07 September 2008

HARGA BARANG DI PASAR BESAR MELAKA NAIK MELAMBUNG !

Berikut adalah harga barang yang biasa saya beli di Pasar Besar Melaka yang naik dalam masa seminggu berdasarkan tinjauan saya hari ini

Jenis            Harga Minggu Lepas            Harga sekarang

  1. Ayam /kg         RM 6.00                 RM 7.00
  2. Daging/kg         RM 18.00                 RM 20 / 22
  3. Kerang/kg         RM 1.50-2.00              RM 2.50 -4.00
  4. Ikan tenggiri/kg    RM 17.00-18.00            RM 20.00 –RM 22

Bayangkan ini baru 4 jenis barang basah di pasar yang saya selalu beli. Bagaimana agaknya dengan barang keperluan lain. Apa peranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahril Samad dalam menangani masalah ini ? Selepas, pengumuman kenaikan harga minyak pada Jun lalu, Datuk berkata akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menaikan harga barang secara sesuka hati. Mana janji –janji itu ?

Bagi saya, kadar inflasi yang diumumkan oleh Menteri Kewangan kedua tempohari bukan 8.5 % tetapi lebih tinggi dari itu berdasarkan perkembangan ekonomi semasa. Sudahlah rakyat terbeban dengan kenaikan harga minyak kini rakyat terus dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang. Para peniaga menaikan harga barang secara sesuka hati dan bermaharajalela tanpa penguatkuasaan yang tegas dan konsisten.

Begitu juga yang berlaku dengan kenaikan tambang bas hingga melebihi 100 % untuk musim perayaan seperti yang didedahkan berlaku di Melaka Sentral. Menunjukkan kelemahan kelemahan ketara agensi –agensi penguatkuasaan.

Semua ini seolah –olah menunjukkan kerajaan yang ada semakin lemah dan tidak stabil sehingga kelihatan tidak berupaya menangani masalah yang berlaku.

'SULTAN MELAKA' KEMBALI...


Setelah dua tahun menghilang, kini ‘sultan Melaka’ kembali dengan dengan dakwaan dan tuntutan untuk diiktiraf sebagai sultan Melaka ke 44. Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 53 yang merupakan ahli perniagaan mendakwa sebagai keturunan Sultan Muzaffar Shah kali ini tampil dengan membawa bukti baru iaitu sepasang tiara ( mahkota ) yang didakwa milik Sultan Muzaffar Shah.

Beliau sebelum ini pernah menjadikan sebuah rumah di Padang Temu sebagai ‘istana hinggap’ yang disewa RM 300 dari penduduk kampung selain menggunakan ‘kenderaan rasmi’ sebuah motorsikal dengan plat yang tertera ‘sultan Melaka’.

Pada ketika negeri Melaka mengalami masalah kegawatan masalah sosial, peningkatan kadar jenayah, pertambahan sekali ganda anak luar nikah dan kenaikan kadar inflasi yang diselubungi pelbagai isu yang kontroversi seperti isu babi di Paya Mengkuang yang tak selesai –selesai, mungkin pada ketika ini rakyat Melaka memerlukan seorang ‘sultan’ atau pemimpin yang dapat memerintah dengan adil dan saksama serta dapat membawa kemakmuran kepada negeri Melaka yang dapat dinikmati oleh semua penduduk tanpa sebarang diskriminasi politik atau penindasan.

Apa –apa pun kemunculan ‘Sultan Melaka’ ini tidak berkait sama ada yang masih hidup atau meninggal dunia dengan peralihan kuasa yang dijangka berlaku pada 16 September ini. Wallahu’alam

06 September 2008

APABILA GERAKAN DAN MCA BERSUARA...


Semalam Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan hasrat keluar dari Barisan Nasional ( BN ) sekiranya BN kekal dengan dasarnya yang ada sekarang. Hari ini BN sekali lagi menerima tekanan salah satu dari parti komponen utamanya, MCA. Ketua Pemuda MCA Perak,Datuk Tan Chin Meng mendesak agar MCA keluar dari BN.

Gesaan ini dibuat ekoran, kenyataan yang dianggap sebagai menghina orang cina di Malaysia yang dibuat oleh Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menganggap orang cina di Malaysia sebagai ‘penumpang’ semasa satu ceramah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Dalam isu ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan tidak sehaluan dan sependapat. Pak Lah, menggesa supaya Datuk Ahmad Ismail memohon maaf. Sebaliknya, Najib kelihatan bersetuju dengan pendirian Ahmad Ismail enggan memohon maaf.

Isu ini menyebabkan orang cina sama ada dari BN dan Pakatan Rakyat seolah –olah ‘bersatu’ dengan menunjukkan rasa marah dan kurang senang dengan sikap dan kenyataan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera ini.

Hal ini sudah pasti sesuatu yang bukan yang diinginkan oleh Pak Lah di tengah –tengah kerancakan spekulasi dan teka –teki bahawa menjelang 16 September terdapat ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam saat –saat sukar seperti ini,beliau sudah pasti mengharapkan sokongan padu daripada pimpinan komponen BN untuk memastikan cita –cita pembentukan kerajaan baru tidak terlaksana.Namun, sekarang lain pula jadinya.

Perkembangan terbaru ini mungkin menyebabkan Pak Lah dan pemimpin BN yang lain terpaksa memikirkan strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengekalkan kuasa pemerintahan ada. Mungkin mereka sedang mengira dan mencongak nasib kemungkinan yang akan berlaku pada 16 September atau melakukan apa –apa sahaja dalam masa terdekat yang mungkin di luar jangkaan kita

INFLASI 8.5 % BENCANA KEPADA NEGARA

Paling tinggi dalam sejarah ! Itulah yang dapat dikatakan. Semasa Negara mengalami zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 kesan isu ekonomi global, kadar inflasi masih terkawal. Apa yang dah berlaku sebenarnya ? Inflasi yang tinggi bermakna, harga keperluan pengguna adalah berada di paras yang tinggi.

Walaupun bonus sebulan gaji diberi pada kakitangan awam sebenarnya ia hanyalah imbuhan untuk menampung kos yang telah dan akan dikeluarkan. Bermakna ia bukan lebihan pendapatan. Silap –silap tak cukup pun ! Bagaimana pula sektor swasta dan penduduk kampung yang tak dapat bonus ? Jawapannya, pandai –pandailah kalau nak hidup…

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik dalam debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari berhujah, negara yang harga minyak murah seperti Veneuzela, Arab Saudi dan Iran mengalami kadar inflasi tinggi. Macam mana ni Datuk ? Masa debat cakap lain apa yang berlaku lain. Ohhh lupa… minyak di Malaysia dah murah 15 sen….


 

05 September 2008

SATU LAGI PEMBAZIRAN BN


 

Langkah BNBBC ( Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional ) mewajibkan semua ahli parlimen BN menyertai 'lawatan' atau Retreat dari 7 hingga 19 September di luar Negara menunjukkan satu lagi bukti pembaziran yang dilakukan oleh BN dengan menggunakan wang rakyat.

Arahan yang dikeluarkan oleh BNBBC secara tergesa –gesa ini menunjukkan bahawa BN tidak peka dengan masalah ekonomi dan langkah berjimat cermat yang kononnya selama ini mereka perjuangkan.

Mengapa perlu ke luar Negara ? Adakah di dalam negara sudah tidak lagi mempunyai hotel bertaraf 5 @ 6 bintang serta tempat –tempat yang menarik untuk diadakan 'retreat' ?

Bayangkan berapa kos yang terpaksa ditanggung untuk seramai semua ahli parlimen BN meliputi kos tambang kapal terbang, sewa hotel, makan minum dan perbelanjaan lain sepanjang 'lawatan' tersebut. Ini belum termasuk duit poket dan pelbagai tuntutan lain.

Alangkah baiknya, kos yang dijangka mencecah jutaan ringgit itu digunakan untuk membantu golongan fakir miskin atau mereka yang kurang bernasib baik di bulan Ramadhan ini.


 

DEBARAN MENUNGGU DETIK 16 SEPTEMBER


Pada hari ini sekali lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan ‘Peristiwa 16 September’ berlaku. Ini merupakan, amaran kedua selepas peringatan tegas semasa akhir pembentangan Belanjawan 2009 di parlimen minggu lepas.

Beliau juga memaklumkan taklimat perkembangan semasa telah dimaklumkan kepada DYMM Dipertuan Agong. Dalam taklimat tersebut, beliau memaklumkan kepada Tuanku bahawa kerajaan yang ada masih stabil dan kerajaan yang ada akan meneruskan agenda ekonomi dan pentadbiran yang telah dirancang.


Perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa Pak Lah secara tidak langsung meyakini bahawa tanggapan, desas desus serta berita yang sebelum ini dianggap ‘tidak masuk akal’ adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian.

