21 January 2010

KEBAKARAN YANG TERUS MENIMBULKAN MISTERI




Kapal pengangkut terbesar Malaysia KD Inderapura telah pun 'bersemadi' di perairan Selat Melaka. Kapal ini terpaksa ditenggelamkan kerana kebakaran yang hampir memusnahkan kapal itu sama sekali. Kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.

Dalam Lima 2009 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengumumkan hasil siasatan menunjukkan kebakaran kapal itu berpunca dari litar pintas. Bila sebut litar pintas ia boleh berlaku tanpa dijangka. Lebih-lebih lagi bagi kapal yang telah lanjut usia seperti KD Inderapura. Aspek penyelenggaraan dan pendawaian juga boleh menjadi punca litar pintas. Hal-hal pendawaian dan penyelenggaraan kapal pastinya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan. Pegawai Pemerintah kapal tidak ada kuasa untuk menentukan siapa yang diberi tender untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Tetapi hari ini Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumkan bahawa Pegawai Pemerintah KD Inderapura akan dihadapkan ke mahkamah tentera atas kebakaran yang berlaku. Memanglah pegawai pemerintah bertanggungjawab penuh terhadap kapalnya tetapi dalam kes ini timbul kesangsian kerana Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa faktor fizikal kapal yang menjadi punca kebakaran dan bukan faktor kecuaian.

Sepatutnya yang disiasat ialah siapa yang melantik kontraktor terbabit. Adakah berlaku penyelewengan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan ? Saya bukan hendak membela pegawai pemerintah terbabit, tetapi apa yang dibimbangi pegawai itu sekadar menjadi 'kambing hitam' di sebalik kejadian yang berlaku. Dalam hal ini Panglima TLDM dan Menteri Pertahanan mempunyai tanggungjawab penuh atas segala yang berlaku.

BERSEDIA UNTUK NAIK MINYAK


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan 1Malaysia akan memperkenalkan mekanisme harga baru petrol sebelum bulan Mei ini. Menurut beliau Majlis Ekonomi Negara akan menentukan sama ada harga petrol akan naik atau sebaliknya. Berdasarkan perkembangan harga semasa di pasaran dunia, harga petrol terus menunjukkan peningkatan. Jadi pengumuman kerajaan sebelum Mei nanti sudah boleh dijangka, harga minyak akan naik! Kecualilah, kalau betul-betul rakyat didahulukan dan gimik menjadi juara rakyat diutamakan maka harga minyak akan turun. Bila harga minyak naik maka faham-fahamlah, harga barang akan melambung dan seterusnya inflasi akan meningkat. Tetapi yang peliknya, menteri yang sama kelmarin berkata harga barang dijangka tidak naik lagi selepas ini. Tak tahulah siapa penasihat ekonomi menteri ini atau menteri ini memang tak belajar bab ekonomi. Bila harga minyak naik, kita wajar beterima kasih kepada kerajaan 1Malaysia kerana berterusan menjaga kebajikan rakyat agar kita terus berterima kasih dan mengundi parti juara rakyat ini pada pilihanraya umum akan datang. Maka semua rakyat di negara ini perlu bersiap sedia untuk naik minyak!