10 November 2008

PEMILIHAN UMNO: BUKTI PAK LAH MASIH BERPENGARUH-MALAYSIAKINI


Walaupun tinggal 5 bahagian Umno belum selesai mengadakan mesyuarat disebabkan beberapa masalah, proses pencalonan dan keputusan siapa yang layak bertanding merebut jawatan tertinggi dalam Umno dikira telah berakhir.

Keputusan pencalonan untuk jawatan dalam Umno menunjukkan kuasa dan taring Pak Lah dalam Umno masih kuat mencengkam. Pada awalnya ramai penganalisis politik sama ada dari dalam dan luar Umno merasakan regu Najib-Muhyiddin akan mendapat laluan selesa tanpa banyak masalah.

Ali Rustam dan Md Taib dijangka peringkat awalnya akan terkandas dan kempunan untuk merebut jawatan nombor dua Umno Mac nanti. Namun, apa yang berlaku adalah sama sekali di luar jangkaan. Ali Rustam dan Md Taib layak bertanding dengan mendapat undi yang agak selesa dan meyakinkan. Masing-masing mendapat 47 dan 44 pencalonan. Manakala Muhyiddin mendapat 91 pencalonan.Perkembangan terbaru ini sudah pasti sedikit sebanyak menggusar dan menggerunkan Muhyiddin menjelang pemilihan pada Mac nanti.

Namun apa yang lebih penting, proses pencalonan yang sepatutnya tamat semalam membuktikan bahawa pengaruh Pak Lah masih kuat dan padu di peringkat bahagian. Bagaimana secara tiba-tiba Ali Rustam dan Md. Taib mendapat pencalonan bertali arus daripada bahagian-bahagian?

Saya yakin ramai pihak yang bersetuju dengan saya bahawa 'mood' bahagian yang berubah untuk mencalonkan Ali Rustam dan Muhyiddin bermula daripada episod luahan rasa tidak puas hati Pak Lah kepada Muhyiddin yang dilihat 'melawan arus' menentang proses peralihan kuasa yang diumumkan Pak lah. Kesannya, Muhyiddin terpaksa menanggung padah dan menerima keperitan apabila bahagian-bahagian Umno mula beralih angin dengan menunjukkan sokongan kepada Ali Rustam dan Md. Taib.

Mungkin inikah yang dimaksudkan oleh bekas ahli parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad sebagai 'makhluk ghaib' yang membantu kemaraan Ali Rustam dan Md. Taib?

Walaupun apa teori dan spekulasi yang dikemukan, apa yang berlaku dalam proses pencalonan Umno menunjukkan bahawa bisa Pak Lah dalam Umno masih kuat. Sekaligus memberi amaran kepada Najib dan Muhyiddin serta pemimpin Umno yang lain yang dilihat terlalu ghairah untuk mengenepi dan meminggirkan Pak Lah bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku menjelang mesyuarat Agung Pemilihan Umno Mac depan.

Walaupun Pak lah kekal dengan keputusannya berundur dari jawatan Presiden, pengaruh Pak Lah dilihat masih kuat dan utuh dengan kehadiran tokoh Umno seperti Khairy, Ali Rustam,Shahrizat dan Syed Hamid Albar yang dikatakan masih 'setia' kepada pak Lah. Mereka semua mempunyai peluang seimbang untuk menduduki jawatan tertinggi dalam Umno menjelang pemilihan Mac depan.

Jalan ceritanya masih belum tamat. Masih ada laluan berliku untuk Najib. Lebih-lebih lagi perbicaraan kes Altantuya baru memasuki episod baru yang lebih mendebarkan pada Januari 2009. Sama-sama kita tunggu dan saksikan skrip yang seterusnya.

2 comments:

Anonymous said...

tak hairan jika Abdullah masih boleh mentadbir negara walaupun selepas peralihan kuasa nanti kerana laluan Najib tidaklah seselesa mana disebabkan oleh kes Atlantuya dan skandal-skandal yang lain.

nampaknya orang-orang Pak Lah juga seiringan naik untuk "menakluk" semula kerajaan yang diporak perandakan sebelum ini dengan kehadiran Tun Mahathir dan konco-konconya.

Anonymous said...

Siapa kata Pak Lah dah hilang bisa? Pak Lah diam-diam berisi. Kita tak pasti adakah Pak Lah benar-benar berundur atau tidak kerana Pak Lah masih mempunyai pengaruh yang kuat... Najib, walaupun bertanding sorang-sorang atau pasti menang tanpa bertanding, tapi beliau harus ingat, siasatan kes bunuh Altantuya yang mana nama beliau ada disebut. Jadi, beliau tidak boleh selesa dengan kedudukan sekarang...