17 December 2009

ADUN TIOMAN PAHANG KEMALANGAN


Rakan saya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, 36, cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 16, Jalan Pekan-Rompin, dekat Pekan, semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam tadi.

Saya difahamkan sejurus beliau sekeluarga keluar dari kenderaan yang terbabas, kenderaan berkenaan terbakar dan meletup sebanyak lima kali.

Isterinya, Zurina Yosof, 34, dan empat anaknya, Mohd Jibrail,9, Amirah Balqis,7, Mohd Mikail,6, dan Mohd Atid sembilan bulan serta anak saudaranya, Mohd Harun Hamili, lapan tahun turut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin selepas pulang ke kampung isterinya di Kelantan.

"Mohd Johari yang sedang memandu kenderaan itu terlelap menyebabkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu terbabas dan terbalik sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini saya bersembang panjang dengan beliau tentang senario politik semasa di Rompin khususnya di Dun Tioman walaupun kami dari parti politik yang berbeza. Saya mendoakan semoga beliau sekeluarga cepat sembuh dan dipermudahkan Allah SWT. Semoga apa berlaku menjadi muhasabah dan diambil sebagai peringatan dari Allah SWT.

16 December 2009

JJ GUNA SIDANG VIDEO DENGAN ORANG ASLI ROMPIN

Penduduk asli Rompin terpukau dan terkedu dapat bercakap dengan JJ guna sidang Video

Duta Amerika Syarikat yang juga ahli parlimen Rompin Pahang Datuk Dr. Jamaludin Jarjis hari ini mengadakan sidang video dengan kira-kira 300 orang penduduk orang asli Rompin dalam merasmikan Program Literasi Undang-Undang Etnik Minoriti yang diadakan di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Rompin.

Persidangan video selama 10 minit itu menyebabkan orang asli Rompin terpukau kerana dapat berinteraksi dengan wakil rakyat mereka walaupun jauh beribu batu. Maka selepas ini ramailah penduduk asli yang merupakan kira -kira 10% pengundi di parlimen Rompin akan melanggan streamyx, Broadband dan Wimax untuk berinteraksi dan melepaskan kerinduan kepada wakil rakyat mereka.

Maklumlah talian internet di Rompin terutama di perkampungan orang asli di sini cukup pantas untuk berkomunikasi dalam facebook, yahoo massengger, skype, window life dan sebagainya.

Selepas ini penduduk asli Rompin akan kurang ke hutan untuk mencari akar kayu, buluh dan rotan kerana sibuk dan terpacak di depan skrin komputer untuk mengadu hal dan berbincang dengan wakil rakyat mereka yang duduk di Washington DC.

BLOGGER TAK BERETIKA: UTUSAN PALING BERETIKA?


Datuk Hismauddin Tun Hussin semalam dalam satu kenyataan di Terangganu berkata ada antara penulis blog menulis tanpa mengikut peraturan dan etika kewartawanan untuk meraih populariti berbanding wartawan tempatan yang berpegang kepada etika penulisan yang betul.

"Kita ada etika dan mereka tidak ada dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka.

Maknanya akhbar seperti Utusan Malaysia dan sewaktu dengannya merupakan akhbar yang paling beretika dalam abad ini. Jika tidak mana mungkin ada kempen boikot akhbar berkenaan dan diharamkan dibekalkan di pejabat kerajaan negeri dan agensi di bawahnya di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Maka tidak hairanlah juga kerana etika kewartawanan itu menyebabkan akhbar berkenaan bermurah hati membayar saman fitnah seperti yang dimenangi oleh Datuk seri Anwar Ibrahim Datuk Mustafa Ali dan Datuk Mahfuz Omar. Khabarnya banyak lagi 'derma' yang akan diberi oleh akhbar berkenaan kepada pimpinan lain Pakatan Rakyat yang sedang menunggu kes saman terhadap akhbar yang beretika itu dibicarakan di mahkamah.

Selain itu disebabkan beretikanya akhbar berkenaan maka jualan akhbar berkenaan terus merosot dari tahun ke tahun. Tahniah kepada akhbar berkenaan kerana mendapat anugerah dan pujian etika kewartawanan dari Hishamudin.

15 December 2009

BALA MENANTI NAJIB!

Setelah sekian lama menghilangkan diri, penyiasat persendirian P.Balasubramaniam yang sebelum ini mengaitkan Dato Seri Najib Tun Razak dalam akuan bersumpah pertama bersedia untuk bertemu dengan SPRM untuk mendedahkan apa yang sebenarnya yang berlaku.

