Seorang peniaga terbunuh sementara abangnya dan seorang pembantu mereka cedera setelah tangki gas pada van mereka meletup semasa mereka mengisi gas di sebuah stesen minyak di Batu Berendam di sini malam tadi iaitu tidak jauh dari kediaman saya.
Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Hailmi Ishak, 25, dari Duyong, berada di luar van bagi mengisi NGV ke dalam tong gas memasak yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk hadapan van tersebut.
Letupan yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu turut menyebabkan abang dan rakannya Mohd. Rosli Ishak, 30, dan Razali Md. Zin, 31, yang berada di tempat duduk hadapan van cedera.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jalan Kubu, Komander Mokhtar Osman berkata, letupan itu telah menyebabkan kaki kiri Muhammad Hailmi hancur dan perutnya terburai.
Mangsa meninggal dunia kira-kira lima jam kemudian selepas menerima rawatan di Hospital Besar Melaka.
Peristiwa menyayatkan hati ini diharap akan memberi pengajaran kepada kita semua tentang apa yang berlaku akibat berpunca dari kelalaian manusia dan juga mungkin kerana terlalu terdesak apabila harga minyak di negara ini yang melambung.Akibat desakan hidup manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun membahayakan nyawa sendiri.
Mungkin kerana desakan hidup mereka tidak mampu lagi menampung kos harian yang tinggi akibat kenaikan harga minyak di negara ini tidak lama dulu. Lantaran itu, mereka mengambil jalan singkat dengan mengubah suai gas memasak untuk dijadikan tong NGV kenderaan.
Dalam keadaan sekarang, pengusaha pemasangan sistem NGV bertauliah mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi di antara RM 3,500 hingga RM 6,500 bergantung kepada kapasiti tong NGV dan saiz cc kenderaan. Dalam situasi serba serbinya mahal kos yang begitu besar jumlahnya sudah pasti tidak mampu disediakan oleh golongan berpendapatan rendah.
Walau bagaimanapun kita kena meyakini bahawa urusan ajal dan maut terletak kepada Allah SWT.
1 comment:
Nyawa orang miskin tak berharga!! Pak Lah tau tak kejadian ni?Syaril Samad kat mana?
Post a Comment