Kebimbangan beliau ini jelas walaupun cuba disembunyikan seolah-olah ingin menunjukkan tidak ada apa –apa yang bakal berlaku pada 16 September nanti. Kalau tidak, tidak perlulah beliau sehingga perlu mengadap DYMM Agong dan mengeluarkan amaran demi amaran.

Apa yang tersurat dan tersirat daripada peringatan bernada tegas ini menunjukkan beliau akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kerajaan BN yang ada kekal berkuasa.

Beliau mempunyai beberapa opsyen yang boleh dilaksanakan sekiranya lebih 30 ahli parlimen BN ‘beralih angin’ ke Pakatan Rakyat. Antaranya, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya semula, mengistiharkan MAGERAN, menggunakan ISA atau apa sahaja institusi kerajaan yang ada seperti polis, BPR dan badan kehakiman untuk mengekalkan kuasa yang ada.

Namun, perkembangan muktahir menunjukkan apa yang berlaku semakin sukar dibendung. Terbaru, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini berkata Parti Gerakan akan mengkaji kedudukan parti itu dalam BN.

Malah tindakan BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen ) untuk mewajibkan semua ahli parlimen BN mengikuti Retreat ( Lawatan ) keluar Negara bermula 7 hingga 19 September merupakan suatu usaha menghalang pembentukan kerajaan baru berlaku pada 16 September.

Walau bagaimanapun, kita berdoa dan berharap apa –apa yang berlaku pada 16 September ini tidak membawa apa-apa peristiwa hitam kepada sejarah Negara.

35 % GURU MATEMATIK DAN SAINS TIDAK KUASAI BAHASA INGGERIS


Kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran bahawa 35 % guru yang terlibat dalam Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menguasai bahasa Inggeris merupakan sesuatu yang telah dijangka.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail program yang telah menelan RM 5 Bilion ini menghadapi masalah dari sudut melatih guru terbabit dalam menguasai bahasa inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Beliau menyalahkan sikap segelintir guru yang menyalahgunakan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk kepentingan peribadi sebagai antara punca masalah ini berlaku.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, situasi ‘paksa rela’ dalam pelaksanaan PPSMI sebagai punca mengapa terdapat sebilangan guru terbabit tidak menguasai bahasa inggeris. Katanya, keadaan itu merupakan 'hasil' daripada dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru tidak lama dahulu.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah pelajar. Terutamanya pelajar melayu di luar bandar yang lemah dari sudut penguasaan bahasa inggeris. Bayangkan apa yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran bila pelajar diajar dalam subjek sains dan matematik oleh guru yang tak pandai bahasa Inggeris. Sedangkan semua bahan pembelajaran seperti buku teks, buku kerja,soalan ujian dan peperiksaan semuanya dalam bahasa inggeris.
Sebagai seorang ayah yang ada tiga orang anak yang bersekolah rendah, saya dapat merasakan betapa sukarnya masalah yang dihadapi oleh anak-anak saya untuk menguasai bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains disebabkan guru yang mengajar mereka menggunakan bahasa inggeris rojak dalam pengajaran.

Kita tidak boleh menyalahkan guru terlibat sebagai punca kegagalan. Sebaliknya masalah ini berpunca dari sikap kementerian pelajaran dan kerajaan yang tergesa –gesa melaksanakan program ini tanpa kajian terperinci dari sudut keberkesanan, prasarana serta kesan baik buruknya.

Cerita tentang kelemahan program ini bukan perkara baru. Sumber maklumat dari Lembaga Peperiksaan memberitahu graf / markah lulus bagi subjek matematik dan sains diturunkan untuk memastikan lebih ramai pelajar yang lulus dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

Oleh itu, masyarakat akan dapat ‘ditipu’ bahawa walaupun matematik dan sains diajar dalam bahasa inggeris,pelajar yang lulus dan cemerlang meningkat. Sedangkan dari segi kualiti sebenarnya menurun.

Program ini bukan sahaja membazir wang rakyat tetapi turut menyebabkan bahasa Melayu sebagai ibunda dan bahasa kebangsaan semakin terpinggir. Oleh itu, langkah yang terbaik ialah kembali semula kepada keadaan asal dengan mengajar subjek Matematik dan sains dalam Bahasa Melayu.

Manakala peruntukkan yang ada boleh digunakan untuk memantapkan lagi dari segi prasarana dan latihan guru yang mengajar subjek bahasa inggeris di sekolah.

04 September 2008

Buat Malu Orang Melaka Je..

Minggu lepas Berita TV 9 memfokuskan tentang isu ' couple' muda mudi Melayu beragama Islaam yang berluasa di Pantai Klebang. Hari ini, sekali lagi Melaka terkenal seluruh Malaysia apabila pihak Berita TV 9 menyiarkan operasi Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) terhadap restoran yang menjadi tumpuan orang Melayu Islam menjamu selera di Bulan Ramadhan.

Semalam, semasa pergi ke sebuah kedai komputer di Bandar Melaka, saya terserempak dengan beberapa orang Melayu yang saya yakin beragama Islam di kad pengenalannya sedang asyik 'menikam' nombor ekor.

Pendedahan ini menggambarkan betapa kroniknya masalah umat Islam di bumi Melaka. Saya yakin banyak lagi masalah moral dan akidah umat Islam yang menyimpang yang tidak didedahkan. Justeru itu, kepada pemimpin yang berkuasa berilah perhatian kepada rakyat di negeri sendiri daripada sibuk – sibuk jaga 'tepi kain' orang lain.

Inilah juga balasannya, apabila agama Islam dipersendakan dan pemimpin yang ada tidak ambil berat masalah moral dan akhlak rakyat yang rosak dan punah ranah. Justeru itu, tidak peliklah kalau sebelum ini ada pemimpin negeri ini dalam temuramah dengan TV 3 baru – baru mencadangkan kalau boleh program jom Heboh dibuat tiap – tiap minggu di Melaka. Mungkin jika cadangan yang tak masuk akal ini dilaksana, kita akan dapat menyaksikan berita – berita negatif tentang Melaka setiap hari keluar dalam TV.

Adakah pemimpin yang ada masih kurang berpuas hati kadar kelahiran anak luar nikah di Melaka pada tahun ini meningkat sekali ganda berdasarkan perangkaan JAIM berbanding tahun sebelumnya ?

Pembinaan Kompleks Penjara yang terbesar di Malaysiayang sedang rancak sekarang di Sungai Udang seolah –olah menunjukkan betapa gawatnya masalah sosial dan jenayah di Melaka.

Mungkin ini mesej yang ingin disampaikan , 'Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia'. Pelawat atau pelancong tak perlu ke tempat lain untuk melihat kegawatan sosial dan kroniknya masalah jenayah di Malaysia. Datang ajalah ke Melaka. Di Melaka ada Sekolah Henry Gurney, dua pusat serenti, penjara pra bebas, sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti dan tak lama lagi ada penjara terbesar di Malaysia.


 

APA YANG TERSIRAT DI SEBALIK ANGKA 15 OLEH PAK LAH

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan bersedia menurunkan minyak sebanyak 15 sen lagi sekiranya harga minyak di pasaran dunia yang sekarang $ AS 109 terus turun.

Nampaknya Pak Lah cukup suka dengan angka 15 ni. Sebelum itu, beliau telah menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen sewaktu pilihanraya umum Permatang Pauh. Kini bercadang turun lagi 15 sen. 15 ₊ 15 = 30.

Macam kebetulan pula dengan angka 30 ni. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa beliau memerlukan 30 kerusi parlimen dari BN untuk bentuk kerajaan baru. Sekarang DSAI cukup yakin beliau mempunyai lebih 30 kerusi untuk bentuk kerajaan baru.

Pengumuman Pak Lah menurunkan harga minyak 15 sen dulu dan 15 sen akan datang seolah –olah satu simbolik pada DSAI untuk merealisasikan pembentukan kerajaan baru menjelang 16 September nanti. Turun minyak sejumlah 30 sen bakal menyaksikan angka keramat 30 kerusi parlimen yang diperlukan oleh DSAI akan terlaksana menjelang fajar 16 September.

Minyak Akan Turun Harga sebelum Raya

Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Sharil Samad berkata minyak dijangka akan turun harga sebelum raya.

Emmm…macam tahu –tahu je..mungkin ada apa – apa kot ?Sebab Datuk Seri Anwar berkata, apabila kerajaan baru terbentuk pada 16 September, minyak akan diturunkan 70 sen pada keesokan harinya. Jadi rakan rakan –rakan yang ingin beralih pada NGV mungkin boleh fikir dan tunggu dulu…Kita tunggu peralihan kuasa yang dijangka berlaku…