Dalam akuan bersumpah pertama, Bala menjelaskan secara terperinci bahawa Najib terlibat dengan tragedi menimpa Altantuya. Namun, tak sampai 24 jam, Bala menarik balik dakwaan tersebut dalam akuan bersumpah kedua bahawa Najib tidak terlibat.

Kesediaan Bala bertemu SPRM ibarat bala yang bakal menimpa Najib. Bala melalui peguamnya meletakkan syarat agar segala keterangan dan kesediaannya berjumpa SPRM diadakan di luar negara kerana faktor keselamatan. Menurut peguam Bala, Americk Singh Sidhu antara syarat lain yang dinyatakan ialah supaya suruhanjaya membayar kos penginapan, makanan dan perjalanan Balasubramaniam jika ia bersetuju mengambil keterangannya di London atau Singapura.

Keterangan Balasubramaniam, bekas anggota polis Cawangan Khas, haruslah direkodkan dalam bahasa Inggeris dan satu salinannya diserahkan kepada anak guamnya, sementara rakaman video siasatan tersebut pula diambil oleh pihak peguam tersebut.

Kita menunggu reaksi SPRM yang sebelum ini bersedia untuk menemui Bala tentang dakwaan adik Najib terlibat secara lansung yang menyebabkan Bala menarik semula akuan bersumpah yang pertama.

SPRM wajar bertindak segera kerana ia merupakan persoalan maruah negara lebih-lebih lagi ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia sendiri. Nama perdana menteri perlu dibersihkan untuk memastikan imej Malaysia tidak dipandang negatif di mata dunia. Lagipun syarat yang ditetapkan Bala tidak sukar untuk ditunaikan. Jadi tidak ada alasan SPRM tidak mengambil peluang ini untuk mendapat keterangan dan maklumat dari Bala. Jika SPRM tidak bertindak maka ia ibarat bala besar sedang menanti Najib!

TARGEDI JJ DI MELAKA MELETUP: SATU LAGI PROJEK CAP AYAM?

Sekembalinya ke Melaka, saya dikejutkan dengan berita Medan selera JJ Melaka yang bakal dibuka pada 17 Disember ini meletup yang menyebabkan seorang penyelia restoran, Tiau See Peing, 25,(gambar) maut manakala 16 cedera.Daripada kesemua mangsa yang cedera, tujuh cedera parah dengan tiga berada dalam keadaan kritikal. Mereka yang kritikal ialah Mohd. Tarmizi Jaafar, 23, Lai Soon Wee, 32, dan Ooi Kok On, 33.

Boleh dikatakan setiap hari saya melalui jalan di JJ Melaka ini untuk pelbagai urusan. Saya melihat JJ Melaka dibina 24 jam sehari tanpa henti. Mengikut perkiraan saya bangunan sebegini hebat dibina dalam tempoh tak sampai 3 bulan daripada projek bermula. Jurutera dan pekerjanya majoriti adalah warga asing.

Oleh itu ada beberapa persoalan yang saya ingin utarakan. Dalam tempoh begitu cepat dan pantas pembinaan projek ini yang bakal dibuka 17 Disember adakah bangunan berkenaan telah mendapat sijil layak menduduki (CF) ? Dalam isu yang lain, adakah kerajaan negeridan pihak berkuasa tempatan telah membuat kajian mendalam sebelum bangunan berkenaan diberi kebenaran untuk dibina?

Bagi mereka yang biasa berulang alik melalui projek ini sedia maklum bahawa jalaraya berhampiran kawasan ini sering sesak teruk terutama pada waktu puncak dengan adanya Pasaraya Tecso dan Melaka Sentral. Saya tidak dapat bayangkan kesesakan yang berlaku apabila JJ ini dibuka.

Tragedi letupan itu sepatutnya membuka mata semua pihak tentang kepincangan yang berlaku di sebalik projek ini. semua yang terlibat sama ada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kontraktor terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi malang ini kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa orang ramai.

Saya melihat tragedi ini ada hikmah si sebaliknya sebagai satu peringatan Allah SWT terhadap sikap tamak dan kerakusan manusia tanpa mengira kepentingan orang ramai dalam mengaut keuntungan.

Dalam hal ini, pembukaan pasaraya ini perlu ditangguhkan sehingga semua siasatan selesai dan keselamatan orang ramai terjamin. Kita tidak mahu ada lagi nyawa yang terkorban gara-gara kelalaian dan kecuaian manusia.

12 December 2009

DR M PUNCA USUS UMNO BUSUK


Kalau Tun Dr. Mahathir tidak berkata Umno busuk sehingga ke ususnya, ramai yang maklum bahawa Umno hari ini memang busuk lagi membusukkan. Menyedari Umno sudah busuk maka mereka cuba menggambarkan bahawa orang lain dan parti lain yang busuk dan bukan mereka. Umno cuba menggambarkan segala yang keluar dalam usus mereka wangi-wangi belaka tidak ada yang busuk.

Usus yang busuk berpunca daripada apa yang masuk ke dalamnya. Fungsi usus ialah memproses segala sisa dan benda-benda yang busuk. Hakikatnya tidak ada usus siapa-siapa pun yang harum dan wangi. Tetapi kebusukan itu akan bertambah-tambah kalau yang masuk ke dalamnya adalah segala macam kotoran dan benda-benda yang meloya dan membusukkan.

Dr. Mahathir berkata Umno kini busuk sehingga ke ususnya. Tetapi beliau mungkin terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa kebusukan terlampau yang berlaku dalam umno hari ini mencapai kemuncak kebusukannya pada zaman beliau menjadi presiden Umno dan perdana menteri selama lebih dua dekad. Sejak bila rasuah berluasa dalam Umno? Sejak bila rakyat mula hilang kepercayaan dan meragui sistem perundangan, kehakiman, institusi seperti polis dan SPRM (BPR)? Semuanya bermula dari zaman beliau. Hakim boleh dibawa melancong dan didedahkan dengan pelbagai skandal. Tilam bertompok-tompok boleh diusung ke mahkamah. Negara rugi berpuluh billion di zaman Dr. Mahathir kerana langkah menyelamatkan anak-anaknya dan kroni di sekelilingnya. Mereka yang tidak sebulu dan sehaluan dengan Dr. Mahathir akan dicantas dan dikenakan pelbagai tuduhan yang mengaibkan. Untuk berkuasa dan duduk di atas, orang Umno diajar wang adalah segala-galanya. Jadi untuk dapat duit untuk membela orang bawahan, mereka terpaksa makan rasuah dan beri rasuah walaupun ia sesuatu yang membusukkan.Segala kebusukan yang berlaku adalah berpunca dari guru yang terdahulu dan tak lain dan tak bukan adalah Dr. Mahathir sendiri.

Dr. Mahathir mungkin berharap dengan mendedahkan kebusukan yang terlampau sehingga ke ususnya akan menyebabkan orang dalam Umno serta orang ramai akan menunding jari serta memandang jijik mereka yang menjadi punca Umno membusuk. Maka mereka yang terlibat dengan rasuah akan terus terpinggir dalam Umno. Siapa lagi kalau bukan Khairy Jamaludin. Desas desus bertiup kencang bahawa Khairy bakal dilantik ke jawatan timbalan menteri. Sudah pasti berita itu tidak disenangi oleh Dr. Mahathir. Maka isu kebusukan ke usus Umno ini dibangkitkan agar Khairy Jamaludin serta yang sewaktu dengannya akan terus kempunan jawatan penting dalam kerajaan dan kabinet. Apa yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir sebenarnya kena atas batang hidungnya sendiri dan sekaligus mendedahkan lagi segala kebusukan yang berlaku dalam Umno.

Semua ini jelas bahawa kebusukan yang menular dalam Umno sehingga ke ususnya harinya sudah terlambat untuk dirawat dan diubati. Umpama pesakit kanser kronik yang menghitung hari dan saat kematian.

11 December 2009

KONSERT SRK TAK JADI, ALI RUSTAM KEMPUNAN LAGI


Konsert Datuk Shah Rukh Khan yang dijadualkan malam ini di Stadium Hang Jebat tak jadi. Pembatalan ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Muhd. Ali Rustam semalam. Menurut Ali Rustam, pembatalan ini kerana SRK sibuk dengan tugas-tugas seni beliau. Kebetulan pulak katanya, kerajaan negeri masih lagi belum dapat penaja konsert berkenaan.

Ini bukan kali pertama Ali Rustam kempunan dengan SRK. Sebelum ini hajat Ali Rustam untuk mempelawa SRK buat studio perfilemen di Melaka tidak menjadi kenyataan. Nak buat filem SRK di Melaka pun tidak kesampaian. Kini konsert mega SRK pun terpaksa ditangguhkan. Mungkin selepas ini Ali Rustam mungkin akan jemput SRK sekali lagi kalau tak dapat buat konsert di Melaka untuk menyanyi satu dua lagu untuk menghiburkan hatinya. Lagi bagus kalau SRK dapat menyanyi lagu Dondang Sayang yang terkenal di Melaka. Setidak-tidaknya pun minta SRK berpantun serangkap dua. Masa tu nama Ali Rustam dan Melaka pasti meletup seluruh dunia. Maka berbaloilah gelaran Datuk yang diberi dan dipertahankan bermati-matian oleh Ali Rustam dan kerajaan Melaka kepada SRK.

10 December 2009

1MALAYSIA: UNTUK GURU DAN PELAJAR THAILAND BIASISWA, UNTUK RAKYAT MALAYSIA PINJAMAN!APA CERITA NI?


Dato Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya di Wilayah Narathiwat Selatan Thailand semalam mengumumkan kerajaan 1Malaysia akan memberi biasiswa kepada guru dan pelajar di wilayah berkenan untuk mengikuti pengajian di isititusi pendidikan di Malaysia.

Langkah berkenaan bertujuan untuk membantu umat Islam minoriti di selatan negara Gajah Putih berkenaan. Saya tidak berkata tidak bersetuju dengan langkah itu, nak bantu dan beri biasiswa kepada semua guru dan pelajar di negara berkenaan pun tak mengapa. Islam pun menggalakkan membantu saudara seagama.

Tetapi yang jadi masalahnya ialah majoriti guru dan pelajar di Malaysia hanya mendapat pinjaman dari kerajaan terutamanya melalui PTPN, itu pun kerajaan ambil untung dengan mengenakan faedah keapada mereka. Beribu-ribu guru di Malaysia yang terpaksa ambil cuti separuh gaji dan ada yang ambil cuti tanpa gaji untuk menyambung pengajian untuk meneruskan cita-cita dan meningkatkan profesion mereka. Malah ada yang terpaksa membuat pinjaman peribadi di bank untuk menampung keperluan pengajian serta menanggung keluarga kerana tidak cukup pendapatan kerana mendapat separuh gaji sepanjang pengajian.Namun itu tidak melemah dan mematahkan semangat mereka untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.


Tindakan Najib dan kerajaan 1Malaysia yang kononnya rakyat didahulukan umpama kera di hutan disusu dan dimanjakan, anak di rumah merempat dan kebuluran.

08 December 2009

1MALAYSIA: UMNO TERUS MAINKAN ISU PERKAUMAN!

Sekumpulan penduduk seksyen 23, Shah Alam yang terlibat dalam kes memijak kepala lembu, memegang poster yang memaparkan gambar pemimpin tertinggi DAP dari kiri, Anthony Loke Siew Fook, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sambil melaungkan slogan 'Hidup Melayu' di hadapan Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor semalam.

Manakala dalam satu isu lain yang berkaitan, Ketua Umno Bukit Bendera,Datuk Ahmad Ismail yang sebelum ini digantung keahlian Umno selama tiga tahun kerana menuduh orang Cina sebagai kaum pendatang dalam satu majlis ceramah semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh telah ditarik semula hukuman itu oleh Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu. Kenyataan celupar itu telah menimbulkan kemarahan orang Cina sama ada pro BN dan Pakatan Rakyat.

Tindakan MT Umno menarik balik hukuman ini membuktikan bahawa Umno parti perkauman dan menyokong tindakan yang sengaja mencetuskan sentimen dan api perkauman di negara ini. Jelas semangat 1Malaysia hanyalah retorik dan strategi politik murahan.


TUNJUKKAN MANA PEMIMPIN UMNO YANG BERFIKIRAN TERBUKA SEPERTI MB KEDAH?

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.
Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki."Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Kenyataan ini menggambarkan keterbukaan serta sikap prihatin Ustaz Azizan tentang tanggungjawab dan amanah yang terpikul. Persoalannya ada tak mana-mana pemimpin Umno yang berfikiran terbuka seperti itu? Berani dan bersediakah mereka membuka pintu pejabat mereka mendengar kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan kepada rakyat? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun untuk menghapuskan akta zalim ISA? Apa yang berlaku apabila rakyat berhimpun membantah kenaikan harga minyak? Apa yang berlaku apabila rakyat menuntut PPSMI dimansuhkan sebelum ini?

Mereka bukan sahaja membuat kezaliman dan menindas, tetapi apabila rakyat berhimpun menyuarakan suara hati dan bantahan, sebagai balasan mereka yang tidak berdosa sama ada golongan tua, kanak-kanak dan wanita dipukul dan dibelasah, disembur dengan gas pemedih mata dan air asid. Rakyat yang menegur kezaliman yang dilakukan dilayan seperti penjenayah yang merbahaya.

Bukan sahaja hak rakyat berhimpun untuk menegur tindakan dan perbuatan mereka dihalang dan disekat, hari ini hak rakyat nak berdoapun seolah-olah cuba dikawal. Mungkin selepas ini dalam era 1Malaysia mana-mana rakyat yang nak berdoa kena dapat tauliah dulu!