11 September 2008
RETAK MENANTI BELAH
Kemelut yang melanda UMNO bertambah meruncing. Terbaru, Pak Lah meluahkan rasa kesal dan terkejut dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan peralihan kuasa 2010 yang disifatkan terlalu perlahan.
``Saya terkejut kerana dia adalah sebahagian daripada ahli Kabinet saya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.
Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah `tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.
Apa tujuan atau motif Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu tidak diketahui. Mungkinkah Muhyiddin merasakan ini waktu yang terbaik untuk menunjukkan taringnya ?
Adakah Muhyiddin termasuk dalam senarai yang akan menyeberang ke Pakatan Rakyat ? Mungkin ini yang dikatakan kejutan yang berlaku pada 16 September nanti.
Apa pun tujuan dan agenda di sebalik kenyataan Muhyiddin in, apa yang pasti masalah yang berlaku dalam UMNO telah memasuki episod baru. Jika sebelum ini wujud suara-suara protes tidak puas hati di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian kini bertambah parah apabila melibatkan orang nombor tiga dalam UMNO.
Senario ini semakin menghakis kepercayaan orang Melayu kepada UMNO yang dilihat sebelum ini begitu dominan kepada kuasa politik orang Melayu. Apa yang berlaku menunjukkan UMNO terpaksa menghitung dan meratapi nasib yang bakal dilalui pada masa akan datang khususnya dalam tempoh beberapa hari dari sekarang
BILA HARGA MINYAK DI MALAYSIA NAK TURUN ?
Harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras AS$100 (RM346) setong buat pertama kali dalam tempoh lima bulan di London apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebulat suara memutuskan untuk menurunkan pengeluaran minyak kepada 520,000 tong sehari.
Walau bagaimanapun harga minyak di Malaysia masih lagi menggunakan harga lapuk yang tidak mengikut pasaran semasa. Cuma Perdana Menteri ada menurunkan 15 sen pada Ogos lalu dan dan berjanji 15 sen lagi penghujung tahun ini.
Tak tahulah…Malaysia guna pasaran atau sistem harga minyak yang mana satu hingga susah sangat nak turunkan harga minyak. Masa naik minyak hari tu, para pemimpin Negara sampai ‘berbuih mulut’ mempertahankan bahawa harga minyak dinaikkan kerana harga minyak pasaran dunia meningkat. ( Ketika dinaikkan RM.70 sen untuk petrol dan RM 1 bagi diesel harga pasaran minyak dunia ketika itu melebihi AS $ 130 setong ).
Tetapi bila harga pasaran dunia turun…tak ikut pula… Mungkin harga minyak tak dapat diturunkan disebabkan dah berhabisan-habisan masa pilihanraya kecil Permatang Pauh lalu. Di samping terpaksa menanggung ‘Program Cuti-cuti di Taiwan’ 49 ahli parlimen di Taipei.
ISU PERKAUMAN DICIPTA SUPAYA KEKAL BERKUASA
Akhir –akhir ini begitu kerap akhbar arus perdana seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia dan media elektronik seperti TV 1 dan TV 3 memainkan isu perkauman. Isu perkauman dilihat senjata ampuh untuk mewujudkan satu suasana panik sekaligus dapat 'menghalalkan' tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.
Dalam hal ini yang menjadi mangsa bukannnya mereka yang duduk di dalam kerajaan tetapi dihalakan kepada Pakatan Rakyat. Isu perkauman dijadikan sebagai senjata untuk menutup kelemahan dan menyelamatkan kerajaan yang ada bukan perkara baru. Operasi Lalang pada tahun 1987 merupakan bukti jelas apabila ramai pemimpin pembangkang ketika itu ditangkap di bawah ISA. Walhal isu tersebut berpunca daripada perbalahan yang berlaku di antara UMNO dan MCA.
Kebelakangan ini, skrip yang sama seolah-olah wujud. Bermula dengan ucapan Datuk Ahmad Ismail yang 'terlampau' menyentuh sensitiviti kaum sehinggalah respon segera yang berbentuk ugutan dari GERAKAN dan MCA. Wujud desakan agar Ahmad Ismail dikenakan ISA dan sehinggalah Gerakan di Pulau Pinang memutuskan 'tali persaudaraan' dengan UMNO. Seterusnya membawa kepada penggantungan selama 3 tahun keahlian UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam.
Pada pandangan saya dalam isu ini kes Datuk Ahmad Ismail hanyalah ' kambing hitam' untuk survival pihak tertentu.
Terbaru, malam tadi kenyataan tegas Timbalan Ketua Polis Negara yang berkata Polis memberi amaran keras kepada mereka yang mencetuskan konflik perkauman termasuk kepada laman –laman blog. Justeru itu saya menasihatkan rakan-rakan bloggers berhati-hati apabila menyentuh isu perkauman agar kita tidak menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.