13 November 2008

APA GUNA KEKAL KALAU DAH TERBUKTI MEMBAZIR-MALAYSIAKINI


Kerajaan Perak akan menggantikan kereta rasmi untuk Menteri Besar dan semua Exconya tahun depan berdasarkan keperluan dengan membayangkan tidak akan menggunakan kereta jenis Proton.

Exco Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, Nga Kor Ming, berkata kos penyelenggaraan dan harga tanpa cukai kereta Toyota Camry dan Honda CRV didapati lebih murah berbanding Proton Perdana V6.

Oleh itu, katanya, semua 18 kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sejak 2004 hingga sekarang dengan kos penyelenggaraan melebihi RM1 juta bagi tempoh lima tahun, akan ditender untuk lelongan awam.

"Kos penyelenggaraan untuk kereta Proton Perdana V6 adalah tinggi, ini fakta yang tidak dapat dinafikan... kerajaan negeri boleh jimat wang rakyat jika tukar kenderaan lain yang menawarkan pakej lebih menarik.

"Bila ahli keluarga saya sendiri menaiki Proton Perdana yang pernah digunakan oleh Exco terdahulu, mereka menjadi bimbang dengan tahap keselamatannya," katanya ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (DAP-Canning) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Nga berkata, kos perbelanjaan penyelenggaraan dan pembaikan 16 kereta rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dari 2004 hingga Mac lalu ialah RM1.08 juta dengan tiga kereta mencatatkan kos paling tinggi iaitu AFD 66 sebanyak RM105,783.99 diikuti AFD 99 (RM103,896.03) serta AFD 333 (RM102,884.63).

Beliau berkata, penyelenggaraan dua kereta rasmi Menteri Besar iaitu ADY 9 dan AFD 9 dari 2004 hingga 2007 ialah RM131,610.19 manakala kereta rasmi model Mercedes Benz ML 320 dengan nombor pendaftaran AEH 9 ialah RM90,733.07.

Katanya, beliau tidak mempersoalkan pembelian kereta Merceders Benz buatan Jerman oleh bekas Menteri Besar kerana peruntukan undang-undang negeri membenarkannya berbuat demikian tetapi mempersoalkan penggunaan wang rakyat yang banyak untuk kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6.

"Wang rakyat banyak digunakan untuk kepentingan Proton tetapi apakah sumbangan syarikat kereta nasional itu kepada rakyat.

"Saya tahu ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno yang tidak setuju dengan penggunaan Proton Perdana sebagai kereta rasmi dan ia ditunjukkan oleh kerajaan negeri Terengganu dengan pembelian kereta Mercedes Benz E-200," katanya.

Sekiranya langkah ini boleh menjimatkan duit rakyat, bukan tujuan untuk kemewahan saya bersetuju dengan langkah kerajaan negeri Perak dan kerajaan negeri lain untuk menukar menggunakan jenama lain selain kereta nasional. Bukan bermakna tidak patriotik dan mengutamakan barang tempatan tetapi kalau kereta nasional yang dibeli asyik menyusahkan dengan selalu rosak-rosak apa guna lagi perlu dikekalkan.

Pengalaman sendiri menggunakan dua jenama kereta nasional sebelum ini selama 8 tahun memberi pengalaman yang cukup memeritkan kepada saya. Dalam tempoh berkenaan 'power window' sudah banyak kali ditukar. Malah saya pernah disaman kerana lampu 'break' belakang yang tak menyala. Bukan tak pernah ditukar tetapi masih kerap terbakar juga akibat masalah pendawaian kereta. Penghawa dingin juga kerap terpaksa dibaiki. Jadi saya tak pelik kalau mana-mana pengguna kereta nasional ini turut mengeluh berhadapan pelbagai masalah dengan kos membaiki yang mahal.

1 comment:

Anonymous said...

Kerajaan harus bertindak dalam perkara ini. Masalah kos penyelenggaraan yang tinggi harus diselesaikan secepat mungkin.