28 October 2008
BANDAR AYA MELAKA BAKAL MENGHADAPI KESESAKAN TERUK
JAMBATAN HANG JEBAT YANG TELAH PUN DIROBOHKAN
JAMBATAN HANG TUAH YANG BAKAL DIROBOHKAN
Projek pengindahan sungai Melaka yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan pelbagai pihak akan memasuki fasa yang seterusnya. Di antara pakej projek ini ialah merobohkan jambatan-jambatan yang merentangi sungai Melaka bagi memberi laluan bot pelancong yang lebih besar melalui di bawah jambatan baru yang bakal dibina.
Siapnya projek berkenaan nanti, bot-bot pelancong akan menyusuri sungai Melaka dari Bandar Hilir sehingga ke Melaka Sentral.
Di antara jambatan yang telah dan akan dirobohkan ialah Jambatan Hang Jebat ( dulu dikenali Jambatan Bailey ) dan Jambatan Hang Tuah. Jambatan Hang Jebat yang telah pun dirobohkan menyebabkan pengguna kenderaan sering mengalami kesesakan teruk terutama pada waktu pergi dan pulang dari pejabat. Apa yang lebih menghairankan, Jambatan Hang Jebat baru sahaja dibina tak sampai 10 tahun dan kini telah dirobohkan semula bagi membina jambatan baru !Inilah satu bukti pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Melaka.
Tidak lama lagi, Jambatan Hang Tuah yang terletak di antara Plaza Inn dan panggung Cathay lama di jalan Hang Tuah pula akan dirobohkan. Bayangkan apa yang bakal berlaku pada laluan utama di bandaraya Melaka ini ? Walaupun jambatan sementara akan dibina tetapi ini tidak mampu untuk mengelakkan kesesakan teruk yang bakal berlaku di tengah pusat Bandaraya Melaka. Apa perlunya jambatan baru sedangkan jambatan sedia ada masih kukuh dan elok lagi. Begitu juga yang berlaku pada jambatan Hang Jebat.
Semata-mata untuk mengindahkan Sungai Melaka yang hasilnya tidak seberapa, pengguna kenderaan di bandaraya ini bakal menjadi mangsa dengan kesesakan teruk yang bakal ditempuhi bertahun-tahun lamanya. Rasanya lebih memadai jambatan sedia ada dikekalkan kerana pada ketika ini bot-bot pelancong masih dapat melalui jambatan berkenaan.
Lebih wajar peruntukan yang pastinya bernilai puluhan jutaan ringgit digunakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur yang membawa manafaat kepada penduduk Melaka secara keseluruhannya dan lebih utama seperti menaik taraf kemudahan hospital Melaka yang kini semakin kritikal yang tidak mampu lagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment