sering melakukan provokasi dengan melepaskan gas pemedih mata dan air asid kepada peserta demontrasi kononnya mengawal keselamtan ( sebenarnya mengawal pemimpin Umno@BN).

Tetapi pihak pro ISA awal-awal lagi membayangkan akan berlaku huru-hara dan suasana tidak terkawal. Saya mengingatkan kepada semua yang terlibat dalam himpunan mansuhkan ISA agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang provokasi. Mungkin himpunan ini akan 'dibenarkan' oleh pihak polis agar berlaku pertembungan di antara dua pihak. Bila keadaan tidak terkawal maka senanglah pihak polis menggunakan sebagai alasan untuk mengheret pemimpin Pakatan Rakyat khasnya dan tidak mustahil dalam agenda Operasi lalang 2.

H1N1: DUA LAGI INSTITUSI PENDIDIKAN DI MELAKA DITUTUP


Wabak Demam Selsema Babi H1N1 semakin merebak di Melaka apabila hari ini dua buah lagi institusi pendidikan di Melaka di tutup iaitu IKM Jasin dan Institut Kota. Apa yang lebih merunsingkan ia melibatkan institusi pendidikan yang menjejaskan kira-kira 10,000 pelajar di negeri ini.

Sebelum ini, UiTM Lendu Jasin, Institut Perguruan Guru Kampus Perempuan Melayu, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Profesional Mara dan sekolah Kejururawatan Nilam termasuk dalam senarai yang dilanda wabak H1N1.Ini bermakna sudah tujuh buah institusi pendidikan di Melaka telah ditutup.

Sehingga hari ini 70 pelajar dari institusi berkenaan disahkan positif H1N1 yang sembilan daripadanya dirawat di hospital.

ZAMBRY KENA PUKULAN TKO DARI TOK GURU NIK AZIZ

Sehari dua ini Menteri Besar Mahkamah, Datuk Zambry Abdul Kadir menunjukkan kehebatannya dalam soal agama dengan meminta fatwa dari Dewan Ulama Pas tentang isu Menteri Besar Rakyat, Datuk Seri Ir Nizar Hj. Jamaludin memegang lilin berkaitan kematian Teoh Beng Hock. Sejak bila Umno berpegang dengan 'fatwa' Dewan Ulama Pas? Adakah ini satu pengiktirafan kepada Dewan Ulama Pas? Bersediakah Umno dengan 'fatwa' Pas sebelum ini bahawa Umno parti sekular, agama suku politik suku? Bersediakah Umno untuk gazetkan 'fatwa' Pas bahawa Umno menolak dan menghina Islam? Menentang hukum Islam dan bersubahabat dan bertanggungjawab luluskan lesen judi arak serta tempat maksiat di negara ini? Jawapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat terhadap permintaan Zambry ternyata ibarat senjata makan tuan.

"Zambry ni orang politik bukan orang yang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun dia tak pakai, lagi pun keluar fatwa ni tugas mufti," ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Zambry yang memintanya mengeluar fatwa berhubung isu memegang lilin.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Dataran Warisan di sini semalam.

Menteri Besar Perak sebelum ini meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Nizar memegang lilin ketika hadir pada satu majlis di Perak Jumaat lepas.

Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim hari ini menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Nizar majlis berkabung memperingati kematian Teoh Beng Huat.

Menurutnya gambar tersebut merupakan majlis menyalakan lilin diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.

Idham juga menjelaskan amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun dan bukan amalan agama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sekiranya beliau dijemput masyarakat Hindu atau Cina ke tempat ibadat mereka, beliau akan bertanya terlebih dahulu adakah program keagamaan atau adat resam.

"Saya kata kalau soal agama saya tak boleh pergi, tetapi adat resam atau budaya saya boleh pergi.

"Tiap-tiap tahun anak cucu kita menyambut ulang tahun kelahiran mereka dengan memacak lilin atas kek mengikut umur.

"Kalau setahun sebatang lilin kemudian menghembuskan, jadi lilin ni digunakan sebagai satu perkara yang simbolik terhadap sesuatu perkara lain. Begitu juga dalam masalah yang diheboh sekarang ni," ujarnya.

Menurutnya Rasulullah saw menghantar surat pada raja-raja Mesir, Iran dan India menggunakan ayat al-Quran. Saya juga teringin nak minta fatwa dari Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria apa hukumnya tiup lilin sempena sambutan Hari lahir seperti di bawah ni.



Apa pula komen 'ulama-ulama' di Majlis Agama Islam Melaka yang menganjurkan pertandingan 'panjut' atau pelita peringkat negeri Melaka sempena sambutan '7 likur' tahun lepas?

Bagaimana pula dengan gambar ini?

23 July 2009

EMPAT LAGI IPTA/S DI MELAKA HARI INI DITUTUP KERANA H1N1

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, hari ini 4 buah IPTA/S di Melaka diarahkan tutup sementara oleh kementerin Kesihatan sehingga 30 Julai kerana terdapat pelajarnya yang positif penyakit Selsema Babi H1N1. Antara yang terlibat ialah Kolej Yayasan Melaka, Kolej Jururawat,Kolej Profesional Mara dan Institut Perguruan Perempuan Malaysia Kampus Perempuan Melayu.

Ini bermakna telah 5 buah IPTA/S di Melaka ditutup selepas UiTM Lendu Alor Gajah Melaka yang diarahkan tutup selama 9 hari pada minggu lepas.

Walau bagaimanapun usaha Kementerian Kesihatan mengawal wabak ini daripada terus merebak diragui memandangkan sehingga hari ini pihak kerajaan negeri masih terus membisu dan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk bersama mengawal wabak ini. Misalnya aktiviti yang melibatkan orang ramai yang menyebabkan penyakit ini boleh menular dan tidak terkawal.

Misalnya segala aktiviti pelancongan, acara rasmi atau apa sahaja aktiviti yang boleh mendedahkan orang ramai kepada wabak ini. Misalnya dalam kekalutan wabak ini melanda, di Pasaraya JayaJusco sedang berlangsung hari JKard yang menyebabkan kesesakan luar biasa. Manakala pada 31 Julai ini rangkaian Pasaraya Parkson akan 'melawan' dengan menganjurkan hari Bonus Link untuk pelanggannya.

Dalam hal ini kerajaan negeri boleh mengeluarkan arahan agar aktiviti seumpama ini ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali tenang dan terkawal. Adakah kerajaan Melaka sanggup mengadai nyawa rakyat kerana bimbang aktiviti pelancongan di Melaka terjejas.?Adakah hendak menunggu sehingga ada yang terkorban baru hendak bertindak?

Semua pihak perlu merenung dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri bersikap 'lunak' dan 'mesra' kepada penternak dan pengusaha babi di Paya Mengkuang Melaka sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi dalam masyarakat.

22 July 2009

DEMO BESAR-BESARAN SOKONG POLIS DAN SPRM

Umno Bahagian Ampang hari ini berjaya menganjurkan demontrasi besar-besaran menyokong pasukan polis dan SPRM. Demontrasi tersebut diketuai oleh Datuk Ismail Kijo dan turut disertai komponen dalam Barisan Nasional bahagian berkenaan. Pelbagai sepanduk dinaikkan menyatakan sokongan kepada dua-dua badan berkenaan. Demontrasi ini dipercayai berkait rapat dengan imej SPRM dan polis yang tercemar berikutan kematian Teoh Beng Hock. Menurut Malaysiakini perhimpunan tersebut telah berjaya menghimpunkan kira-kira 60 orang peserta demontrasi.....
Apa komen Khairy Jamaludin yang panggil 'beruk' kepada peserta demontrasi BERSIH sebelum ini? Adakah ekonomi negara terjejas dengan demontrasi Umno ini? Adakah pelancongan negara juga terjejas dengan demontrasi ini? Berapa ramai pelabur yang lari dari negara dengan demontrasi ini?

PENGERUSI PASTI DAN MURID PASTI JASIN KEMALANGAN

Satu kemalangan berlaku semalam yang melibatkan dua orang murid Pasti Nurul Iman kawasan Jasin. Dalam kemalangan tersebut van yang dinaiki oleh murid Pasti Nurul Iman bertembung dengan sebuah kereta proton Wira yang dipandu oleh seorang tentera yang terbabas dari laluan kerana hilang kawalan. Pemandu proton Wira tersebut meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Jasin.

Kemalangan tersebut menyebabkan adik Norliyana 4 tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi. Manakala seorang lagi murid mengalami patah kaki dan telah dibenarkan keluar dari hosipital. Manakala bekas pengerusi Pasti Jasin, saudara Lokman yang memandu van berkenaan mengalami patah kaki kanan dan beberapa jari tangan serta mengalami luka-luka seluruh badan dan berada dalam keadaan stabil. Beliau kini ditempatkan di wad D4- 22 di Hospital Besar Melaka.