19 November 2008

DISKAUN PLUS TIDAK PRAKTIKAL-MALAYSIAKINI


Pada awalnya rakyat Malaysia khususnya pengguna yang sering menggunakan lebuhraya PLUS menarik nafas lega apabila ura-ura pemilik konsesi lebuhraya itu bercadang menurunkan kadar tol.

Namun, apabila kadar baru tol itu ( diskaun) selama setahun mulai tahun depan bermula 1 Januari 2009 ramai yang merasa pelik dan tertanya-tanya dengan langkah PLUS yang dianggap tidak praktikal.

Dalam hal ini,PLUS seolah-olah bersandiwara dalam membantu mengurangkan beban pengguna lebuhraya berkenaan. Saya tidak nafikan, ia menggurangkan sedikit beban tetapi berapa kerat pengguna yang mendapat manafaat? Langkah PLUS ini bakal mengundang isu lain jika kita perhalusi untuk jangka masa setahun tempoh diskaun yang diberikan. Di antara isunya ialah :

1. Tidak ramai pengguna yang berulang alik ke tempat kerja pada waktu malam. Untuk makluman pihak PLUS, waktu bekerja adalah bermula dari 8.00 pagi - 5.00 petang. Adakah pengguna kena tunggu pada waktu malam untuk balik ke rumah baru dapat diskaun berkenaan?

2. Diskaun pada waktu malam akan mendorong pengguna untuk menggunakan lebuh raya pada waktu malam terutama bagi perjalanan jauh. Memandu di waktu malam, pengguna lebih terdedah kepada risiko seperti mengantuk dan jarak pemandangan terhad yang boleh mengundang kemalangan.

3. Kadar diskaun hanya untuk kenderaan kelas 1 adalah tidak praktikal bagi membantu pengguna berjimat cermat dan pemulihan ekonomi negara khususnya bagi pengguna pengangkutan awam dan pengendali syarikat pengangkutan. Bermakna tidak ada inisiatif kepada syarikat bas ekspres dan syarikat lori. Sekali gus mereka sukar untuk mengkaji mengurangkan kadar tambang dan mengurangkan kos pengangkutan.

4.Memandu pada waktu malam, terutama kepada wanita yang memandu bersendirian bakal menimbulkan masalah keselamatan diri dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Namun begitu, kadar diskaun ini mungkin memberi sedikit faedah terutama pada musim perayaan iaitu pemandu terutama warga kota gemar untuk pulang beraya dan bercuti dengan memandu di waktu malam. Walau bagimanapun faktor di atas masih tetap mempengaruhi.

Ajal maut memang di tangan Allah, tetapi manusia perlu berhati-hati dengan tidak mendedahkan diri kepada musibah.Pandu Cermat Jiwa Selamat. Jangan biarkan orang tersayang menyambut anda pulang dengan tangisan.

No comments: