17 March 2009

ALI RUSTAM DILUCUT HAK BERTANDING TIMBALAN PRESIDEN


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan kerana didapati terlibat dengan politik wang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di sini.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah tetapi hanya diberikan amaran.

Keputusan Lembaga Disiplin ini sekaligus memadam cita-cita Ali Rustam untuk mengikut jejak langkah Allaharyam Tun Ghaffar Baba dari Melaka untuk menduduki jawatan nombor dua dalam umno dan kerajaan.

Walaupun, tidak digantung oleh Lembaga Disiplin Umno, politik Ali Rustam dilihat semakin suram dan malap tidak lagi begermerlapan seperti bintang kebesaran yang diperolehi oleh Datuk Shah Rukh Khan tidak lama dulu.

Apa reaksi Ali Rustam dan penyokong-penyokongnya? Pada pandangan saya, bantahan keputusan penggantungan ini dan sokongan daripada penyokong Ali Rustam tidak akan kemana. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Tan Sri Isa Samad tidak lama dulu. Hanya mereka yang betul-betul 'bersih' sahaja dalam Umno yang berani menentang dan mempertahankan secara terbuka pemimpin mereka yang 'dianiaya'.

Lihat sahajalah nanti mereka yang begitu bersemangat dan berkobar-kobar mempertahankan Ali Rustam akhirnya akan 'menikus' kerana masing-masing sedar bahawa mereka pun bukan bersih sangat lagipun Umno adalah 'periuk nasi' mereka.


2 comments:

timangbanjar said...

Minggu lepas Ali suruh Pas dan PKR bertaubat tetapi nampaknya ali kena taubat dulu lah. Begini akibat keceluparan mulut seorang pemimpin.

angkasanuri said...

Salam tuan timangbanjar...

hidup ini umpama roda. Kita tidak boleh sombong dan angkuh. Siapa kita di sisi Allah SWT?