06 June 2009

MUKTAMAR PAS MENYERLAHKAN KEMATANGAN PAS

Muktamar Pas ke 55 akan melabuhkan tirainya esok. Pelbagai isu dikupas dan dibahaskan oleh perwakilan untuk menentukan hala tuju Pas dalam persada politik negara. Muktamar kali ini buat julung-julung kalinya menyaksikan pertandingan tiga penjuru untuk kerusi nombor dua dalam Pas. Kesudahannya telah diketahui, Ustaz Nashrudin Mat Isa masih diperlukan oleh majoriti perwakilan sebagai gandingan kepada Tuan Guru Dato seri Hj. Abdul Hadi Awang dalam menongkah arus politik negara yang semakin mencabar.

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah khususnya kepada tiga calon timbalan presiden yang bertanding sama ada yang menang atau kalah. Pertandingan ini sebenarnya telah menyerlahkan kematangan dan keterbukaan Pas dalam berpolitik. Setiap calon walaupun dilihat dari aliran yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama untuk memastikan perjuangan dan kesinambungan perjuangan Pas yang telah melewati usia lebih setengah abad dalam arus politik negara.

Pertandingan ini sebenarnya bukan hanya melibatkan tiga individu tetapi menyerlahkan hasrat dan kehendak akar umbi agar Pas terus relevan dalam menangani perubahan dan kehendak masyarakat tanpa mengadaikan prinsip dan akidah perjuangan.

Sesuai dengan usianya 55 tahun, Pas telah melalui pahit manis dan sepak terajang dalam politik. Walaupun dikatakan wujud beberapa unsur yang kurang sihat sepanjang pertandingan berlangsung saya anggap itu adalah sebahagian daripada proses tarbiyyah, asam garam serta lumrah dalam proses kematangan.

Apa yang pasti pertandingan dan apa yang berlaku dalam Muktamar Pas pada hari ini menunjukkan bahawa Pas jauh lebih matang berpolitik berbanding dengan Umno yang semakin menuju penghujung riwayatnya

Selepas berakhirnya muktamar, budaya dalam Umno seperti cakap belakang, tikam dari belakang serta perpatah Melayu rumah dan siap pahat masih berbunyi mesti dicampak jauh-jauh ke tengah lautan kalau boleh ke dasar Atlantik yang menelan pesawat Air France yang gagal ditemui hingga kini. Pas mesti dilihat berbeza dengan Umno sama sekali bukan sahaja dari segi dasar tetapi daripada sudut dan kaedah untuk mencapai matlamatnya.

Jika Pas dilihat setara atau lebih kurang dengan Umno dari segi cara dan prinsip perjuangan yakinlah Pas tidak akan pergi lebih jauh berbanding apa yang dicapai pada hari ini dan sebelumnya. Sejarah perjuangan Pas telah membuktikan hanya mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan sahaja yang mampu kekal sehingga hari ini berbanding mereka yang mempunyai agenda peribadi dan tersembunyi yang lambat laun tidak mampu kekal dan bertahan dalam perjuangan Pas yang dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi sesuai dalam sunatullah perjuangan.

No comments: