30 May 2008

PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR…..

Lima jam rusuhan kelmarin melibatkan hampir 100 pelajar sebuah kolej di Mantin dan penduduk sekitarnya. Isu politik?

Hanya gara-gara sekumpulan warga tempatan tidak berpuas hati hubungan seorang pelajar Afrika dengan wanita Melayu di situ sehingga mencetuskan pergaduhan dan menyebabkan cedera parah.

Menurut siasatan polis Negeri Sembilan, beberapa pelajar Melayu dan penduduk sekitar kolej yang tidak senang dengan hubungan tersebut menyerang lelaki Afrika itu.

Serangan sekumpulan 20 hingga 30 lelaki Melayu menyebabkan dua lagi rakan mangsa, juga dari Afrika, turut mengalami kecederaan.

"Seorang daripadanya dilaporkan parah selepas patah bahagian tangan, manakala dua lagi pelajar berkenaan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja'afar," kata ketua polis negeri Datuk Osman Salleh.
 
Kejadian yang tercetus mulai jam 9.30 malam kelmarin berjaya dileraikan kira-kira 2.30 pagi, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Semasa kejadian, beberapa kereta mengalami kerosakan dan sebuah pondok pengawal di hadapan kediaman pelajar dari benua itu turut dirobohkan, kata Osman.

Menurut polis, kedua-dua pihak bersenjatakan kayu dan kejadian itu dikelaskan sebagai merusuh. Mereka disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Menurut akhbar itu lagi, hampir 50 pelajar Afrika berkumpul di hadapan flat kediaman mereka di sebuah taman perumahan di Mantin sambil memegang beberapa batang kayu besbol dan besi.

Mereka menjerit meluahkan rasa tidak puas hati apabila rakan-rakan mereka dibelasah sekumpulan lelaki Melayu.

Keadaan bertambah tegang sejurus selepas tengah malam apabila mereka enggan berganjak walaupun polis dan pengurusan kolej cuba menenangkan mereka.

Sebaliknya ada di antara mereka cuba bertindak agresif.

Suasana di luar kawasan kediaman yang berpagar itu pula menyaksikan, laporan itu dipetik, sekumpulan lelaki dan penduduk berhampiran berdiri di bahagian kanan jalan dan turut membawa kayu besbol yang diletakkan dalam semak dan dalam kereta mereka.

Insiden itu dapat dikawal apabila sepasukan polis yang diketuai timbalan ketua polis daerah Seremban, Supt. Azmi Abu Kassim berjaya berunding bersama wakil pelajar Afrika dan pengurusan kolej kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.