08 November 2008

PEMILIHAN UMNO:SIAPA YANG AKAN KECUNDANG?-MALAYSIAKINI


Hari ini dan esok merupakan minggu yang cukup sibuk dan mendebarkan bagi calon-calon yang menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi dalam Umno.Esok merupakan hari terakhir mesyuarat bahagian Umno seluruh negara untuk mencalonkan jawatan dalam pemilihan Umno Mac depan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden, Naib dan ahli majlis tertinggi. Mungkinkah akan berlaku pertandingan tiga penjuru jawatan timbalan presiden melibatkan Muhyiddin, Ali Rustam dan Md. Taib? Muhyiddin awal-awal lagi layak dengan mendapat 79 pencalonan sehingga semalam, Ali Rustam 32 dan Md. Taib 30. Kuota jawatan nombor dua ini ialah 39.

Manakala pencalonan naib presiden tidak kurang sengitnya dengan 6 calon telah layak.Mereka Hishammuddin Tun Hussein(115),Ahmad Zahid Hamidi(83,Shafie Apdal(64)Khaled Nordin(61),Syed Hamid Albar(24)dan Isa Samad(21)Sementara 4 calon lain menanti dengan debaran. Mereka ialah Jamaludin Jarjis(18),Rais Yatim(15),Rahim Tamby Chik(10) dan Shahidan Kassim(6).Pencalonan yang diperlukan ialah 20.

Tinggal 49 bahagian lagi yang belum mengadakan mesyuarat yang akan berlangsung hari ini atau esok. Peluang semua calon yang disebutkan masih terbuka.

Gejala politik wang dijangka akan semakin meluas pada minggu terakhir ini. Sudah pasti semua calon yang belum layak akan berhabis-habisan untuk melepasi kuota pencalonan ditetapkan. Jawatan dalam Umno adalah umpama hidup dan mati mereka untuk mendapat kekayaan dan pengaruh.Justeru itu tidak hairanlah berlaku budaya cantas- mencantas, tikam belakang dan sogokan sepanjang proses mesyuarat bahagian Umno.

Jadi tidak hairanlah sogokan dan rasuah menjadi budaya dan 'tema' pemilihan Umno kali ini. Sehinggakan mereka yang 'ikhlas' dalam Umno menaruh kebimbangan dengan apa yang berlaku sekarang.

Ini jelas seperti gesaan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau sudah pun berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan UMNO empat tahun lalu.

“Saya tidak ingat jumlahnya secara tepat tetapi rasanya sudah lebih 900 aduan mengenai politik wang diterima setakat ini,”.

Dijangka gejala ini akan semakin kronik menjelang Mesyuarat Agong Pemilihan Umno Mac depan.Bayangkan jika mereka yang terlibat dengan budaya ini dibiarkan menerajui dan memerintah negara? Negara akan menuju kehancuran dan rosak binasa. Khazanah milik negara akan susut. Tidak mustahil negara boleh jatuh bankrap dan muflis.

Tidak penting siapa yang layak dan tersungkur dalam pemilihan umno kali ini tetapi apa yang lebih penting ialah menyelamatkan negara ini daripada mereka yang rakus dan tamak daripada terus memperalatkan nama perpaduan dan ketuanan Melayu untuk kepentingan politik dan peribadi mereka.

No comments: