24 September 2008

KERAJAAN 'BERMURAH HATI' TURUNKAN HARGA MINYAK 10 SEN

Kerajaan dijangka menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen petang ni. Apa pasal banyak sangat ? Sepatutnya kerajaan hanya turunkan harga minyak 1 sen atau setengah sen saja. Itu baru dikatakan langkah berjimat cermat.

Penurunan harga minyak sebegini banyak sudah pasti menyebabkan perasaan 'kasih sayang' majoriti rakyat kepada kerajaan semakin meluap-luap dan membara.

Sebagai tanda 'kasih sayang' kepada kemurahan hati kerajaan ini mari sama -sama kita memastikan agar kerajaan baru terbentuk dan kerajaan yang ada 'disejuk bekukan' sebagai tanda 'kasih sayang' yang kekal abadi.

23 September 2008

STESEN MINYAK ESOK DIJANGKA LENGANG


Saya menjangkakan esok seluruh stesen minyak seluruh negara akan lengang berikutan harapan jutaan rakyat Malaysia yang menunggu keputusan mesyuarat Kabinet esok tentang pengumuman baru harga minyak yang diramalkan akan diturunkan oleh kerajaan.

Cuma saya meminta orang ramai tidak terlalu optimis harga minyak akan diturunkan hari berikutnya ekoran pasaran harga minyak yang tidak menentu sekarang akibat tindakan spekulasi dan kelemahan ekonomi serta dollar Amerika.

Lebih malang lagi, jika esok terdapat adegan menolak kereta gara-gara kehabisan minyak kerana menunggu harga minyak murah yang tidak pasti lagi akan berlaku.

SUDAH TERDAPAT MEREKA YANG HILANG SABAR...


Proses peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat semakin penuh dengan teka -teki. Malah sudah terdapat tanda -tanda mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar menulis dan mengulas isu pembentukan kerajaan baru sudah mula hilang sabar. Mereka seolah -olah sudah hilang harapan dan semangat akan terbentuk kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.

Dalam posting sebelumnya, saya ada menulis pembentukan dan peralihan kuasa yang sama -sama kita harapkan sesuatu yang penuh dengan teknikal dan taktikal. Perlu berhati -hati ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Kita perlu menyedari nak ubah kerajaan tidak semudah seperti nak ubah perabut di rumah menjelang raya ini. Mengubah perabut di rumah sempena perayaan adalah semata-mata untuk menyeri dan meraikan Aidilfitri dalam tempoh beberapa hari. Tetapi..mengubah kerajaan adalah menentukan harapan dan masa depan seluruh rakyat Malaysia dari generasi ke generasi. Silap perhitungan dan pecaturan mungkin akan membawa sesalan selama-lamanya. sekiranya kesempatan dan peluang ini tidak dimanafaatkan sebaiknya mungkin ini adalah ruang dan peluang terakhir yang ada untuk membentuk sebuah kerajaan yang amanah dan berkebajikan.

Justeru, sempena fasa terakhir bulan yang mulia ini hayati konsep sabar yang tersirat dan tersurat dalam falsafah Ramadhan. Semoga kita sama -sama termasuk dalam golongan yang mendapat naungan dari Arasy Allah SWT.

22 September 2008

DI ANTARA DUA PERALIHAN KUASA


Sehari dua ini isu peralihan kuasa di antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak agak hangat diperkatakan. Terutamanya oleh media milik kerajaan. Isu Peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional ( BN ) ke Pakatan Rakyat( PR ) agak sedikit 'tenggelam'.Walau bagaimanapun kedua-dua peralihan kuasa ini membawa makna yang tersendiri.

Walau bagaimanapun persamaannya kedua -duanya membawa mesej yang jelas, menolak kepimpinan Pak Lah sama ada dari menerajui kerajaan atau BN.

Peralihan kuasa di antara Pak Lah kepada Najib lebih kepada 'survival' BN dan UMNO yang diasak hebat oleh PR yang berazam dan berkeyakinan tinggi untuk membentuk kerajaan. Maka idea ini dicetuskan bagi menyelamatkan UMNO dan BN serta kerajaan yang ada di samping satu cubaan terdesak untuk memujuk ahli parlimen BN yang bercadang melompat ke PR agar membatalkan hasrat mereka.

Peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib dilihat tidak mampu memulihkan keyakinan ramai bagi menyelamatkan suasana ekonomi dan politik dalam negara yang kian gawat. Malah langkah ini kemungkinan akan mewujudkan pertarungan yang lebih sengit di antara kem Pak Lah dan Najib. Misalnya, Khairy Jamaludin menantu kesayangan Pak Lah sudah pasti tidak akan berdiam diri dengan cita -cita kem najib untuk melihat Najib menjadi PM. Sekiranya, Najib menjadi PM laluan Khairy merebut jawatan Ketua Pemuda Umno sudah pasti berliku. Di samping banyak 'keistimewaan' yang diperolehi semasa Pak lah menjadi PM akan hilang.

kesimpulannya peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib sudah terlewat dan tidak membawa apa apa makna.

Justeru itu, Pakatan Rakyat mesti fokus kepada usaha berterusan bagi memastikan pembentukan kerajaan baru akan dapat diterjemahkan seberapa segera.Majoriti rakyat menaruh harapan besar perubahan secara menyeluruh daripada pelbagai masalah yang bertimpa-timpa kepada negara selagi negara diperintah pemimpin yang ada. Begitu juga kepada semua pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat agar menghentikan polemik isu peralihan kuasa Pak Lah dan Najib yang mungkin hanya sebagai 'retorik' untuk mengalihkan isu sebenar.

21 September 2008

BERSEDIA MENGHADAPI KRISIS KEKURANGAN MINYAK DI MUSIM PERAYAAN


Di musim perayaan ini pengguna kenderaan di negara dijangka berhadapan krisis kekurangan minyak berikutan keengganan para pengusaha stesen minyak menambah bekalan minyak sedia ada menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Langkah pengusaha stesen minyak menghentikan pengambilan stok baru kerana menunggu pengumuman kerajaan menurunkan harga minyak yang diramalkan akan dibuat dalam tempoh terdekat selewat-lewatnya selepas mesyuarat mingguan kabinet Rabu depan.

Mereka tidak mahu menanggung kerugian sekiranya mereka menambah bekalan baru di stesen mereka pada masa sekarang.

Sekiranya kerajaan masih berteka teki sama ada menurunkan atau pun tidak harga minyak ini mungkin akan menyebabkan krisis minyak kepada negara terutama menjelang musim perayaan nanti.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah para pengguna. Kerajaan sepatutnya mengumumkan kadar baru harga minyak lebih awal supaya para pengusaha stesen minyak tidak mengalami kerugian dan para pengguna tidak menghadapi kesulitan nanti.

Adalah sesuatu yang menghairankan kenapa kerajaan masih melewatkan kadar baru minyak sedangkan harga minyak di pasaran dunia telah berada di bawah paras US $ 100 setong sejak minggu lepas lagi.

Justeru itu, kerajaan perlu mengambil tindakan perlu bagi menangani sebarang kemungkinan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

PAK LAH AKAN BERUNDUR OKTOBER INI ?


Umum mengetahui bahawa wujud pelbagai saranan dan desakan agar Pak Lah berundur secara terhormat dari jawatannya sama ada sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Umno. Desakan ini bertambah kuat apabila BN mendapat 'pukulan maut' dalam Pilihanraya Umum lalu yang menyaksikan BN kehilangan lima buah negeri tidak termasuk Wilayah persekutuan.

Bermula dari PRU ke 12 yang lalu banyak pihak menunding jari kepada Pak Lah agar mengambil tanggungjawab daripada aib yang menimpa BN. Nasihat secara baik dan desakan dibuat sama ada melalui anggota Majlis Tertinggi, Bahagian –bahagian UMNO dan komponen BN yang lain meminta agar Pak Lah berundur sama ada secara terbuka atau berkias. Malah desakan agar Pak Lah berundur turut datang dari 'otai' UMNO yang sudah tidak sanggup lagi melihat apa yang berlaku. Wujud desakan agar dilakukan peralihan kuasa dengan segera agar Pak Lah tidak menjadi liabaliti / beban kepada BN dan UMNO.

Senario ini tidak pernah berlaku dalam sejarah penubuhan BN dan UMNO serta kerajaan seorang pemimpin tertinggi diminta melepaskan jawatannya. Misalnya, walaupun berlaku 'gelombang reformasi' pada tahun 1998 ekoran pemecatan Datuk seri Anwar, Dr. Mahathir yang merupakan PM dan Presiden BN serta UMNO ketika itu , Dr Mahathir dianggap sebagai penyelamat serta diminta terus menerajui kerajaan dan UMNO. Ini jelas apabila berlakunya 'adegan air mata' apabila Dr. Mahathir menyuarakan hasratnya untuk berundur dalam Persidangan Agung UMNO satu ketika dulu. Ramai pihak dalam Umno dan BN yang menghalangnya.

Apabila Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DSAI mengumumkan pelan peralihan kuasa pada 16 September lalu yang kini sedikit tersasar akibat masalah teknikal, desakan kepada Pak Lah supaya berundur semakin kuat. Lebih –lebih lagi dengan peningkatan kadar inflasi kerana kenaikan harga minyak yang 'terlampau' di bawah regim Pak Lah, kejatuhan berterusan indeks Komposit BSKL dan keenggan pelabur menanam modal di negara ini.

Terbaru, dalam mesyuarat MT UMNO pada Rabu lalu wujud lagi saranan dan desakan supaya Pak Lah berundur. Khabarnya di antara orang yang lantang dalam mesyuarat tersebut yang mendesak Pak Lah berundur ialah dari Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Rafidah Aziz, Menteri, Datuk Rais Yatim dan Datuk Shafei Apdal. Dikatakan terdapat beberapa orang lagi pemimpin UMNO yang turut mendesak agar Pak Lah berundur.langkah ini dilihat wajar untuk meredakan apa yang berlaku dalam UMNO dan Negara.

Berikutan mesyuarat tersebut, wujud desas-desus Pak Lah menyatakan kesediaannya untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan pada bulan Oktober ini. Walau bagaimanapun menurut sumber dalaman UMNO, hasrat Pak Lah dihalang keras oleh menantu kesayangannya, Khairy Jamaludin dan Setiausaha politiknya Datuk Md Alwi Che Ahmad dan pembantu khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid. Berikutan desakan itu, Pak Lah dikatakan telah menarik semula cadangannya untuk berundur pada Oktober depan.

Maka memang benarlah seperti kata Dr. Mahathir satu ketika dulu bahawa nampaknya 'tingkat 4' lebih berkuasa dari 'tingkat lima'. Apa yang berlaku dalam negara sebenarnya banyak dipengaruhi orang kepercayaan yang berada di sekeliling Pak Lah. Golongan inilah sebenarnya nanti yang akan membawa musibah dan bencana kepada UMNO dan negara.

Walau bagaimanapun, hasrat Pak Lah untuk mengekalkan jawatannya akan memberi laluan yang agak selesa kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda peralihan kuasa berbanding laluan yang sedikit sukar sekiranya benar –benar wujud peralihan kuasa antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib pada Oktober depan.


 

20 September 2008

KEMELUT EKONOMI DAN POLITIK : KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB

Masalah ekonomi dan politik Negara berada dalam situasi yang semakin membimbangkan. Indeks Komposit di BSKL berada di bawah paras 1000 mata. Kedudukan terendah selepas negara mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997 lalu. Sementara itu, pelabur luar beralih atau menangguhkan pelaburan mereka ke negara ini. Mereka bersikap tunggu dan lihat perkembangan yang berlaku dalam Negara.

Suasana politik pula semakin tidak menentu dengan kedudukan kerajaan semakin goyah berikutan desakan demi desakan supaya kerajaan yang ada mengadakan sidang tergempar parlimen seperti yang didesak oleh Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, hasrat ini buntu apabila Perdana Menteri berkeras tidak mahu adakan sidang tersebut. Langkah susulan telah diambil dengan mengutus surat kepada DYMM Agung untuk Pimpinan Pakatan Rakyat memohon mengadap untuk melaporkan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

Semalam, Menteri Kesenian dan Pelancongan Datuk Rais Yatim berkata DSAI mempunyai agenda dan hubungan dengan Amerika berhubung usaha untuk membentuk kerajaan baru. Kenyataan ini tidak membantu sebaliknya hanya satu tohmahan tanpa bukti dan hanya mengeruhkan lagi suasana dalam negara. Langkah menukar portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan di antara PM dan TPM tidak banyak membantu. Malah makin memburukan keadaan ekonomi Negara. Ini jelas apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Datuk Seri Najib tidak mampu mengurus dan menyelesaikan masalah ekonomi Negara.

Pada pandangan saya, selagi kerajaan melambatkan sidang parlimen yang dituntut oleh Pakatan Rakyat masalah ekonomi dan politik Negara tidak akan berkesudahan. Kerajaan di bawah Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu bimbang untuk mengadakan sidang tergempar parlimen ini sekiranya Pak Lah benar-benar yakin bahawa dakwaan DSAI bahawa terdapat 35 ahli parlimen BN untuk menyertati Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang karut dan tidak masuk akal. Inilah masanya mereka ingin membuktikan serta menanam keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan yang ada adalah kukuh dan stabil.

