21 November 2008

BATAL MOU DENGAN AL AZHAR: SALAH SATU RUKUN ISLAM HADHARI?-MALAYSIAKINI


Ulamak adalah pewaris Nabi. Dalam merealisasikan hasrat itu kerajaan Islam Hadhari seperti yang digembar-gemburkan oleh Pak Lah sepatutnya menyokong sistem pendidikan Islam di negara ini bagi melahirkan lebih ramai ilmuan Islam.

Dalam hal ini telah terbukti, Universiti Al Azhar di Mesir adalah gedung ilmuan Islam yang terulung di dunia yang berjaya melahirkan ribuan golongan ulamak yang tersohor di negara ini.

Mereka inilah yang berbakti dalam menyampaikan ilmu bagi memertabatkan Islam di negara ini.Walau bagaimanapun tindakan kerajaan membatalkan MOU melibatkan kerjasama penghantaran pelajar ke Universiti Al Azhar adalah satu langkah ke belakang, bermotif dendam dan menyerlahkan sikap kurang senang kepada graduan Al Azhar yang telah banyak memberi kesedaran dan membangkitkan kecintaan Islam di negara ini.

Perkara ini didedahkan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Pusat yang mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Al Azhar baru-baru ini untuk menyelesaikan kemelut punca ribuan pelajar gagal melanjutkan pengajian ke Al Azhar.

Naib ketua dewan itu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan universiti itu bahawa pembatalan MoU itu bukanlah atas kehendak universiti tersohor tetapi kerajaan Malaysia sendiri.

"Bila kita berjumpa pengurusan al-Azhar, al-Azhar kata bukan mereka yang batalkan, tetapi kehendak kerajaan Malaysia," jelasnya kepada Malaysiakini selepas menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya semalam.

Sebaliknya kerajaan sebelum ini cuba berdalih punca kegagalan ramai pelajar yang gagal ke universiti Al Azhar.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ogos lalu yang mendakwa pembatalan MoU itu akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.

Kerajaan perlu menyedari bahawa kebanyakan pelajar yang ingin ke universiti Al Azhar adalah dengan menggunakan biaya sendiri. Kalau ada pun mereka diberi pinjaman yang perlu dibayar balik dengan faedah yang membebankan, bukan pergi belajar secara percuma dengan menggunakan duit kerajaan.

Kenapa pelajar berkenaan dianiaya sedemikian rupa? Adakah kerana kebanyakan mereka tidak menyokong kerajaan maka kerajaan tergamak membatalkan MOU tersebut. Tindakan kerajaan itu telah menganiaya kira-kira 5000 pelajar dari 18 kampus yang sebelum ini membuat MOU dengan Universiti Al Azhar.

Selain itu kesan pembatalan MOU itu menimbulkan pelbagai implikasi lain. Di antaranya
1. Menimbulkan masalah kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan penuntutnya.
2. Membantutkan usaha IPTS melahirkan modal insan seperti hasrat kerajaan.
3. Mengurangkan jumlah pelajar IPTS milik pengusaha Melayu-Islam dan menimbulkan risiko ditutup.
4. Membataskan pilihan mahasiswa Melayu-Islam mendapatkan pendidikan terbaik.

No comments: