01 November 2009

MENYERTAI PAS AKAN MELENYAPKAN FITNAH KEPADA DR ASRI


Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bukan nama baru bagi saya. Saya mengenali beliau pada tahun 1995 semasa belajar di USM, Minden Pulau Pinang. Ketika itu beliau membuat master di bawah seliaan PM Dr. Radzi yang kebetulan juga adalah pensyarah penasihat akademik saya.

Beliau mempunyai karekter dan kepimpinan serta memiliki asas dan pengetahuan agama yang mantap berdasarkan latar belakang akademik serta minat untuk menyampaikan dakwah Islam.

Beberapa hari lepas beliau menerima kunjungan Ustaz Harun Taib Ketua Dewan Ulama' Pas di rumahnya dalam suasana mesra yang saya yakin kehadiran Ustaz Harun Taib sebagai 'utusan rasmi' Pas untuk menjemput Dr. Asri menyertai perjuangan Pas.

Walaupun belum ada sebarang jawapan dari Dr. Asri saya yakin beliau masih menimbangkan perkara itu. Lebih-lebih lagi beliau sebenarnya cukup dekat dengan Pas sama ada dari pergaulan, hubungan kekeluargaan dan rakan taulan. Malah isteri beliau merupakan adik kepada pimpinan utama Pas Melaka.

Hari ini beliau berhadapan dengan tuduhan dan fitnah bahawa beliau bermimpikan jawatan sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) yang kini dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Dato'.Nakhaie Ahmad. Belaiu dituduh akan membawa fahaman Wahabi jika diberikan jawatan berkenaan.

Ketika ini beliau berhadapan dengan situasi ini secara 'bersendirian'. Saya yakin fitnah dan tuduhan ini bukan yang terakhir dilemparkan kepada beliau sebagai pendakwah 'bebas'. Maka Dr. Asri wajar memilih satu platform yang tepat untuk meneruskan usaha dakwahnya. Dalam hal ini Pas adalah medan yang terbaik untuk beliau. Saya yakin bukan sahaja akan mengembangkan potensi yang ada padanya tetapi dapat bersama membantu Pas untuk memertabatkan dakwah Islam di muka bumi Malaysia ini.