Kebimbangan suasana politik dan ekonomi menyebabkan terdapat sebilangan penduduk di negara ini yang membuat 'belian panik' kerana wujud kebimbangan senario politik negara yang tidak menentu. Ini berdasarkan sembang –sembang dengan rakan yang terdiri dari golongan professional. Malah suasana ini wujud di kalangan golongan bawahan dan penduduk kampung.

Sekiranya rakyat Negara sendiri tidak yakin dengan keadaan dalam negara, bagaimana kita hendak mengharapkan orang luar meyakini keadaan negara kita ? Tindakan ISA dan akta Hasutan kepada pihak tertentu akan semakin menghakis keyakinan pelabur dan pelancong asing untuk datang ke Negara ini. Justeru itu, bagi saya kerajaan yang ada tidak mempunyai banyak pilihan selain mempercepatkan sidang parlimen untuk membuktikan kerajaan yang ada benar-benar mantap dan stabil.


 

19 September 2008

MATEMATIK DAN SAINS DIAJAR DALAM BAHASA MELAYU TAHUN DEPAN ?

Setelah enam tahun diselubungi dengan pelbagai desakan dan kontraversi, Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) dijangka akan kembali semula kepada Bahasa Melayu mulai tahun depan.

Menurut sumber dari Kementerian Pelajaran proses kembali semula menggunakan bahasa kebangsaan sedang berjalan. Di antaranya, buku teks matematik dan Sains telah siap dicetak dalam bahasa Melayu. Di samping itu, semua Institut Perguruan seluruh Malaysia tidak lagi menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran di dalam kelas bagi guru pelatih yang mengambil opsyen matematik dan sains mulai tahun 2009.

Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk kembali menggunakan bahasa kebangsaan. Walaupun bagaimanapun sudah pasti ramai pihak yang terkilan kerana projek PPSMI yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Tun Dr. Mahathir telah menelan kos lebih RM 5 bilion.

Inilah natijahnya apabila sesuatu pelaksanaan dasar tidak dibuat secara teliti tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan. Malah pihak berkenaan hanya 'melihat sebelah mata' dan memekakkan telinga walaupun mengetahui wujud pelbagai masalah sepanjang dasar tersebut diperkenalkan seperti yang didedahkan oleh tokoh-tokoh akademik dan politik.

Bayangkan dengan jumlah wang sebanyak itu, saya yakin tidak ada rakyat di Malaysia ini yang hidup merempat tidak mempunyai rumah. Mungkin juga dengan wang sebanyak itu kerajaan boleh memberi pendidikan yang 'betul-betul' percuma kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak pun duit itu digunakan untuk menampung subsidi minyak untuk memastikan harga minyak tidak membebankan seperti sekarang.

AHLI PARLIMEN SEPUTEH DIBEBASKAN DARI ISA


Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Pembebasan ini menunjukkan kerajaan mengalami tekanan ekoran desakan pelbagai pihak yang menuntut ISA tidak dijadikan alat kepentingan pihak tertentu.

Walau bagaimanapun tidak ada sebarang maklumat tentang nasib yang menimpa Raja Petra Kamarudin yang masih ditahan di bawah ISA.

18 September 2008

PAS KOMITMEN PADA PERUBAHAN KERAJAAN


Kota Sarang Semut, Alor Star Kedah. Presiden Pas, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS bersetuju menyertai kerajaan baru yang bakal terbentuk sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.
Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

Ini merupakan kenyataan pertama presiden PAS secara terbuka berhubung pembentukan kerajaan baru. Semasa Muktamar lalu, Tuan Guru Hj. Hadi telah membayangkan kesediaan PAS menyertai kerajaan yang ingin dibentuk asalkan Islam mesti dominan.
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat di Negara ini tidak perlu bimbang dengan propaganda sesetengah pihak bahawa orang Melayu dan Islam akan terpinggir dengan pembentukan kerajaan baru.

Pengumuman ini sudah pasti dapat melenyapkan tanda –tanya tentang pendirian PAS berhubung peralihan kuasa kerajaan baru. Sebelum ini PAS banyak bersikap tunggu dan lihat dengan isu yang berlaku.

Kenyataan ini semakin menguatkan keyakinan bahawa kerajaan baru akan terbentuk dalam masa terdekat. Apa –apa pun sama –samalah kita nantikan sama ada ia benar –benar dapat diterjemahkan.